Disebabkan musim PKP ni memang ramai yang makin kreatif dan mencuba macam-macam perkara baru.
Antara yang menjadi tumpuan adalah situasi di mana kaum lelaki masing-masing memakain baju kelawar bila dah terlalu lama duduk di rumah.
Memang selesa, tapi adakah tindakan ini dibolehkan oleh Islam?
Berikut adalah ulasan Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri mengenai isu ini.
AL-KAFI #1699 : HUKUM LELAKI MEMAKAI BAJU KELAWAR DI RUMAH
Soalan :
Assalamu’alaikum ustaz, sekarang ini kita dapati ada ramai lelaki yang memakai baju kelawar milik isteri atau ibu mereka di rumah.
Apakah hukumnya perbuatan tersebut ?
Mohon penjelasan.
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Memakai pakaian yang indah serta berhias sesama pasangan suami isteri di rumah termasuk sebagai suatu perkara yang dituntut di dalam Islam. Ini seperti yang disebutkan menerusi firman Allah S.W.T :
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya : Dan bergaullah bersama mereka (golongan perempuan) dengan makruf (cara yang baik).
Surah Al-Nisa’ (19)
Imam Al-Quthubi dalam menafsirkan ayat di atas menukilkan suatu pendapat yang menyatakan maksud ayat di atas adalah : ‘’Berbuat sesuatu untuk isteri sebagaimana isteri berbuat sesuatu untuk suami’’.
Kemudian beliau menyebutkan kata-kata Ibn Abbas R.Anhuma yang menyebut :
إِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَتَزَيَّنَ لِامْرَأَتِي كَمَا أُحِبُّ أَنْ تَتَزَيَّنَ لِي
Maksudnya : Sesungguhnya aku suka berhias untuk isteriku sebagaimana aku suka isteriku berhias untukku.
Rujuk Al-Jaami’ li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (5/97)
Justeru, dapat dilihat bahawa perbuatan berhias antara pasangan suami isteri sama ada dari sudut penampilan ataupun pemakaian, merupakan suatu perkara yang dituntut dalam nas syarak di atas.
Meskipun begitu, berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa terdapat nas syarak yang jelas menyebutkan tentang hal tersebut.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata :
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya : Rasulullah S.A.W melaknat golongan lelaki yang menyerupai orang perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai orang lelaki.
Riwayat Al-Bukhari (5885)
Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani dalam syarahan beliau ke atas hadis ini menukilkan pendapat Imam Al-Thabari yang menyebut : ‘’Tidak boleh bagi orang lelaki untuk menyerupai orang perempuan pada pakaian, serta perhiasan yang khusus bagi orang perempuan dan demikian juga sebaliknya (tidak boleh bagi orang perempuan menyerupai orang lelaki).
Kemudian Ibn Hajar berkata :
فَأَمَّا هَيْئَةُ اللِّبَاسِ فَتَخْتَلِفُ بِاخْتِلَافِ عَادَةِ كُلِّ بَلَدٍ فَرُبَّ قَوْمٍ لَا يَفْتَرِقُ زِيُّ نِسَائِهِمْ مِنْ رِجَالِهِمْ فِي اللُّبْسِ لَكِنْ يَمْتَازُ النِّسَاءُ بِالِاحْتِجَابِ وَالِاسْتِتَارِ
Maksudnya : Adapun keadaan pakaian itu ia berbeza-beza mengikut perbezaan setiap negeri. Boleh jadi sesuatu kaum itu pakaian orang perempuan mereka tidak berbeza dengan pakaian orang lelaki mereka, tetapi orang perempuan dibezakan dengan hijab dan juga pakaian yang bertutup.
Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (10/332)
Manakala Syeikh Badr al-Din al-‘Aini pula mengulas hadis ini dengan kata beliau :
وتشبه الرِّجَال بِالنسَاء فِي اللبَاس والزينة الَّتِي تخْتَص بِالنسَاء مثل لبس المقانع والقلائد والمخانق والأسورة والخلاخل والقرط
Maksudnya : (Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting.
Rujuk ‘Umdah Al-Qari, Al-‘Aini (22/41)
Justeru, jelas dari beberapa pendapat di atas bahawa pada asasnya seorang lelaki itu dilarang menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian, lenggok suara, gerak perjalanan, serta memakai perhiasan-perhiasan orang perempuan yang khusus buat mereka.
Meskipun begitu, faktor uruf turut memainkan peranan penting dalam isu ini khususnya yang berkaitan dengan pemakaian.
Ini kerana, boleh jadi di sesetengah tempat pakaian orang lelaki dan perempuan mereka adalah sama. Maka dalam hal ini, ia tidak termasuk dalam perbuatan tasyabbuh tersebut.
Imam Al-Nawawi dalam menjelaskan hukum seseorang lelaki menyerupai (tasyabbuh) orang perempuan beliau berkata :
بَلْ الصَّوَابُ أَنَّ تَشَبُّهَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَعَكْسَهُ حَرَامٌ لِلْحَدِيثِ الصَّحِيحِ
Maksudnya : Bahkan yang tepatnya, perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dan sebaliknya (orang perempuan menyerupai orang lelaki) adalah haram berdasarkan hadis yang sahih.
Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/445)
Penutup
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa dalam isu menyerupai sesuatu jantina dari sudut pakaian ini, ia terbahagi kepada tiga pecahan berikut :
• Pakaian yang digunapakai oleh kedua-dua jantina, maka harus bagi orang lelaki dan orang perempuan memakainya, mengambil kira bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus.
• Pakaian yang khas bagi orang lelaki, maka haram bagi orang perempuan untuk memakainya.
• Pakaian yang khas bagi orang perempuan, maka haram bagi orang lelaki untuk memakainya.
Oleh itu, melihat kepada uruf masyarakat di negara kita, kami cenderung menyatakan bahawa baju kelawar merupakan pakaian khusus bagi orang perempuan. Justeru, haram bagi orang lelaki memakainya. Lebih-lebih lagi pengharaman ini adalah bagi menutup jalan-jalan yang bakal membawa kepada perbuatan tasyabbuh kepada jantina yang berlainan.
Wallahu A’lam.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Baca artikel di laman web PMWP menerusi pautan di bawah :