Nur

Bagi Yang Bermusafir, Ini Hukum Solat Terawih Lepas Solat Jamak Taqdim Tanpa Menunggu Waktu Isyak

54
SHARES

“Esok nak balik kampung, nak bertolak pukul berapa ya? Rugi pulak kalau bertolak malam sebab kalau boleh aku tak nak missed solat terawih. Kalau kita buat solat terawih lepas solat jamak taqdim boleh tak?”

Tak lama lagi mesti ramai yang akan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang bakal tiba.

Namun dalam kemeriahan menyambut Syawal, tentu ada yang tak mahu melepaskan peluang terakhir melakukan ibadah dalam bulan Ramadhan.

Inilah masanya untuk kita menggandakan ibadah dan melakukan pecutan bagi memaksimakan segala masa yang ada untuk merebut pahala, terutamanya dalam mencari Lailatul Qadr.

Jadi, mungkin ada nak bermusafir nanti boleh manfaatkan penjelasan oleh Mufti Wilayah ini berkenaan sama ada dibolehkan untuk kita melakukan solat terawih selepas solat jamak taqdim, tanpa menunggu waktu Isyak.

Cara Solat Jamak Qasar

Foto Kredit: mimpi2020.blogspot.com

Soalan

Assalamualaikum. Soalan saya kepada SS Datuk Mufti. Jika kita bermusafir dan jamak takdim solat Maghrib dan Isyak, maka bolehkah kita terus mengerjakan terawih dan witir atau perlu tunggu hingga masuk waktu isyak utk berterawih. Terima kasih. 

Jawapan

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT.  Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berkenaan waktu solat sunat witir, maka waktunya adalah selepas perlaksanaan solat Isyak sehingga terbit fajar sadiq. Begitu juga solat sunat tarawih diqiaskan waktunya dengan solat witir. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

إِنَّ اللهَ زَادَكُم صَلاَةٌ وَهِيَ الوِتْرُ فَصَلُّوهَا مِنَ صَّلَاةِ العَشَاءِ إِلَى طُلُوْعِ الفَجْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menambahkan bagi kalian satu solat, yakni solat Witr, maka hendaklah kamu laksanakan solat itu daripada selesai solat Isyak sehingga terbitnya al-Fajr”

Riwayat Abu Dawud (1418), al-Tirmidzi (452) & al-Baihaqi (4250) dalam Sunan al-Kubra

Oleh itu, seseorang yang melaksanakan solat jamak taqdim dengan menghimpunkan solat Isyak dengan solat maghrib, boleh melaksanakan solat terawih dan witir selepas menunaikan solat isyak. Fakta ini ada dinyatakan dalam kitab Busyra al-Karim Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (ms.313 & 316)  oleh Syeikh Sa`id Ba `Isyn al-Hadhrami Rahimahullah:

“(Dan waktunya – yakni solat witir – , antara solat Isyak) sekalipun jamak taqdim (dan terbit fajar) sadiq berdasarkan periwayatan khalaf daripada salaf.”

“(Dan waktunya – yakni solat Terawih -, antara) perlaksanaan (solat Isyak), sekalipun dengan jamak taqdim, (dengan) terbitnya (fajar) sadiq, sama seperti solat Witir.”

Pun begitu, para ulama menganjurkan agar dilewatkan sedikit. Berkata Syeikh Umairah Rahimahullah: “Melaksanakannya sejurus solat Isyak di awal waktu adalah bidaah orang-orang yang malas.”

Imam Syihabuddin al-Ramli Rahimahullah pula menyebut dalam al-Imdad Syarh al-Irsyad : “Waktu solat Terawih yang mukhtar (terpilih) ialah apabila selepas masuknya seperempat malam.”

Cara Solat Jamak

Foto Kredit: panoramio.com

Kesimpulan

Justeru, menjawab soalan di atas, bagi orang yang diharuskan untuk solat jamak taqdim, boleh baginya untuk terus solat Terawih dan Witir tanpa perlu menunggu waktu Isyak, yakni sekalipun masih berada pada waktu Maghrib.

Ini barangkali akan memudahkan urusan bagi orang yang bermusafir jauh di hentian R&R dan sebagainya, untuk tidak melepaskan peluang untuk meraih peluang beribadah dalam bulan Ramadhan.

Boleh juga dilaksanakan di atas kenderaan kerana mengambil rukhsah solat sunat ketika musafir. Ini tiada masalah. Semoga Allah SWT menerima amalan ibadah kita sepanjang bulan puasa. Amin.

Wallahua’lam.

 

*Sumber rujukan: Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri 108 : Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×