Nur

Hukum Solat Dalam Kereta & Cara Mengerjakannya – Mufti WP

267
SHARES

Beberapa hari ini gambar beberapa orang yang solat di tepi lebuh raya menjadi tular.

Menurut sumber, ia adalah susulan kesesakan jalan raya musim Hari Raya Haji dan tempat solat di RnR yang penuh disebabkan SOP penjarakan sosial yang mengehadkan penggunaan surau kepada beberapa orang pengguna sahaja dalam satu-satu masa.

Namun, ada yang mengecam tindakan sedemikian kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya. Dalam pada itu, kita juga diberikan keringanan untuk solat seperti jamak qasar dan solat dalam kereta.

solat dalam kereta

Mungkin tak ramai antara kita yang tahu tentang hukum solat dalam kereta dan cara melakukannya.

Kami kongsikan beberapa poin penting yang diambil melalui IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 225: HUKUM SOLAT DI DALAM KERETA dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Hukum Solat Dalam Kereta

Perbahasan berkenaan isu hukum solat dalam kereta mempunyai sedikit sebanyak asas seperti yang ditunjukkan oleh beberapa riwayat.

Di antaranya seperti yang ditunjukkan oleh sebuah hadis riwayat ‘Amir bin Rabi’ah beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الرَّاحِلَةِ يُسَبِّحُ يُومِئُ بِرَأْسِهِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ

Maksudnya: Aku pernah melihat Rasulullah S.A.W dalam keadaan baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan, baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu.

Riwayat al-Bukhari (1097)

Berdasarkan hadis di atas, haiwan tunggangan merupakan kenderaan yang diguna pakai oleh masyarakat pada zaman terdahulu termasuklah pada zaman Rasulullah S.A.W.

Maka kenderaan moden seperti kereta, kapal terbang, keretapi, sampan, dan seumpamanya turut memakai hukum yang sama dengan haiwan tunggangan.

Justeru, adalah dibolehkan untuk solat secara umumnya sekiranya seseorang itu berada di atas kenderaan.

Namun, kategori solat yang manakah dimaksudkan di dalam hadis di atas ini?

Menurut kesimpulan oleh Mufti Wilayah,

  • Hukum menunaikan solat sunat di dalam kereta adalah dibolehkan.
  • Manakala solat fardhu pula adalah tidak dibolehkan melainkan dalam keadaan dharurat.

solat dalam kereta

Penjelasan

Berkenaan solat di atas haiwan tunggangan seperti kuda dan unta, ia juga cukup mempunyai kesamaan yang jelas dengan kereta yang menjadi kenderaan moden pada hari ini.

Ini kerana, seseorang yang menaiki kereta itu tidak menjadi kesukaran buat dirinya untuk berhenti dan keluar menunaikan solat di luar kereta yang dinaikinya itu.

Hal ini mengambil kira suasana di negara kita yang begitu kondusif dalam menyediakan kemudahan tempat solat di kebanyakan tempat.

Ini seperti surau-surau yang terdapat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, dan selainnya untuk didirikan solat padanya.

Justeru, berkenaan hukum solat di dalam kereta maka terpakai ke atasnya hukum solat di atas haiwan tunggangan seperti kuda dan unta.

Ini membawa erti bahawa adalah dibolehkan untuk seseorang itu menunaikan solat sunat jika dia berada di dalam kereta.

Namun, untuk mendirikan solat fardhu di dalam kereta, ia adalah tidak dibenarkan kecuali dalam keadaan yang betul-betul mendesak atau dharurat.

Cara Solat Jamak Qasar

Foto Kredit: mimpi2020.blogspot.com

Cara Solat Dalam Kereta: Perlukah Menghadap Kiblat ?

Dalam permasalahan ini, suka kami nukilkan beberapa pendapat para fuqaha terdahulu dan kontemporari seperti berikut:

Kata al-Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani:

Jika berada dalam kenderaan dan boleh menghadap kiblat bagi keseluruhan solat dan menyempurnakan segala rukunnya atau sesetengahnya hendaklah kekal dengan keadaan itu. Jika tidak boleh berkekalan menghadap kiblat pada keseluruhan solat, maka memadailah menghadap ke arah kiblat ketika mengangkat takbirat al-ihram. Jika tidak boleh, tidaklah perlu menghadap kiblat. Rujuk Matla’ al-Badrain, Syeikh Muhammad bin Ismail (1/3).

Maka tuntutan menghadap kiblat sesama solat di dalam kereta adalah berbeza mengikut kepada perbezaan situasi dan keadaan orang yang melaksanakannya.

Manakala al-Imam al-Qadhi Abu Syuja’ Rahimahullah berkata bahawa: ‘’Dibolehkan untuk seseorang itu meninggalkan (menghadap ke arah) kiblat dalam dua keadaan iaitu ketika takut yang bersangatan dan juga solat sunat semasa permusafiran yang dilakukan di atas haiwan tunggangan’’.

Lihat Matan al-Ghayah wal-Taqrib, Abu Syuja’ (Hlm. 62).

Justeru, mengambil kira keadaan dan persekitaran laluan jalanraya di dalam negara kita pada hari ini, adalah dibolehkan untuk seseorang yang menunaikan solat sunat sama ada solat sunat dhuha dan selainnya di dalam kereta untuk tidak menghadap ke arah kiblat.

  1. Bagi seseorang yang menunaikan solat sunat di dalam kereta keadaannya adalah sedikit berbeza dengan solat yang dilakukan secara kebiasaan.
  2. Ini kerana, solat di dalam kereta melibatkan isyarat dan pergerakan kepala seperti yang ditunjukkan oleh beberapa riwayat.
    Ini seperti sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma dengan katanya:
    كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ، حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ، يُومِئُ إِيمَاءً، صَلاَةَ اللَّيْلِ إِلاَّ الْفَرَائِضَ، وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ‏
    Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W solat di dalam permusafiran di atas haiwan tunggangannya. Dari sudut apabila haiwan itu menghadap ke arahnya, baginda mengikut ke arahnya dengan isyarat. Solat malam melainkan solat-solat fardhu, dan baginda juga melakukan solat sunat witir di atas haiwan tunggangannya.
    Riwayat al-Bukhari (1000)
  3. Imam al-Khatib al-Syarbini turut menjadikan hadis ini sebagai hujahan dalam pendapatnya yang menyebut: ‘’Memadailah buatnya (orang yang solat di atas haiwan tunggangan) untuk melakukan isyarat (untuk ruku’ dan sujudnya) dan sujudnya adalah lebih rendah dari ruku’nya’’.

Kesimpulan

Sekiranya keadaan setempat memudahkan kita untuk menunaikan solat di tempat yang lebih selesa berbanding solat di dalam kereta, hendaklah ia lebih diutamakan.

Ini mengambil kira sifat solat yang mempunyai syarat- syarat dan rukunnya yang perlu diraikan.

Namun jika keadaan betul-betul dharurat, maka boleh melakukan solat dalam kereta.

*Nota Tambahan Tentang Solat Menghormati Waktu (Sumber dari laman web JAKIM)

TAKRIF SOLAT MENGHORMATI WAKTU

Solat fardhu yang didirikan seseorang yang tidak ada kemudahan @ kemampuan untuk bersuci atau berhalangan air.

Memandangkan di dalam pesawat, masalah kemudahan air dan tempat adalah terhad.

Tambahan pula persoalan keselamatan pesawat dan penumpang adalah diutamakan, maka Islam mengharuskan seseorang itu mengerjakan solat tanpa wuduk dan tanpa menghadap kiblat.

SOLAT DALAM KENDERAAN

Niatnya sebagai contoh: “Sahaja aku solat fardhu Subuh dua rakaat menghormati waktu kerana Allah Taala”

Seseorang yang melakukan solat menghormati waktu WAJIB MENGULANGI SOLATNYA apabila sudah memperolehi kemudahan atau kemampuan untuk bersuci atau tidak berhalangan menggunakan air jika waktu solat tersebut masih ada.

Jika waktu solat itu sudah luput, wajiblah seseorang MENGQADA’KAN SOLAT tersebut.

PERLU DIINGAT, BIAR BETAPA SUKAR DAN SULIT SEKALIPUN, SOLAT TETAP TIDAK BOLEH DITINGGALKAN. JIKA TIDAK BERUPAYA MENUNAIKAN SOLAT DI DALAM KEADAAN BIASA, HENDAKLAH DITUNAIKAN SECARA YANG TERMAMPU OLEH SESEORANG

*Perbahasan panjang lebar berkaitan hukum-hakam solat di atas kapal terbang atau kereta api, sila rujuk penjelasan sepenuhnya di pautan ini https://bit.ly/2r3kfAe

Most Popular

To Top
×