Didik

10 Tips Hari Pertama Sekolah Elak ‘Separation Anxiety’, Confirm Anak Tak Nangis!

528
SHARES

Hari pertama sekolah memang tak sah kalau tak ada yang menangis, tidak kiralah masuk darjah satu atau tadika. Bukan itu saja, malah ada yang meraung-raung, tak mahu makan, tak mahu belajar, dan ada yang buat aksi-aksi pelik sebagai tanda protes. Ingat kan insiden sampai tersangkut kepala di kerusi?

Haa.. Jangan gelak sangat ya. Kalau diingat dahulu, zaman sekolah kita sama saja macam tu! Dalam diam-diam pun mesti ada rasa sedih bukan kepalang sebaik saja mak ayah hilang dari pandangan.

TIPS-TIPS HARI PERTAMA SEKOLAH

Ternyata, perpisahan sementara dengan ibu bapa atau ‘separation anxiety’ ini masih menggerunkan anak-anak walaupun mereka sudah berusia 6 hingga 7 tahun. Jom ikuti beberapa tips untuk ibu bapa memastikan anak-anak menghadapi hari pertama sekolah dengan ceria!

1) CERITAKAN KESERONOKAN SEKOLAH

Kaitkan dengan sesuatu yang boleh difahaminya. Contohnya, Upin & Ipin atau kartun lain kegemarannya. Katakan padanya, “Adik, esok adik pergi sekolah macam Upin Ipin ya. Mesti seronok jumpa kawan-kawan macam Mail, Mei Mei, Jarjit…”

Selain itu, bacakan buku cerita yang mempunyai unsur-unsur hari pertama sekolah supaya mereka boleh membayangkan keseronokannya.

2) MAIN ‘CIKGU-CIKGU’!

Galakkan mereka bermain cikgu-cikgu. Bukannya susah, lakonkan saja watak cikgu dan anak murid. Selebihnya, terpulang pada imaginasi anda.

Melalui permainan ini, mereka akan lebih teruja untuk ke sekolah. Ia juga akan memperkenalkan mereka kepada arahan-arahan biasa dalam bilik darjah.

3) LAWATI SEKOLAH JIKA ADA KELAPANGAN

Kenalkan kepadanya bahawa inilah sekolah yang akan dihadirinya tak lama lagi. Jika tidak berkesempatan melawat sekolah, cukuplah sekadar menunjukkan lokasinya dari dalam kereta, atau menunjukkan gambar-gambar yang ada.

Ini kerana anak-anak akan lebih mudah beradaptasi dengan sesuatu yang lebih ‘familiar’.

4) AJAK ANAK MEMBELI BELAH KELENGKAPAN SEKOLAH

Sewaktu membeli-belah, bawa mereka sekali supaya mereka boleh memilih sesuatu yang digemari. Tapi kalau boleh, elakkan waktu puncak kerana anak-anak ini cepat letih dan bosan kalau dibawa ke tempat yang sesak.

5) SEDIAKAN KELENGKAPAN BERSAMA SEBELUM KE SEKOLAH

Setelah membeli kelengkapan anak-anak, sebagai ibu bapa kita seharusnya meluangkan sedikit masa untuk duduk bersama anak-anak sambil membantu memasukkan peralatan alat tulis ke dalam beg sekolah.

6) BERI KATA-KATA PERANGSANG

Kata anda, “Esok, adik pergi sekolah ye. Esok ada ramai kawan-kawan. Di sekolah, semua orang hendak jadi anak-anak yang hebat. Adik pun mesti belajar pandai-pandai supaya menjadi anak yang hebat.”

7) TIDUR AWAL

Pastikan anak-anak anda tidak tidur lewat pada malamnya supaya mudah untuk mereka bangun awal keesokkan harinya. Jika anak-anak anda menunjukkan tanda-tanda tidak mahu ke tadika atau masih lagi kelihatan mengantuk, berikan lah kata-kata semangat dan pujukan dengan penuh kasih sayang kepadanya.

Kita sebagai ibu bapa tidak seharusnya terus memarahinya jika anak-anak menunjukkan sikap degilnya yang tidak mahu mandi atau ke tadika.

8) BANGUN AWAL

Ibu bapa perlulah temani anak-anak semasa ke bilik air untuk mandi serta menggosok gigi. Jika perlu anda memandikannya supaya anak-anak merasakan dirinya dihargai. Pakaikan mandian yang wangi supaya mereka berasa segar apabila melangkah ke tadika.

Sebagai ibu, kita seharusnya menyediakan sarapan untuk anak-anak. Sarapan penting untuk memberi tenaga kepada anak-anak untuk bergerak aktif dan mengelak mereka mudah letih. Jika anak anda tidak berselera untuk makan awal pagi, sediakan bekalan makanan buatnya untuk dibawa ke sekolah.

9) SEMBUNYIKAN KERISAUAN ANDA!

Siapa tak risau, kan? Mesti semua ibu bapa ada kerisauan yang tersendiri – takut anak dibuli, risau mereka menangis, takut makanan mereka diambil orang, dan macam-macamlah lagi.

Tapi, jangan sekali-kali menunjukkan emosi anda ini di depan mereka. Ia akan menjadikan mereka kurang yakin untuk ke sekolah. Tampilkan wajah ceria sepanjang pagi dan katakan ‘selamat tinggal’ dengan senyuman yang paling manis! Tidak perlu ambil masa terlalu lama untuk memberi pesanan dan ucapkan ‘selamat tinggal’, takut nanti mereka jadi emosional.

10) DOAKAN ANAK

Doa ibu bapa adalaah kekuatan buat anak-anak. Restulah anak dengan doa supaya mereka menjadi anak yang soleh dan cemerlang dunia dan akhirat. Selepas bersalaman dengan anak, jangan kita lupa untuk mencium ubun-ubun rambutnya sambil mendoakan kesejahteraannya. Jadilah kita sebgai ibu bapa yang baik dengan menjadikannya satu amalan seharian setiap kali anak ke sekolah dan sebelum tidur.

Kata anda : “Semoga adik menjadi anak yang soleh di dunia dan di akhirat. Ibu dan ayah sentiasa mendoakan adik. Belajar pandai-pandai ye sayang. Balik nanti ibu jemput.”

BERI PELUANG ANAK UNTUK BERDIKARI

Hari pertama sekolah anak-anak akan merasa bersedia untuk ke sekolah sekiranya kita sebagai ibu bapa mengambil perhatian dan sentiasa memberikan dorongan buat mereka. Walaupun begitu, mereka juga perlu diberi ruang untuk berdikari. Oleh itu, jangan takut-takut untuk belajar melepaskan perasaan risau tersebut.

Apabila mula sekolah nanti, berilah sedikit perhatian kepada anak-anak walau sesibuk mana sekali pun. Mereka tentu ada banyak cerita untuk dikongsi!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×