Sihat

Doktor Jelaskan Anak Suka Menggesel Gigi Ketika Tidur Bukan Kerana Gangguan Jin, Tapi…

130
SHARES

Apabila melihat anak-anak suka menggesel gigi sewaku tidur, ibu bapa jangan berasa khuatir atau salah sangka sehingga mengaitkan dengan gangguan jin. Menurut Dr. Mohd Khairul Izwan, beliau bukanlah menidakkan perkara mistik tetapi tidak semua perkara perlu dikaitkan dengan gangguan jin. Ini untuk mengelakkan timbul rasa panik dan fahaman yang bukan-bukan.

Beliau menjelaskan tingkah-laku itu disebut sebagai ‘Bruxism’ yang boleh juga terjadi kepada orang dewasa. Justeru itu, mari ikuti penjelasan beliau di bawah untuk melegakan perasaan ibu bapa apabila anak bertingkah-laku sebegini.

Baca juga: Doktor Kongsi 6 Tips Elak Mulut Berbau Di Bulan Ramadan, Barulah Confident!

DOKTOR JELASKAN ANAK MENGGESEL GIGI KETIKA TIDUR BUKAN KERANA GANGGUAN JIN, TAPI…

Ingatkan tiada yang kaitkan masalah gigi dengan gangguan jin. Rupanya ada juga.

Semalam saya terlihat satu video yang dikongsikan oleh seorang Ustaz (mungkin pengamal perubatan Islam).

Beliau menyatakan kanak-kanak yang suka menggesel gigi sewaktu tidur itu terjadi disebabkan anak bermasalah seperti anak degil, anak nampak benda yang orang lain tak nampak dan anak yang tidak mahu beralah dengan adik beradik selain mengaitkannya dengan gangguan jin.

Perkongsian video tersebut mendapat banyak share sehingga sekitar 78.8k share dengan lebih 50k tontonan di Facebook.

Sebagai seorang pengamal pergigian, suka untuk saya perbetulkan persepsi ini agar orang ramai lebih jelas dan ibu bapa di luar sana tidak menjadi panik gara-gara memikirkan anak mereka yang mungkin sedang diganggu oleh jin.

Baik begini.

MENGAPAKAH ANAK SUKA MENGGESEL GIGI?

Tabiat menggesel-geselkan gigi ini disebut sebagai “bruxism”. Ianya boleh terjadi kepada orang dewasa mahupun kanak-kanak.
Secara fisiologis, adalah normal untuk kanak-kanak di bawah usia 6 tahun untuk menggesel-geselkan gigi mereka sama ada ketika tidur mahupun sewaktu siang hari.

Menurut kajian, dianggarkan kira-kira 2 hingga 3 daripada 10 kanak-kanak boleh mengalami tabiat menggesel-geselkan gigi dan boleh bermula seawal usia anak 6 bulan.

Berbeza dengan orang dewasa yang mempunyai tabiat bruxism disebabkan oleh stress, rasa gementar ataupun anxiety yang berlebihan. Tabiat menggesel-geselkan gigi di kalangan kanak-kanak pula lebih kepada cara mereka untuk mengurangkan ketidakselesaan yang sedang mereka alami.

ANAK MEMANG AKAN BERASA TIDAK SELESA APABILA ALAMI FASA PERTUMBUHAN GIGI

Gambar hiasan.

Seperti yang kita semua sedia maklum, kanak-kanak yang masih kecil sedang mengalami fasa pertumbuhan gigi sama ada gigi susu mahupun gigi kekal. Bagi sesetengah kanak-kanak, mereka akan mengalami ketidakselesaan atau rasa sakit terutama di bahagian gusi semasa pertumbuhan gigi. Keadaan ini disebut sebagai “teething”.

Memandangkan kanak-kanak yang masih kecil belum pandai mengekspresikan rasa sakit mereka, maka ada sebahagian daripada mereka yang akan menggesel-geselkan gigi sebagai salah satu cara untuk mengurangkan ketidakselesaan yang mereka rasai.

Ada juga kanak-kanak yang suka menggigit-gigit sesuatu atau menarik-narik telinga mereka seperti yang pernah saya jelaskan di sini.

IBU BAPA TIDAK PERLU KHUATIR, MASALAH BRUXISM AKAN HILANG SENDIRI

Gambar hiasan.

Selain “teething”, bruxism di kalangan kanak-kanak juga boleh berlaku disebabkan oleh masalah kesihatan seperti cerebral palsy ataupun disebabkan oleh pengambilan ubat-ubatan tertentu. Untuk kanak-kanak yang masih kecil, biasanya bruxism ini akan hilang dengan sendirinya perlahan-lahan selepas gigi mereka selesai tumbuh.

Jadi bagi ibu bapa yang mempunyai bayi atau anak kecil yang suka menggesel-geselkan gigi begini, jangan terlalu khuatir dan bimbang ya. Tabiat ini merupakan suatu respons yang normal dan bersifat fisiologis bagi kanak-kanak.

Tidak perlulah sampai membawa anak anda pergi berjumpa dengan bomoh atau pengamal perubatan Islam bagi menghalau gangguan jin pula.

Saya bukanlah penentang ilmu perubatan Islam, bukan juga tidak percaya dengan perkara mistik. Untuk amalkan bacaan ayat suci Al-Quran atau doa tertentu kepada anak itu tidak menjadi masalah dan sangat bagus untuk dilakukan.

Namun perlu kita ketahui bahawa bukan semua perkara perlu dikaitkan dengan gangguan jin sehingga menimbulkan rasa panik dan fahaman yang bukan-bukan.

Walaubagaimanapun, jika tabiat menggesel-geselkan gigi ini masih berlarutan sehingga anak anda berusia belasan tahun atau meningkat remaja, boleh jadi itu merupakan petanda awal yang anak anda mungkin mengalami stress ataupun anxiety berlebihan.

Rawatan lanjut mungkin diperlukan bagi mengawal keadaan ini daripada menjadi lebih serius.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Facebook Mohd Khairul Izwan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×