“Rasanya baru lagi beli beras ni minggu lepas. Tengok-tengok dah jadi tempat sarang kutu. ‘Tension’nya! Macam mana cara hilangkan kutu beras ni? Kalau beranak-pinak nanti habislah membazir kena buang beras aku ni.”
Kutu beras, bubuk atau ‘grain weevil’ ini memang selalu kita jumpa dalam beras atau tepung, terutamanya yang dah disimpan lama. Walaupun kecil, serangga ini boleh mengunyah plastik dan juga kertas dengan mudah. Maka, tidak hairanlah ia boleh berada dalam pek beras atau tepung yang baru kita beli di pasaraya.
Jika dibiarkan kutu ini ‘bersarang’ dalam bekas atau plastik simpanan beras, ia boleh mengurangkan serta merosakkan kualiti beras. Maka dengan itu, kita perlulah mengusirnya seawal mungkin apabila ternampak ‘kelibat’ kutu beras ini.
8 Cara Hilangkan Kutu Beras Dengan Pantas Dan Berkesan
Berikut adalah 8 cara hilangkan kutu beras yang boleh anda lakukan di rumah.
1. Daun Limau Purut
Daun limau purut mengeluarkan aroma yang kuat dan sekaligus menyahkan bau hapak pada beras. Walaupun ia wangi untuk kita, kutu beras amat tidak selesa dengannya.
Untuk kesan yang lebih efektif, masukkan daun ini di bahagian atas, tengah dan bawah bekas simpanan beras supaya kutu beras dapat diusir dengan cepat!
2. Asam Keping
Satu lagi bahan yang tidak digemari oleh kutu beras adalah asam keping / asam gelugur kering. Caranya mudah, cuma letakkan beberapa asam keping dalam bekas beras yang bertutup dan ia sudah cukup membuat kutu beras berasa tidak nyaman.
Selain itu, boleh juga menggunakan daun asam jawa dengan cara yang sama.
3. Daun Pandan
Daun pandan adalah juga adalah antara herba yang mengeluarkan aroma yang kuat dan tidak digemari oleh kutu beras. Selain itu, ia dapat mewangikan beras anda.
Anda juga boleh meletakkan ‘bay leaves’ atau daun salam. Tapi, pastikan daun ini kering sebelum dimasukkan ke dalam bekas.
4. Cili Kering
Antara cara hilangkan kutu beras yang paling selalu dipraktikkan adalah dengan menggunakan cili kering. Caranya, potong cili kering kepada 2 dan letakkan dalam beras anda.
Rasa pedas dan panas ini tentunya akan menjadikan kutu beras tidak selesa. Namun, pastikan anda menggantikan cili kering ini apabila baunya semakin menghilang.
5. Kulit Kayu Manis
Caranya mudah, masukkan saja beberapa kulit kayu manis ke dalam beras. Aromanya yang kuat tidak akan menjejaskan rasa beras, malah turut mewangikan lagi beras anda.
6. Jemur Bawah Matahari
Jika anda mendapati terlalu banyak kutu beras dalam beras tersebut, anda boleh cuba cara ini.
Mula-mula, letakkan cili kering dan jemurkan beras di bawah matahari terik. Kutu beras akan berpusu-pusu keluar dari beras. Lebih elok kalau diletakkan semua beras atas dalam dulang yang leper.
Kemudian, setelah beberapa minit, gembur-gemburkan beras supaya kutu beras tidak boleh bersembunyi di balik timbunan beras.
7. Gunakan Kain Lembap
Salah satu cara hilangkan kutu beras ini juga adalah dengan menggunakan kain lembap untuk menutupi beras. Anda akan mendapati kutu-kutu akan datang dan menempel pada kain basah tadi kerana kutu sukakan tempat yang sejuk. Apabila hampir penuh, buangkan kutu tersebut dan ulangi lagi hingga tiada lagi ‘kelibat’ kutu beras.
Anda juga boleh meletakkan kain lembap ini ketika menjemur beras dengan teknik (6) di atas.
8. Masukkan Beras Dalam ‘Freezer’
Kadangkala ada yang stres kerana kutu beras masih kembali walaupun telah ‘hilang’ buat seketika. Barangkali ada lagi telur kutu yang masih ada di dalam bekas beras tersebut.
Untuk memastikan kesemuanya mati, anda boleh simpankan beras di dalam peti ais bahagian ‘freezer’ selama 3 hari. Kemudian, bolehlah keluarkan dan simpan macam biasa.
Dengan cara ini, telur takkan menetas dan kutu beras pun akan mati. Selain itu, kutu beras juga akan senang timbul apabila beras dicuci nanti.
Simpan Beras Dengan Betul
Pastikan anda mempraktikkan cara penyimpanan beras dengan betul untuk mengelakkan ancaman bubuk atau kutu beras ini. Bagi yang alah, gigitannya boleh menyebabkan masalah kulit hingga berminggu-minggu lamanya.
Kalau tak selalu memasak, beli pek kecil saja. Atau, anda boleh pek semula dalam pek-pek kecil dan simpankan beras dalam ‘freezer’. Bila nak digunakan, barulah keluarkan mengikut kuantiti yang diperlukan. Mudah bukan?