Hebahan

Cuti Bersalin Swasta Dari 60 Hari Ke 90 Hari – Kementerian

6.3K
SHARES

CUTI BERSALIN SWASTA 90 HARI

Kementerian Sumber Manusia akan meminda Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pekerja wanita di sektor swasta menikmati cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari. Timbalan menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya juga akan meminda akta sama bagi membolehkan golongan bapa turut diberi cuti ‘paterniti’ (cuti isteri bersalin) selama tiga hari.

Beliau berkata, draf pindaan berkenaan sudah disiapkan sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet dan akan dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLEC), wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan berhubung perkara ini.

“Kerajaan amat prihatin terhadap permintaan kesatuan sekerja dan akan mempertimbangkan setiap cadangan yang dikemukakan,” katanya.

PINDAAN AKTA KERJA 1955

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Hari Bertemu Pelanggan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta Majlis Pelancaran Bayar dan Menang, semalam. Sebelum ini, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa supaya cuti paterniti sekurang-kurangnya tujuh hari diperkenalkan dalam sektor swasta berikutan pindaan Akta Kerja 1955.

Pada masa ini, golongan bapa di sektor swasta tidak layak daripada segi perundangan untuk cuti paterniti manakala golongan bapa dalam sektor awam menikmati tujuh hari cuti paterniti bergaji. Sementara itu, Mahfuz berkata, pihaknya menggesa lebih 300,000 peminjam PTPK membayar balik pinjaman membabitkan tunggakan lebih RM1.2 bilion sejak 2001.

“PTPK mengambil peluang mempromosikan pemberian insentif kepada peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman latihan kemahiran melalui promosi bayar dan menang bernilai RM40,000.

“Promosi ini berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Julai hingga 30 September depan di mana penyertaan terbuka kepada semua peminjam PTPK,” katanya.

Menurutnya, PTPK dijangka menerima peruntukan wang pembangunan di bawah pelbagai skim pembiayaan bagi membantu negara mencapai 32 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2020.

Sumber : Harian Metro

Most Popular

To Top