Nur

Hukum Solat Pakai Topeng Muka / Surgical Mask Bagi Mencegah Penyakit Berjangkit – Mufti WP

69
SHARES
hukum solat pakai topeng muka

Ketika musim wabak Influenza dan Koronavirus sedang berleluasa, ramai yang cuba mengelak daripada mengunjungi tempat awam. Malah, orang awam juga digalakkan untuk memakai penutup muka atau topeng bagi mengelakkan jangkitan penyakit yang mudah berjangkit ini.

Masjid juga adalah antara tempat yang sesak, terutamanya pada waktu Solat Jumaat. Oleh itu mungkin ada yang tertanya-tanya apakah hukum solat dengan memakai penutup muka seperti surgical mask misalnya. Adakah ianya dibolehkan?

Berikut adalah penjelasan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dikongsikan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.

Hukum Solat Pakai Topeng Muka / Surgical Mask 

Soalan:

Assalamualaikum tuan, apakah hukumnya solat seseorang dalam keadaan mulutnya tertutup seperti memakai topeng yang menutup mulut atau menutupnya dengan serban.

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ السَّدْلِ فِي الصَّلاَةِ وَأَنْ يُغَطِّيَ الرَّجُلُ فَاهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang meleretkan pakaian di dalam solat serta (melarang) seseorang lelaki itu menutup mulutnya (di dalam solat).

Riwayat Abu Daud (643)

Hadis di atas secara jelas menunjukkan terdapatnya sighah larangan ke atas perbuatan menutup mulut semasa solat. Cumanya para ulama berbeza pandangan samada larangan tersebut membawa kepada hukum haram ataupun makruh.

Imam Al-Khattabi Rahimahullah dalam syarahannya ke atas hadis ini berkata: Antara adat orang arab adalah menutup mulut mereka dengan menggunakan serban, maka mereka ditegah dari melakukan perbuatan tersebut di dalam solat. Melainkan orang yang sedang solat itu menguap, maka dia menutup mulutnya pada waktu tersebut berdasarkan hadis yang menyebutkan tentangnya. Rujuk Ma’alim Al-Sunan, Al-Khattabi (1/179).

Ini membawa erti, perbuatan menutup mulut di dalam solat secara umumnya adalah dilarang. Namun di sana terdapat pengecualian ketika seseorang itu menguap maka dia dituntut untuk menutup mulutnya dan perbuatan tersebut tidaklah dilarang meskipun dalam keadaan sedang menunaikan solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

فَإِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَضَعْ يَدَهُ عَلَى فِيهِ

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu menguap maka hendaklah dia meletakkan tangannya ke mulutnya (menutup mulutnya).

Riwayat Al-Tirmizi (2746)

Imam Al-Khatib al-Syarbini menjelaskan larangan di dalam hadis tersebut membawa kepada hukum makruh. Ini dapat dilihat berdasarkan kata-kata beliau:

وَيكرهُ أَن يُصَلِّي فِي ثوب فِيهِ صُورَة وَأَن يُصَلِّي الرجل متلثما وَالْمَرْأَة منتقبة

Maksudnya: Dan dimakruhkan bagi seseorang yang solat dengan memakai baju yang terdapat gambar padanya, juga makruh seorang lelaki solat dalam keadaan menutup mulut, dan (makruh juga) seorang perempuan yang solat dengan memakai niqab.[1] Lihat Al-Iqna’, Al-Khatib al-Sharbini (1/124).

hukum solat pakai topeng penutup muka mask

Secara asasnya, para ulama ada mengulas mengenai beberapa faktor yang menjadi asas larangan perbuatan menutup mulut di dalam solat.

Antaranya:

Pertama: Ia merupakan perbuatan kelompok Majusi.

Ini seperti yang dinukilkan oleh Imam Al-Syaukani yang berkata: Telah berkata Ibn Hibban: Kerana ia (menutup mulut) adalah antara perbuatan kelompok Majusi. Beliau berkata lagi: Sesungguhnya larangan menutup mulut di dalam solat adalah apabila ia dilakukan dalam tempoh yang lama. Bukanlah ia turut dilarang ketika menguap dengan kadar yang mampu menahan (menguap). Rujuk Nail al-Authar, Al-Syaukani.

Kedua: Ia menghalang kesempurnaan bacaan al-Quran serta sujud.

Kata Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari: Golongan Arab dahulu menutup mulut mereka dengan serban mereka. Mereka menjadikan bahagian hujung serban tersebut di bawah leher mereka. Lalu mereka menutup mulut mereka supaya tidak dimasuki udara yang bercampur dengan debu disebabkan panas atau sejuk. Kerana ia menghalang kesempurnaan bacaan (dalam solat) serta menghalang kesempurnaan sujud. Lihat Mirqat al-Mafatih, Mulla Ali al-Qari (2/636).

Meskipun begitu, terdapat para fuqaha lainnya yang membenarkan menutup mulut di dalam solat sekiranya terdapat hajat keperluan yang menggesa kepadanya.

Ini seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn Qudamah bahawa Imam Ibn Abd al-Bar berkata: ‘’Para ulama telah ijma bahawa hendaklah seorang wanita itu membuka wajahnya ketika solat dan ketika ihram. Ini kerana menutup wajah dan mulut akan mengganggu terkenanya dahi dan hidung (ke tempat sujud). Sesungguhnya Nabi S.A.W telah melarang akan hal tersebut. Namun sekiranya ada hajat seperti terdapatnya ajnabi (lelaki asing) maka tidak makruh. Begitulah juga dengan lelaki, akan hilang kemakruhan (menutup mulut semasa solat) apabila ada hajat kepadanya’’. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/432).

cara solat sunat gerhana matahari

Foto Kredit: sundaymail.co.zw

Kesimpulan

Sebagai penutup, setelah kami meneliti beberapa pandangan di atas maka kami memperincikan jawapan kepada persoalan ini seperti berikut:

Hukum menutup mulut di dalam solat tanpa sebarang sebab adalah makruh. Ini kerana, larangan di dalam hadis tersebut tidak menetapkan sebarang hukuman sama ada duniawi atau ukhrawi sehingga menjadikan perbuatan tersebut haram.

Begitu juga perbuatan tersebut tidaklah memberi kesan kepada kesahihan solat. Ini kerana larangan ke atas perbuatan menutup mulut di dalam solat datang dari jihah munfakkah (sudut yang berasingan) dari solat. Dalam erti, ia tidak memberi kesan kepada rukun mahupun syarat sah solat.

Sekiranya seseorang itu menutup mulutnya di dalam solat kerana ingin mengelakkan habuk atau debu yang bertebaran, kami lebih cenderung mengatakan bahawa ianya diharuskan. Ini kerana terdapatnya hajat dan keperluan kepada hal tersebut.

Akhir kalam, semoga pencerahan ini memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

*Sumber pautan asal: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2798-al-kafi-915-hukum-solat-dengan-memakai-penutup-muka-face-mask?fbclid=IwAR1eg5zCph05XVD0FD4ji1vpue5YPWkRLWJ0yLMGzr_rXvqgOOEitzFVr_M

Most Popular

To Top