Nur

Cara Solat Sunat Witir Yang Ringkas Selepas Terawih & Solat Malam

519
SHARES

Solat sunat witir amat dituntut oleh Allah, di mana dalam sebuah hadis daripada ‘Ali RA berkata Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ.

Maksudnya:

Wahai ahli al-Qur’an (mereka yang membaca dan beramal dengan al-Qur’an), Hendaklah kamu mengerjakan solat Witir, sesungguhnya Allah itu ganjil dan mencintai yang ganjil.

– Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Nasa’ei dan Ibnu Majah

 

Solat Witir Adalah Solat Penutup

Sebenarnya, solat sunat witir adalah solat penutup.

Ia bukan sahaja boleh dilakukan selepas solat sunat terawih di bulan Ramadhan, tetapi ia juga boleh dilakukan pada hari-hari biasa sebelum tidur, atau selepas seseorang bangun solat di tengah malam untuk qiamullail.

 

Ditunaikan Dalam Rakaat Ganjil

Sesuai dengan maksud al-Witir itu sendiri iaitu ‘ganjil’, jumlah rakaat bagi solat sunat witir boleh dilakukan sebanyak 1, 3, 5, 7, 9, atau 11 rakaat.

Seperti mana solat sunat yang lain, solat sunat witir dilakukan dengan 2 rakaat 1 salam, namun ditambah lagi 1 rakaat 1 salam supaya sempurna rakaat ganjilnya.

 

Foto Kredit: maxresdefault

Boleh Dilakukan Walaupun Hanya 1 Rakaat

Setelah selesai solat sunat tarawih, selalunya ia dilakukan sebanyak 3 rakaat dengan dua salam.

Namun, jika anda solat sendirian di rumah, anda boleh menambahkan lagi bilangan rakaat tersebut mengikut kelapangan waktu masing-masing.

Bagi yang kesuntukan masa, para ulama juga bersepakat bahawa boleh melakukan solat witir walaupun hanya 1 rakaat sahaja.

 

Cara Solat Terawih

Foto Kredit: radiosilaturahim.com

 

Cara Mengerjakan Solat Sunat Witir Yang Ringkas

Cara mengerjakan solat sunat witir adalah sama seperti solat sunat 2 rakaat 1 salam yang biasa. Cuma ada tambahan 1 rakaat 1 salam pada akhirnya.

 

Lafaz niat solat sunat witir dua rakaat :

اُصَلِّى سُنًّةَ الْوِتْرِرَكْعَتَيْنِ ِللهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Witir dua rakaat kerana Allah Taala.

Pada rakaat pertama, digalakkan membaca Surah Al-Fatihah dan Surah Al-A’la. Pada rakaat kedua pula, digalakkan membaca Surah Al- Fatihah dan Surah Al-Kafirun. Boleh juga membaca apa-apa surah lazim yang dihafal.

 

Lafaz niat solat sunat witir satu rakaat :

اُصَلِّى سُنًّةَ الْوِتْرِرَكْعَةً  ِللهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Witir satu rakaat kerana Allah Taala.

Setelah membaca Surah al-Fatihah, bacakan Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan Surah An-Nas. Boleh juga membaca apa-apa surah yang dihafal.

 

Doa Selepas Solat Sunat Witir

Setelah selesai,bacakan doa Solat Sunat Witir seperti berikut:

 

Maksudnya: 

Maha suci Allah kami mohon kepadaMu keimanan yang kekal, kami mohon kepadaMu hati yang khusyu’, kami mohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, kami mohon kepadaMu jadikan keyakinan kami pada kebenaran, kami mohon kepadaMu agar kami beramal soleh, kami mohon kepadaMu kemantapan beragama, kami mohon kepadaMu kebaikan yang banyak, kami mohon kepadaMu keampunan dan kesihatan, kami mohon kepadaMu kesenangan yang sempurna, kami mohon kepadaMu agar kami bersyukur di atas kesenangan tersebut, kami mohon kepadaMu kecukupan dalam kehidupan.

Maha suci Allah Tuhan kami, Kau terimalah solat kami, puasa kami, kedudukan amalan kami, kekhusyukan kami kepadaMu, ketundukan kami kepadaMu Ya Allah Yang Maha Mengasihi (hamba-hambaNya) yang punya rasa mengasihi. Anugerah Allah lah ke atas kebaikan makhlukNya Muhammad serta ahli keluarganya juga sahabat-sahabatnya sekalian dan segala puji itu hanya bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.

Jom Cuba Terus Mengamalkannya Walaupun Pada Hari Biasa

Walaupun menjadi kelaziman pada bulan Ramadhan, diharapkan agar amalan ini terus dilakukan pada hari-hari biasa.

Ini kerana ia turut dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan Baginda sendiri melakukan solat sunat witir walaupun sedang bermusafir.

Rasulullah SAW bersabda:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا.

Maksudnya:

Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kalian pada malam hari. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari

 

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×