40 Minggu

Jangan ‘Memandai’ Guna Fetal Doppler Untuk Pantau Kesihatan Bayi Sendiri – Dr Imelda

9
SHARES

Ramai ibu ayah yang excited nak dengar degup jantung bayi dalam kandungan kan?

Salah satu alat yang boleh kita guna untuk berbuat demikian adalah fetal doppler atau juga dikenali sebagai fetal heart monitor.

Tetapi ibu ayah diingatkan bahawa ia tidak selamat digunakan untuk memantau kesihatan bayi.

Dr Imelda Balchin menerangkan dalam sebuah posting beliau bahawa perbuatan tersebut adalah bahaya.

Kenapa?

Jom baca penerangan beliau sepenuhnya di bawah ini.

Bahaya Guna Fetal Doppler Untuk Pantau Kesihatan Bayi

Toksah laa buat lagu ni. Bahaya tau.

Pernah ada seorang bayi meninggal dunia di dalam kandungan di negara UK, dan ceritanya masuk ke dalam berita suratkhabar di negara UK, sebab ibu terlambat datang. Ibu tak datang ke hospital bila pergerakan bayi di dalam kandungan sudah berkurangan selama beberapa hari.

Ibu tak datang sebab yakin alat fetal Daptone atau fetal heart detector yang dia beli sendiri tu boleh digunakan oleh orang awam untuk memantau kesihatan bayi di dalam kandungan sendiri. Tetapi bila ibu pergi ke klinik, beberapa hari kemudian, sudah terlambat, bayi di dalam kandungan sudah berhenti bergerak dan bayi sudah meninggal dunia.

Toksah dok pantau bayi di dalam kandungan dengan alat fetal Daptone atau fetal heart detector yang dibeli sendiri.

Kalau nak beli alat ini, anda boleh beli sebagai permainan saja untuk ibubapa saja, untuk main-main dengar denyutan nadi, tetapi BUKAN sebab anda bertujuan nak pantau sendiri kesihatan anak sendiri. JANGAN BUAT. Biarkan doktor dan bidan bertauliah buat tugas mereka memantau kesihatan anda dan bayi di dalam kandungan. Jangan cuba buat sendiri sebab ini memerlukan ilmu pengetahuan perubatan apa yang diperlukan dan kemahiran menentukan jika ada masalah atau tidak.

Jika anda bimbang tentang kesihatan bayi di dalam kandungan anda, bimbang sebab bayi di dalam kandungan tidak cergas dan tidak bergerak seperti biasa, sila ke hospital bersalin untuk mendapatkan penilaian kesihatan dan nasihat dari bidan bertauliah dan doktor perubatan.

Bukan guna alat fetal Daptone ini dirumah sebagai alternatif berjumpa dengan doktor.

Di hospital, kami guna CTG, bukan fetal Daptone, untuk ibu yang mengadu bayi yang ada ‘reduced fetal movements’

Saya nak bagi satu analogi.

Kalau anda ada sakit dada dan bimbang jika anda ada penyakit jantung, adakah anda akan beli sendiri stethoscope dan dengar sendiri denyutan nadi jantung anda? Sudah tentu tidak kaaaan.

Sebab anda memang dah tahu anda masih hidup dah mestilah ada nadi jantung kan. Tetapi ada nadi jantung hanya memberitahu anda yang anda masih hidup, tidak memberitahu anda jika anda ada masalah kesihatan jantung sebab anda tiada kemahiran mengenalpasti apakah nadi yang normal atau tidak.

Denyutan Yang Didengari Mungkin Denyutan Jantung Ibu

Apa lagi yang anda tidak tahu ialah perubahan denyutan nadi jantung bayi dalam alat fetal Daptone ialah PERUBAHAN TERAKHIR sebelum mati.

Jika nadi jantung bayi sudah jatuh ke bawah tahap yang normal, kemungkinan besar bila anda sampai ke hospital anda sudah terlambat untuk menyelamatkan bayi.

Alat fetal Daptone ini hanya mengesahkan yang bayi anda masih hidup atau tidak. Itu saja. Denyutan nadi yang normal hanya mengesahkan bayi yang hidup, bukan sihat atau tidak sihat. Kami buat bermacam-macam lagi penilaian kesihatan untuk tujuan memantau kesihatan, bukan hanya penggunaan alat fetal Daptone.

Lagi satu perkara yang anda perlu tahu, ialah jika bayi di dalam kandungan sudah meninggal dunia, anda masih boleh mendengar denyutan jantung melalui alat ini, sebab ia akan mencari denyutan nadi ibu jika tak jumpa denyutan nadi bayi di dalam kandungan.

Untuk anda yang tiada kemahiran, anda tidak boleh membezakan adakah ini denyutan nadi ibu atau denyutan nadi bayi di dalam kandungan.

Hari ni saya membebel kepada pesakit saya, sebab saya sudah bagi nasihat jika bimbang tentang bayi, contact klinik dan datang. Hospital buka 24 jam dan saya selalu standby untuk pesakit saya. Saya tak pernah suruh ibubapa beli alat fetal Daptone atau fetal heart monitor untuk memantau kesihatan anak di dalam kandungan sendiri . Please don’t do it. Do not give yourself false reassurance that everything is OK with this alone, if there is reduced fetal movements and if you are worried about your baby.

Semoga ilmu pengetahuan ini bermanfaat untuk anda semua,

Dr Imelda Balchin.

P/S
Kalau belum lagi 28 minggu kehamilan, tak payah lah datang ke hospital sebab bimbang tak rasa pergerakan baby. Sebelum 28 minggu kehamilan, bayi masih kecil lagi dan memanglah ramai ibu tak akan rasa semua pergerakan baby.

Kalau sebelum 28 minggu dan anda bimbang tentang bayi anda, datang ke klinik je, tak payah datang ke hospital bersalin 12 tengah malam kecuali jika ada masalah ini:

1) Pecah air ketuban
2) Ada pendarahan
3) Contraction yang sakit

*SUMBER: DR IMELDA BALCHIN

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×