Kewangan

Tak Payah Tunggu Simpanan Cukup RM1300, Ini Cara Daftar Haji Guna KWSP Tanpa Sebarang Deposit

10.2K
SHARES

Mungkin ada antara kita yang masih keberatan nak daftar haji awal-awal. Sebabnya kalau nak daftar haji ni, kena cukupkan simpanan sebanyak RM1300. Lepas tu tak boleh keluarkan sampailah tiba giliran pergi haji nanti sebab amaun tersebut akan dibekukan.

Kalau emergency terpaksa keluarkan, pendaftaran haji secara automatiknya akan terbatal dan perlulah didaftarkan semula dan akan diberi giliran baru.

Sudahnya jadi tertangguh pulalah niat nak menunaikan haji. Nak-nak pula semakin ramai yang dah mendaftar dan merayu untuk menunaikan haji saban tahun kan?

Sebenarnya untuk memudahkan dan menggalakkan lagi rakyat Malaysia mendaftar haji, sekarang ni dah ada cara yang lebih praktikal tanpa perlu mendepositkan wang RM1300.

Tak percaya, tengoklah dalam akaun ni cuma ada RM100+ je. Sedih kan?

Tapi Alhamdulillah sekarang dah boleh daftar Haji walaupun tanpa deposit. Yang penting cuma perlu ada akaun Tabung Haji dan KWSP.

Ini slip pendaftaran haji yang berjaya dibuat dengan melampirkan slip penyata KWSP.

Menarik bukan? Tapi mungkin masih ramai yang tidak tahu kaedah ini.

Cara Daftar Haji Guna KWSP Tanpa Deposit RM1300

Berikut adalah info lanjut tentang syarat dan cara pendaftarannya.

Pendaftaran Haji Ahli KWSP

Inisiatif Pendaftaran Haji Ahli KWSP merupakan satu kemudahan yang membolehkan seseorang ahli yang mempunyai simpanan KWSP membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) tanpa perlu mendepositkan simpanan sebanyak RM1,300.00 dalam akaun Tabung Haji.

Kemudahan ini tidak melibatkan pengeluaran wang simpanan KWSP.

Syarat-syarat Kelayakan

Ahli KWSP yang layak adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia atau Pemastautin Tetap
  2. Beragama Islam
  3. Mempunyai simpanan KWSP dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM1,300.00
  4. Belum mencapai umur 55 tahun
  5. Mempunyai akaun simpanan Tabung Haji

Kemudahan pendaftaran haji ini hanya dibenarkan kepada individu atau ahli KWSP berkenaan sahaja. (Maksudnya tak bolehlah daftarkan anak, isteri atau orang lain guna KWSP kita ya).

Dividen tabung haji 2018

Yang Dah Daftar Guna Deposit RM1300 Boleh Buat Tak?

Boleh.

Ahli KWSP yang telah mendaftar haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah diberi sebelum ini.

Wah, bagus kan? Tapi apa yang jadi pada duit deposit RM1300 tu?

Wang pendaftaran haji RM1,300 sebelum ini akan dicairkan. Maksudnya, ia boleh dikeluarkan tanpa membatalkan pendaftaran dan tidak menjejaskan giliran haji.

Contoh slip penyata KWSP yang diperlukan

 

Kaedah Pelaksanaan / Dokumen Yang Diperlukan

Ahli boleh mendaftar haji di bawah Pendaftaran Haji Ahli KWSP dengan hadir sendiri di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji, Bank Rakyat dan Bank Islam dengan membawa dokumen ini:

  • MyKad
  • Penyata Ahli KWSP

*Buku akaun Tabung Haji pun tak perlu bawa sebab sekarang dah guna sistem online.

Dah ada kedua-dua dokumen tu, terus pergi ke kaunter macam biasa. Beritahu je yang nak buat pendaftaran haji / tukar kaedah pendaftaran bagi yang pernah mendaftar mengikut prosedur biasa.

Nanti hanya perlu buat perakuan dan tandatangan. Sekejap aja dah selesai!

Nota: Penyata KWSP boleh diperolehi melalui i-Akaun, kios, kaunter atau penyata tahunan yang dihantar melalui mel.

Foto Kredit: kosmo.my

 

SOALAN LAZIM PENDAFTARAN HAJI AHLI KWSP

1. Apa yang dimaksudkan dengan Pendaftaran Haji Ahli KWSP?

Ia adalah satu kemudahan yang membolehkan seseorang ahli KWSP yang mempunyai simpanan KWSP membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji tanpa perlu mendepositkan simpanan minima sebanyak RM1,300.00 dalam akaun Tabung Haji.

2. Adakah melalui kemudahan ini ahli boleh mengeluarkan simpanan KWSP mereka?

Tidak.

Ahli KWSP tidak boleh mengeluarkan simpanan KWSP mereka kerana kemudahan ini bukanlah satu jenis pengeluaran. Kemudahan ini hanya bertujuan untuk pendaftaran bagi mendapatkan giliran mengerjakan haji.

Ia juga bukan bertujuan untuk membiayai ibadah haji itu sendiri.

Memandangkan simpanan KWSP bagi maksud tersebut masih kekal di KWSP, maka simpanan ini akan menerima dividen KWSP seperti biasa.

3. Siapa yang layak menyertai kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP?

Ahli KWSP yang layak adalah seperti berikut:

i. Warganegara Malaysia/Pemastautin Tetap
ii. Beragama Islam
iii. Mempunyai simpanan KWSP dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM1,300
iv. Belum mencapai umur 55 tahun
v. Mempunyai akaun simpanan Tabung Haji

4. Bagaimana untuk memohon Pendaftaran Haji Ahli KWSP?

Ahli KWSP perlu hadir di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji, Bank Rakyat dan Bank Islam dengan membawa MyKad dan Penyata Ahli KWSP.

Nota: Ahli perlu membuka akaun simpanan di Tabung Haji (jika belum)

5. Di mana ahli boleh mendapatkan Penyata Ahli KWSP?

Ahli boleh mendapatkan Penyata Ahli KWSP daripada:
i. Mana-mana Pejabat KWSP yang berhampiran
ii. Kios KWSP
iii. Laman web myEPF – pengguna i-Akaun
iv. Penyata Tahunan Ahli KWSP yang dikirim melalui mel

6. Bolehkah ahli membuat pendaftaran haji di bawah kemudahan ini bagi pasangan (suami isteri) atau ibu bapa atau anak-anak ahli?

Tidak. Kemudahan ini hanya bagi pendaftaran individu ahli sahaja.

7. Bila kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP berkuatkuasa?

Kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP telah berkuatkuasa mulai 3 Januari 2012.

8. Bolehkah Pendaftaran Haji Ahli KWSP dibatalkan?

Boleh. Terpulang kepada ahli KWSP.

9. Bolehkah ahli yang berumur 55 tahun ke atas menggunakan kemudahan ini?

Tidak boleh, hanya ahli yang berumur di bawah 55 tahun layak menggunakan kemudahan ini.

10. Mengapa ahli yang berumur 55 tahun ke atas tidak layak menggunakan kemudahan ini?

Pada umur 55 tahun, ahli boleh mengeluarkan kesemua simpanan KWSP pada bila-bila masa. Oleh itu, mereka bolehlah membuat pendaftaran sendiri dengan Tabung Haji.

11. Adakah Pendaftaran Haji Ahli KWSP ini membolehkan ahli mengerjakan ibadah haji lebih cepat berbanding prosedur sebelum ini?

Tidak, pemergian haji ini masih tertakluk kepada sistem giliran mengerjakan haji.

12. Bolehkah ahli yang telah mendaftar haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah diberi sebelum ini?

Boleh.

Ahli KWSP yang telah mendaftar haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP dan tahun peruntukan haji kekal seperti sedia ada.

Manakala wang pendaftaran haji RM1,300.00 sebelum ini akan dicairkan. Buat masa ini, pertukaran ini hanya boleh dibuat di mana-mana cawangan Tabung Haji sahaja.

13. Adakah pendaftaran haji ini terjejas sekiranya ahli membuat pengeluaran kesemua simpanan KWSP seperti Pengeluaran Hilang Upaya atau Pengeluaran Pekerja Berpencen?

Pendaftaran haji tidak terjejas dan kekal seperti sedia ada.

14. Bolehkah ahli KWSP mengeluarkan simpanan KWSP bagi tujuan membiayai kos keseluruhan menunaikan ibadah haji?

Simpanan KWSP adalah simpanan persaraan. Walagaimanapun, dengan syarat tertentu sebahagian wang dalam akaun KWSP boleh dikeluarkan bagi membiayai kos haji.

pengalaman haji

Jom Daftar Haji

Wah, senangnya nak daftar Haji. Jadi jangan lengah lagi, nanti lama pulak nak tunggu turn pergi Haji. Daftar awal-awal bagus.

Sekarang dah tahu cara mudah ni, jomlah manfaatkan kemudahan ini dan pakat daftar ramai-ramai!

*Sumber rujukan: KWSP, Lembaga Tabung Haji

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×