Asuh

Anak Hiperaktif Tak Semestinya ADHD. 9 Cara ‘Simple’ Bantu Mereka Lebih Fokus

315
SHARES
anak terlalu aktif

“Cikgu cakap kat sekolah Faiq ni susah betul nak ikut arahan. Asyik melompat sana-sini. Ada apa-apa yang tak kena ke? Macam mana nak buat dia lebih fokus ya?”

Attention span atau konsentrasi adalah amat penting bagi seorang individu, termasuklah anak kecil. Ini kerana, ia adalah kunci kepada proses pembelajaran. Seringkali ibu dan ayah mengeluh apabila anak terlalu aktif dan tidak mengendahkan apa yang diperkatakan atau ditunjukkan kepada mereka.

Secara fitrahnya anak kecil memang suka bermain. Mereka sangat aktif dan lebih terjurus untuk melakukan sesuatu yang mereka suka. Namun, ini tidak bermakna bahawa anak kecil tidak berkemampuan untuk menumpukan perhatian.

Berapa Lamakah Anak Kecil Sepatutnya Fokus?

Tidak dinafikan, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi attention span anak-anak; contohnya waktu, tempat, kesihatan, keselesaan, dan kecenderungan minat masing-masing.

Namun menurut sebuah artikel dari Parents.com, pakar perkembangan kanak-kanak, Dr. Elizabeth Matheis berpendapat formula rule of thumb yang boleh diguna pakai secara kasar adalah: Usia x 4 minit

Ini bermaksud seorang anak berusia 4 tahun sudah boleh menumpukan perhatian selama lebih kurang 16 minit (4 tahun x 5 minit = 20 minit) dan begitulah seterusnya.

9 Cara Mudah Melatih Konsentrasi Anak Anda

Anak yang aktif tidak semestinya ADHD. Namun, mereka mungkin perlu dilatih untuk lebih fokus. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh diusahakan untuk meningkatkan konsentrasi anak anda.

1. Kurangkan Gangguan TV / Gajet

Apabila anak berada di rumah, bantu anak untuk fokus dengan mengurangkan stimulasi yang dapat mengganggu tumpuannya. Contohnya, muzik, TV, atau gajet. Anak-anak mudah hilang tumpuan apabila mendengar bunyi-bunyian sebegini.

Memang pada awalnya kita akan rasa kekok apabila mendengar keluhan anak-anak yang ‘kebosanan’. Tapi, cuba tunggu seketika dan perhatikan kesannya. Sebenarnya otak kita tidak diprogramkan untuk berada dalam mod ‘on-the-go’ setiap masa. Ia juga perlu berehat dan memperlahankan prosesnya.

Dengan mempunyai sedikit masa ‘senyap’ ini, otak mereka akan menjadi lebih relaks, lari daripada stimulasi atau rangsangan yang tidak penting, serta membantu minda untuk lebih fokus dan kreatif.

cara mendidik anak

Foto Kredit: momtastic.com

2. Tetapkan Rutin

Menetapkan rutin dan mengulanginya setiap hari akan membantu anak lebih disiplin. Secara tidak langsung, ia akan berubah menjadi tabiat di mana minda mereka telah di’set’ secara automatik untuk bangun tidur, makan, bermain, dan sebagainya.

Bagi anak kecil, semua rutin ini membantu mereka mengagak apa yang bakal berlaku dan mempersiapkan mental mereka untuk lebih fokus.

Foto Kredit: pinterest.com

3. Organisasi Ruang

Persekitaran yang baik dan selesa dapat mengelakkan mereka daripada gangguan yang tidak sepatutnya. Kalau semuanya bersepah dan berserak, lebih mudah fikiran mereka terganggu.

Lebih baik jika bilik mereka dilengkapi dengan perabot yang mudah dicapai, dilabel, dan sesuai dengan ketinggian. Dengan cara ini, mereka dapat belajar menerima arahan dengan lebih mudah dan membiasakan diri untuk mengorganisasikan ruang peribadi masing-masing.

Foto Kredit: pbceda.org

4. Ajar Anak Bergilir-gilir

Ajarkan anak untuk bergilir-gilir dalam hal-hal yang mudah di rumah. Contohnya semasa bermain tangkap bola, bercerita, atau apa-apa permainan lain.

Secara tidak langsung, ini akan mengajar mereka untuk bersabar dan memberi perhatian apabila seseorang yang lain sedang melakukan sesuatu.

Foto Kredit: scenter.nl

5. Latih Sambil Bermain

Salah satu cara yang dianjurkan menerusi scholastic.com ini juga cukup unik. Permainan ‘slow motion’ adalah permainan fizikal yang memerlukan anak untuk bergerak paling perlahan apabila disuruh bergerak dari satu titik ke titik yang lain. Atau ‘freeze’ yang memerlukan anak untuk berhenti daripada melakukan apa-apa yang sedang mereka lakukan.

Kedua-dua permainan ini amat menghiburkan di samping mengajar anak untuk lebih alert dan fokus terhadap aktiviti fizikal yang sedang mereka lakukan.

Selain itu, bolehlah juga ajak mereka bermain puzzle, blok binaan, menyusun bentuk, play doh, kad memori, dan sebagainya.

bermain sambil belajar

Foto Kredit: ourhousefamilies.org

6. Aktiviti Fizikal & Outdoor

Penelitian telah membuktikan bahawa aktiviti fizikal seperti bersukan atau senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari dapat membantu kanak-kanak menyalurkan tenaga dengan lebih berkesan.

Selain itu, bawalah mereka menghirup udara segar di taman permainan atau di halaman rumah. Kalau asyik terperap di dalam rumah pun, tak boleh juga. Aktiviti outdoor dapat membantu mereka menghilangkan stres, menggalakkan sifat meneroka, mengasah kemahiran sosial, dan baik untuk kesihatan mental mereka.

superhero anak kecil

Foto Kredit: daliulian.net

7. Rehat Yang Cukup

Rehat memainkan peranan penting dalam menentukan kecerdasan mental dan fizikal anak. Walaupun mereka bergerak ke sana ke mari, ia tidak bermakna mereka tidak letih.

Menurut sumber, waktu tidur anak yang minimum adalah 12 jam semasa bayi, 11 jam bagi anak berusia 3-4 tahun, dan 10 jam bagi anak berusia 5-7 tahun. Jika kurang daripada itu, mereka dianggap tidak cukup tidur.

Jadi, semak semula waktu tidur dan waktu bangun mereka. Jika ia terlalu pendek, cuba dapatkan sedikit tidur siang untuk menampung kekurangan waktu tersebut.

masa untuk anak

Foto Kredit: nydailynews.com

8. Kenal Pasti Minat Mereka

Tidak semua anak suka membaca dan melakukan aktiviti ‘senyap’. Tapi jika dikenalkan dengan bahan yang menarik minat mereka, mereka mungkin akan mengejutkan anda.

Contohnya jika anak sukakan dinosaur, carilah bahan bacaan bertema dinosaur. Bahan bacaan juga tidak semestinya buku. Anda boleh menggunakan flash card, poster, alatan kraf, atau apa-apa saja. Jangan terhadkan minda anda!

ajar anak membaca

Foto Kredit: trendhunter.com

9. Duduk Bersama Anak

Ada kajian mendapati bahawa anak kecil akan bermain dengan sesebuah permainan lebih lama apabila salah seorang ibu atau ayah ada bersama mereka. Prinsip ini juga boleh diaplikasikan kepada anak-anak yang lebih besar atau sudah bersekolah, namun dengan cara yang sedikit berbeza.

Contohnya, apabila anak sedang mewarna atau menulis, kita boleh duduk di meja yang sama dan lakukan perkara lain contohnya membaca buku atau membuat kerja. Dari semasa ke semasa, pandang dan senyum kepada mereka. Biarkan mereka fokus dan beri kata-kata positif untuk mereka melakukan tugasan sehingga siap.

Foto Kredit: psyciencia.com

Mulakan Dari Bawah

Apapun, jangan terlalu memaksa anak dan lihatlah juga pada kesesuaian masa untuk melatih mereka. Ada yang lebih senang fokus pada waktu pagi, selepas mandi, atau sebelum tidur. Begitu juga dengan ibu bapa. Kalau ‘kena’ waktu kita sibuk, penat, dan tension, tentu lebih mudah nampak kesalahan mereka, bukan?

Oleh itu, mulakan latihan ini dengan menetapkan tempoh yang pendek, sekitar 5 minit. Kemudian berhenti dan beri peluang mereka melakukan sesuatu yang mereka suka. Setelah target anda tercapai, barulah tingkatkan masa konsentrasi sedikit demi sedikit, sekitar 30 saat / 1 minit.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×