Euforia Bola 2026
Famili

Hiking Lebih Selesa! Ini 5 Pakaian Outdoor Yang Jadi Pilihan Ibu Aktif

Pakaian Outdoor

Aktiviti mendaki kini semakin mendapat tempat di hati rakayat Malaysia. Ianya aktiviti sihat yang membuka ruang untuk ahli keluarga dan rakan-rakan meluangkan masa bersama. Selain dapat menikmati udara segar dan pemandangan alam semula jadi, aktiviti ini juga menjadi cara menyeronokkan untuk kekal aktif.

Walau bagaimanapun, pengalaman hiking yang selesa bergantung kepada pelbagai faktor seperti keadaan laluan, cuaca dan pakaian.

Iya… pakaian memang memainkan peranan penting apatah lagi untuk para ibu yang nak bergerak aktif sambil menguruskan anak sepanjang pendakian.

Sebolehnya pakai pakaian yang selesa, ringan dan sesuai dengan aktiviti outdoor. Barulah, perjalanan pasti terasa lebih mudah.

Berikut 5 pilihan pakaian yang selesa untuk pendakian yang lebih lancar.

1. Baju dry fit yang ringan & cepat kering

Pakaian Outdoor

Semasa hiking, badan akan lebih mudah berpeluh walaupun anda memilih laluan yang mudah dan santai. Sebab itu, baju daripada fabrik dry fit sering menjadi pilihan. Hal ini kerana, fabrik dry fit mampu menyerap peluh dengan baik dan cepat kering.

Selain memberi keselesaan, material ini ringan serta boleh membantu badan kekal sejuk dan tidak terasa melekit sepanjang pendakian. Pilih baju yang tidak terlalu ketat supaya pergerakan lebih bebas, terutamanya jika perlu mengangkat atau memimpin anak di laluan tertentu.

2. Seluar stretchable, mudah gerak

Pakaian Outdoor

Pakaian yang terlalu ketat atau berat boleh membuatkan pergerakan jadi terbatas. Sebaiknya pakai seluar hiking atau legging yang mempunyai fabrik elastik. Bahan pakaian ini lebih sesuai kerana membolehkan anda berjalan, memanjat atau mencangkung dengan lebih selesa.

Jika anda tak suka legging, anda boleh cuba seluar hiking longgar yang diperbuat daripada fabrik ringan dan cepat kering. Yang penting, elakkan memakai seluar jeans kerana ia mudah menyerap peluh, berat dan memakan masa yang lama untuk kering.

3. Tudung sukan yang kekal selesa

Pakaian Outdoor

Bagi wanita bertudung, anda kena tahu bahawa pemilihan fabrik hijab akan memberikan perbezaan besar ketika hiking.

Pilih tudung sukan yang diperbuat daripada fabrik ringan, sejuk dan mudah menyerap peluh. Rekaan yang ringkas serta kemas juga membantu mengelakkan tudung daripada mudah tersangkut pada dahan atau mengganggu pergerakan ketika berjalan.

Maka, tak hairanlah ramai memilih tudung jenis sarung kerana lebih praktikal dan tidak memerlukan banyak pembetulan sepanjang aktiviti.

4. Jaket nipis untuk cuaca yang berubah

Pakaian Outdoor

Cuaca di kawasan bukit atau hutan boleh berubah tanpa diduga. Walaupun panas ketika memulakan pendakian, keadaan mungkin menjadi lebih sejuk atau hujan renyai selepas beberapa ketika.

Sebab itu, sebaiknya bawa jaket nipis yang ringan dan mudah dilipat ke dalam beg. Pilih jaket yang mempunyai ciri kalis angin atau tahan percikan air supaya anda lebih bersedia menghadapi perubahan cuaca.

5. Kasut hiking yang stabil & selesa

Pakaian Outdoor

Selain pakaian, kasut merupakan pelengkap paling penting untuk memastikan pengalaman hiking anda lebih fun dan selamat.

Pilih kasut hiking atau trail yang mempunyai tapak mencengkam dengan baik, terutama jika laluan sedikit licin atau berbatu. Kasut yang memberikan sokongan pada tapak kaki juga membantu mengurangkan rasa penat, sekali gus membuatkan anda lebih selesa sepanjang perjalanan.

Sebaiknya, pakai kasut tersebut beberapa kali sebelum hari hiking bagi mengelakkan kaki melecet.

Tip tambahan untuk anda, jangan lupa membawa beberapa aksesori penting seperti topi, stoking yang selesa dan beg galas ringan. Pilih beg yang mempunyai ruang mencukupi untuk menyimpan air minuman, snek, tisu basah, kit pertolongan cemas dan barangan keperluan anak.

Jangan lupa juga memakai sunscreen sebelum memulakan aktiviti bagi melindungi kulit daripada pendedahan cahaya matahari, terutamanya jika hiking dilakukan pada waktu pagi atau tengah hari.

Keselesaan adalah kunci hiking yang menyeronokkan.

Hiking bersama keluarga sepatutnya menjadi aktiviti yang menyeronokkan dan mengeratkan hubungan, bukannya pengalaman yang memenatkan kerana pakaian yang tidak sesuai.

Dengan memilih pakaian yang ringan, mudah serap peluh dan fleksibel, anda boleh menikmati setiap langkah dengan lebih yakin.

Apabila badan terasa selesa, lebih mudah untuk memberi tumpuan kepada momen indah bersama anak-anak sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×