Sihat

Cara Hilangkan Selsema Bayi & Hidung Tersumbat Dengan Kaedah Stim Bawang Putih

501
SHARES
cara hilangkan selsema bayi

Bayi dan anak kecil memang mudah diserang selsema. Selalunya, tiada ubat diberikan kepada bayi melainkan demam selsema ini berlarutan terlalu lama atau menimbulkan masalah kesihatan yang lain.

Oleh sebab itu, ibu-ibu selalunya akan berusaha memastikan bayi selesa di samping berikhtiar dengan beberapa petua yang mudah dan selamat.

Dalam artikel ini, kami mendapatkan petua daripada Puan Najwa Hamid yang berkongsikan cara yang biasa dilakukan apabila anaknya diserang selsema atau hidung tersumbat.

Menurutnya, prosedur penyedutan wap atau steam inhalation ini bertujuan mencairkan hingus atau kahak. Kita nampak bayi tak selesa sebab mereka tak pandai menghembus atau membuang lendir yang melekat dalam hidung atau saluran pernafasannya. Jadi dengan melakukan kaedah ini, bolehlah kita bantu mengeluarkan hingus atau kahak yang degil tu dengan lebih cepat.

Jom tengok caranya.

Cara Hilangkan Selsema Bayi & Hidung Tersumbat Dengan ‘Steam Inhalation’

Di sini saya nak kongsikan cara hilangkan selsema bayi atau melegakan hidungnya yang tersumbat dengan petua ‘steam inhalation’.

Berikut adalah langkah-langkahnya:

1. Sediakan Air Panas Dalam Besen

Mula-mula, saya sediakan besen dan isikan dengan air panas. Saya isikan air panas tu lebih kurang suku saja.

2. Letak Bawang Putih Yang Ditumbuk

Kemudian saya letakkan seulas bawang putih yang ditumbuk.

Bila diletakkan dalam air panas, akan keluarlah bau bawang putih tadi.

cara hilangkan selsema bayi

3. Posisikan Bayi

Seterusnya, ambil bayi dan posisikannya macam dalam gambar di bawah ini. Jarakkan muka bayi lebih kurang 12 inci daripada besen. Pastikan kita rasa dulu wapnya dengan muka kita sendiri ya. Kalau panas sangat, tunggu airnya tadi sejuk sedikit. Kalau nak lebih senang, bedungkan bayi. Bayi saya umurnya 5 bulan.

4. Tepukkan Belakang Bayi Perlahan-lahan

Selepas itu, tepukkan belakang bayi perlahan-lahan sambil menghadapkan muka bayi pada wap tadi. Bentukkan tapak tangan secara cupping seperti dalam gambar.

Lakukan selama beberapa minit hingga agak-agak wapnya dah berkurang.

Ini cara tepuk ‘cupping’.

5. Guna Alat Sedut Hingus

Selain itu, saya gunakan juga Sterimar dan penyedut hingus ini. Sterimar ni sebenarnya air garam dan bukanlah ubat. Kita spraykan pada hidung bayi untuk bantu bersihkan hingus dalam hidungnya.

Penyedut hingus atau nasal aspirator pun boleh dapatkan di farmasi dalam pelbagai jenis. Ada yang manual, ada yang elektrik. Terpulanglah nak guna yang mana.

6. Sapu Minyak / Balm Selepas Mandi

Saya sapukan garlic baby balm ini lepas mandikan bayi. Sapukan di bahagian ubun-ubun, batang hidung, dada, belakang badan, tapak kaki dan betis bayi.

Boleh guna apa-apa jenis minyak atau balm yang sesuai untuk bayi. Saya tak jual garlic baby balm ni ya. Jangan PM saya pula.

Semoga Bermanfaat

Semoga perkongsian ini bermanfaat bagi ibu ayah di luar sana. Ingat, pegang anak dengan berhati-hati ya, terutamanya kalau anak dah besar dan jenis meronta-ronta. Kalau risau tak dapat pegang bayi dengan elok, dapatkan bantuan pasangan untuk elakkan sebarang kecederaan yang tak dijangka.

Apapun, kalau selsema dan hidung tersumbat masih tak lega, jangan teragak-agak pergi dapatkan rawatan di klinik ya!

 

*Cara hilangkan selsema bayi dan hidung tersumbat ini dikongsikan oleh Puan Najwa Hamid menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×