Euforia Bola 2026
Rakyat

Belanjawan 2027: Pelepasan Cukai Naik RM12,000, Langganan AI, Kasut Sukan & Tuisyen Anak Turut Termasuk!

belanjawan 2027

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober pukul 3.30 petang tadi.

Berita baik buat pembayar cukai di Malaysia! Kerajaan mengumumkan beberapa penambahbaikan berkaitan cukai pendapatan individu menerusi Belanjawan 2027, termasuk kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Baca juga: Belanjawan 2027: STR RM150, SARA MADANI RM100 Diberi Dua Kali, Sebelum Aidilfitri & Merdeka

Belanjawan 2027: Had Pelepasan Cukai Individu Naik Kepada RM12,000, Langganan AI & Kasut Sukan Turut Diambil Kira

belanjawan 2027

Menurut PMX yang mengenakan Baju Melayu berwarna biru lembut pada kali ini, langkah ini dilihat dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat, khususnya golongan yang bekerja dan mempunyai komitmen perbelanjaan keluarga.

Selain kenaikan had pelepasan cukai, kerajaan turut memperluas beberapa kategori pelepasan cukai yang boleh dimanfaatkan oleh pembayar cukai, termasuk perbelanjaan penjagaan ibu bapa, yuran pengajian anak serta langganan kecerdasan buatan (AI).

Peningkatan sebanyak RM3,000 ini memberi ruang kepada pembayar cukai untuk menikmati pelepasan yang lebih tinggi, tertakluk kepada syarat dan ketetapan yang ditetapkan.

Dalam masa sama, kerajaan turut mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan bagi dua banjaran pendapatan bercukai.

Berikut perinciannya:

  1. Pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM100,000: Kadar cukai dikurangkan kepada 18 peratus.
  2.  Pendapatan bercukai RM100,000 hingga RM150,000: Kadar cukai dikurangkan kepada 24 peratus.

Bagi golongan berpendapatan tinggi dengan pendapatan bercukai melebihi RM1 juta, kadar cukai pula diselaraskan kepada 30 peratus.

Pelepasan cukai diperluas, ini antara perbelanjaan yang terlibat

Bukan itu sahaja, kerajaan turut memperluas skop beberapa pelepasan cukai individu supaya merangkumi lebih banyak jenis perbelanjaan harian dan keperluan keluarga. Antaranya termasuk:

1. Rawatan perubatan

Skop pelepasan cukai bagi rawatan perubatan diperluas untuk meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin. Perkara ini boleh menjadi antara manfaat yang relevan buat ibu selepas melahirkan anak.

2. Penjagaan ibu bapa dan datuk nenek

Pelepasan cukai bagi penjagaan ibu bapa serta datuk nenek diperluas untuk merangkumi semua perbelanjaan penjagaan dan tidak lagi terhad kepada perbelanjaan berkaitan kesihatan sahaja.

Perluasan ini berpotensi membantu anak-anak yang menanggung kos penjagaan ibu bapa atau datuk nenek yang semakin berusia.

3. Pembelian kasut sukan

Berita baik buat mereka yang aktif bersukan! Skop pelepasan cukai bagi peralatan sukan turut diperluas untuk merangkumi pembelian kasut sukan.

4. Yuran pengajian dan kemahiran

Pelepasan cukai bagi yuran pengajian dan kemahiran diperluas untuk meliputi semua bidang pengajian serta tuisyen anak.

Perkara ini boleh memberi manfaat kepada ibu bapa yang memperuntukkan sebahagian pendapatan untuk pendidikan dan pembelajaran anak-anak.

5. Langganan AI dan perbelanjaan berkaitan haiwan peliharaan

Skop pelepasan cukai gaya hidup turut diperluas merangkumi langganan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar turut dimasukkan dalam peluasan berkenaan.

Bagaimanapun, pembayar cukai perlu merujuk ketetapan rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bagi mengetahui had tuntutan, syarat kelayakan dan dokumen sokongan yang diperlukan untuk setiap kategori.

*Menerusi langkah menaikkan had pelepasan cukai dan mengurangkan kadar cukai individu berkenaan, kerajaan menjangkakan kira-kira lima juta pembayar cukai bakal menikmati lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600.

Secara keseluruhan, penambahbaikan ini bertujuan memberi lebih banyak ruang kewangan kepada rakyat, di samping mengambil kira pelbagai keperluan individu dan keluarga.

Baca juga: Waris Pesara Kerajaan Boleh Tuntut RM3,000 Selepas Kematian, Ini Cara Mohon Bantuan Mengurus Jenazah

Sumber: Instagram @anwaribrahim_my,  Buletin TV3

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×