Sihat

Jangan Ambil Remeh Cagu Pada Kuku Kaki, Kalau Melarat Terpaksa Dibedah!

6
SHARES

“Aduh, sakit betul jari kaki aku ni…ni mesti cengkam kuku. Nak kena pergi klinik ke? Ada petua?”

Mesti ramai dalam kalangan anda yang pernah kena cagu atau cengkam kuku? Rasa sakit dan tak selesa sudah semestinya apabila asyik tersentuh sahaja permukaan kasut ketika berjalan. Biasanya kita kena cagu ini apabila baru lepas potong kuku dan ada juga orang sebut sebagai kaki sebayam / kuku sebayam. Ibu jari kaki merupakan yang paling besar berkemungkinan mengalami cagu. Memang stres bila kena! Walaupun kecil tapi sakit yang amat… Rasa berdenyut-denyut jari kaki tu.

Kenapa cagu ni boleh berlaku, adakah petua merawat cagu dan bagaimana kita nak elakkan cagu daripada kerap berlaku? Jom ketahui lebih lanjut tentang cagu di bawah ini.

CAGU PADA KUKU KAKI

Cagu ialah keadaan dimana hujung kuku anda tumbuh memasuki kulit yang terletak dibahagian tepi kuku tersebut. Ia disebabkan oleh tekanan daripada tepi kuku yang tumbuh ke dalam kulit jari kaki.

Ia boleh dirawat di rumah. Tetapi jika tidak dirawat dengan baik, cagu ini boleh menjadi jangkitan kuman atau lebih teruk lagi menjadi bengkak bernanah yang memerlukan rawatan pembedahan.

SIMPTOM-SIMPTOM

1. Sakit dan berasa pedih pada jari kaki, pada sebelah atau kedua-dua belah kuku.

2. Kemerah-merahan disekeliling kuku kaki.

3. Bengkak pada jari disekeliling kuku.

4. Jangkitan kuman pada tisu disekeliling kuku kaki.

Cagu boleh berlaku pada lelaki dan perempuan. Ia selalunya berlaku pada mereka yang mempunyai kaki yang berpeluh seperti pada remaja. Dan ia juga berlaku pada mereka yang sudah tua kerana kuku kaki yang menebal. Banyak perkara yang boleh menyebabkan masalah ini. Ia adalah:

1. Potong kuku dengan cara yang tidak betul. Bagi kuku kaki, anda dinasihatkan untuk memotong kuku tersebut tidak terlalu dalam dan ianya perlu lurus.

2. Kuku kaki yang tidak sekata

3. Kasut yang ketat hingga memberi tekanan pada kuku kaki

4. Kecederaan pada kuku kaki

5. Postur duduk yang salah

6. Tidak menjaga kebersihan kaki

Penggunaan kaki yang berlebihan seperti dalam atlet boleh mendedahkan seseorang kepada masalah ini juga. Aktiviti menendang sesuatu ataupun yang memberikan tekanan pada kaki dalam satu tempoh yang lama akan meningkat risiko seseorang itu mengalami masalah cagu. Beberapa aktiviti ini adalah bola speak, futsal dan tinju.

KOMPLIKASI

Terdapat beberapa komplikasi jika seseorang itu tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Komplikasi tersebut adalah:

1. Jangkitan kuman pada bahagian tulang

2. Jangkitan kuman yang selalu juga boleh menyebabkan ulser dibahagian yang terlibat

3. Pada pesakit diabetes, jangkitan kuman dibahagian tersebut boleh teruk hingga menyebabkan kematian sel dikawasan tersebut. Gangrene boleh berlaku hingga menyebabkan jari kaki perlu dipotong.

RAWATAN

Cagu yang tidak mengalami jangkitan kuman selalunya boleh dirawat di rumah. Akan tetapi jika kuku tersebut telah memasuki kulit ataupun menyebabkan jangkitan kuman, anda diminta untuk mendapatkan rawatan di klinik

Untuk rawatan di rumah, boleh merawat masalah ini dirumah dengan mencuba:

1. Rendam kaki dalam air suam selama 15 hingga ke 20 minit 3 hingga 4 kali sehari

2. Tolak hujung kulit kaki dengan menggunakan kapas yang dibasahkan dengan minyak zaitun.

3. Gunakan ubat tahan sakit seperti paracetamol

4. Krim antibiotik seperti neomycin boleh disapu ditempat tersebut untuk mengelakkan jangkitan kuman

5. Anda boleh mencuba rawatan ini dirumah untuk beberapa hari. Jika sakit tersebut semakin teruk dan anda susah untuk berjalan, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan

Bagi prosedur mencabut kuku, selalunya jika kuku tersebut masuk ke dalam kulit dengan dalam, kuku tersebut perlulah dicabut. Prosedur tersebut akan melibatkan pemberian ubat bius pada bahagian jari tersebut terlebih dahulu. Kuku akan dipotong pada bahagian kuku yang memasuki kulit tersebut sahaja. Bahagian sebelah yang tidak terlibat selalunya tidak akan dibuang.

Anda juga perlu memakai kasut khas ataupun selipar untuk membenarkan kawasan tersebut pulih dengan sepenuhnya terlebih dahulu. Elakkan pergerakan yang banyak. Kuku akan tumbuh beberapa bulan balik selepas prosedur tersebut.

CARA UNTUK MENGELAKKAN MASALAH CAGU

1. Potong kuku dengan lurus. Elakkan daripada memotong kuku dengan melengkung

2. Elakkan daripada memotong kuku dengan terlalu pendek

3. Guna kasut yang sesuai dan tidak terlalu ketat

4. Jika kuku kaki terlalu tebal dan tidak sekata, mungkin prosedur untuk membuang kuku kaki tersebut perlu dilakukan.

Sumber: Dr. Zubaidi Hj. Ahmad

Most Popular

To Top
×