40 Minggu

Berapakah Berat Normal Ibu Mengandung, Yang Ideal?

3K
reads
Berat normal ibu mengandung

Berat Normal Ibu Mengandung

Menjadi lumrah seseorang wanita untuk kelihatan cantik dan mengekalkan berat badan yang ideal. Tetapi ketika mengandung, ada pula yang terlepas pandang dan tidak tahu apakah berat normal ibu mengandung. Ramai di antara ibu-ibu mengandung naik, tapi naik banyak mana yang dianggap normal? Kalau berat badan kekal pula bagaimana?

Perut Ibu Mengandung

Foto Kredit: freepik.com

Banyak sebenarnya persoalan yang bermain di fikiran ketika sedang mengandung dan salah satu daripadanya ialah apakah berat normal ibu mengandung. Maklumlah tengah berbadan dua, perlu makan lebih supaya cukup untuk dua orang bukan?

Secara umumnya, boleh ikuti jadual di bawah ini tentang berat normal ibu mengandung sebagai panduan:

Berat sebelum mengandung Berat tambahan yang disyorkan ketika mengandung
Berat yang kurang (BMI di bawah 18.5) 13 – 18kg
Berat normal (BMI 18.5-24.9) 11 – 16kg
Berat yang berlebihan (BMI 25-29.9) 7 – 11kg
Obes (BMI atas 30) 5 – 9kg

 

Kadar BMI

Jika anda mempunyai berat yang kurang iaitu BMI di bawah 18.5, anda perlu menambah berat badan yang banyak ketika mengandung. Ini adalah kerana, tanpa berat tambahan tersebut, bayi anda mungkin lahir pra-matang atau lebih kecil daripada biasa.

Sebaliknya pula jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan. Anda perlu lebih mengawasi penambahan berat badan jika ianya naik terlalu banyak, ia boleh meningkatkan risiko dan komplikasi berkenaan dengan diabetes dan tekanan darah tinggi.

Tetap gemuk selepas bersalin

Pantang Larang Semasa Hamil. Ibu Mengandung Perlu Tahu!

Foto Kredit: sheknows.com

Jika berat badan anda naik sepanjang anda mengandung dan tidak menurunkan berat selepas bayi selamat dilahirkan, dikhuatiri berat yang berlebihan tadi akan meningkatkan risiko kesihatan. Kenaikan dan penambahan berat yang berlebihan ketika mengandung juga boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan kepada bayi dan obesiti semasa membesar.

Pecahan kenaikan berat badan semasa mengandung

Sebenarnya, berat badan tambahan itu ke mana ya? Katakanlah anda naik 12kg sepanjang 9 bulan tadi, pecahannya dianggarkan seperti berikut:

  • Berat bayi (3kg)
  • Payudara lebih besar (1kg)
  • Rahim lebih besar (1kg)
  • Plasenta (0.7kg)
  • Air ketuban (1kg)
  • Penambahan isipadu darah (1.5kg)
  • Penambahan isipadu cecair (1.5kg)
  • Simpanan lemak (2.3kg)

Berat badan ibu hamil mengikut trimester

Sekarang anda tahu berapa berat normal ibu mengandung, bagaimana pula ianya dibahagikan kepada 3 trimester?

1. Trimester pertama

Semasa trimester pertama, kebanyakan ibu tidak perlu naik berat sangat pun. Memandangkan ramai yang sedang alami mabuk hamil pada ketika ini. Ramai sekali yang tidak lalu makan, jadi tak perlu paksa diri sendiri ya untuk tambah berat badan. Anda hanya perlu tambah di sekitar 2kg semasa trimester pertama ini.

2. Trimester kedua dan ketiga

Apa yang penting ialah penambahan berat badan yang berterusan dan konsisten pada trimester kedua dan ketiga. Setiap bulan anda perlu tambah lebih kurang 1.5kg sehinggalah sampai waktu untuk melahirkan anak.

Bercakap tentang berat normal ibu mengandung, tambah berat bukan bermakna boleh makan makanan ringan. Namun, lebih kepada cuba seimbangkan dengan diet yang mengandungi kalsium seperti susu dan lebihkan sayur-sayuran. Jika anda suka makan roti putih, apa kata bertukar kepada roti gandum. Makan buah daripada makan biskut. Banyak lagi sebenarnya, tetapi biarlah diambil dengan kesederhanaan.

Akhir kata

Apa-apa pun tahniah kerana anda bakal menyambut kehadiran yang baru di dalam keluarga. Semoga dengan mengetahui berat normal ibu mengandung ini, dapat membantu menjadikan anda dan bayi anda lebih sihat. Jangan lupa amalkan amalan ibu mengandung semasa hamil.

Kredit kepada: mayoclinic.org

Yang Popular

To Top