Sihat

‘Sakitnya Cucuk Paru-Paru Ni!’-Doktor Jelas Tentang Suntikan Corticosteroid Untuk Bayi Pramatang

63
SHARES

“ADOOOIII, sakitnya cucuk ubat matangkan peparu bayi ni doktor. Kalau tak cucuk takpe ke? – ujar Ramlah sambil mengosok-gosok punggungnya. Sambil berjalan terhincut-hincut, Ramlah mengelap air matanya yang mula berderaian”

Corticosteroid adalah sejenis ubat yang diberikan kepada ibu, jika seseorang ibu itu dijangka akan melahirkan bayi pramatang/ tak cukup bulan. Ubat ini diberikan secara suntikan pada otot, sama ada pada peha, lengan atau pada punggung. Ianya diberikan melalui 2 dos atau ada yang memberikan sebanyak 4 dos dalam tempoh 24 – 48 jam.

Mengapa corticosteroid membantu mengurangkan risiko berkaitan dengan bayi pramatang?

Ubat ini dah digunakan bertahun-tahun lamanya, diberikan kepada ibu yang dijangkakan akan melahirkan bayi pramatang, meningkatkan peluang bayi pramatang hidup selepas dilahirkan. Selain itu, ianya mengurangkan risiko bayi pramatang mendapat komplikasi serius seperti masalah pernafasan (disebabkan peparu bayi masih tidak matang), pendarahan di dalam otak, jangkitan kuman yang serius ataupun masalah pada salur pencernaan.

Adakah corticosteroid berbahaya kepada saya dan bayi?

Suntikan sebanyak 2 atau 4 kali dianggap selamat untuk ibu dan bayi. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mangatakan suntikan lebih daripada itu adalah selamat.

Bilakah sepatutnya saya mendapat suntikan corticosteroid ?

Suntikan diberikan pada minggu kehamilan ke 24 dan 33 minggu 6 hari. Jika anda akan menjalani pembedahan elektif, suntikan corticosteroid amatlah digalakkan jika pembedahan itu akan berlangsung pada 35 hinggga 38 minggu 6 hari kehamilan.

Suntikan corticosteroid boleh diberikan sebelum 24 minggu kehamilan, tetapi bukti corticosteroid dapat membantu bayi seawal ini masih lagi tidak jelas, pakar perunding akan berbincang dengan anda terlebih dahulu.

Berapa lama suntikan corticosteroid ini menjadi efektif?

Suntikan corticosteroid ini membantu jika dos terakhir diberikan antara tempoh 24 jam sehingga 1 minggu sebelum bayi dilahirkan. Ada juga kebaikan sekiranya bayi dilahirkan dalam tempoh 24 jam dari dos yang pertama.

Siapakah yang sepatutnya menerima suntikan corticosteroid?

Anda akan dinasihatkan untuk menerima suntikan ini jika anda berpotensi untuk melahirkan bayi pramatang. Ini termasuklah :

-Anda sedang mengalami kontraksi pramatang

-Air mentuban sudah pecah, walaupun tiada kontraksi

-Bayi dikehendaki untuk lahir awal, misalnya bayi tidak membesar dalam rahim

-Anda mempunyai masalah dan bayi perlu dilahirkan awal untuk menyelamatkan ibu, misalnya pre-eclampsia

-Jika anda akan menjalani pembedahan caeserean elektif sebelum 39 minggu, anda akan disarankan untuk menerima suntikan corticosteroid.

Kelahiran pramatang ni tak boleh disekat-sekat walaupun doktor guna pelbagai ubat untuk hentikan proses bersalin. Apa yang boleh dibuat, bantu mempersiapkan bayi pramatang yg bakal lahir untuk matangkan peparunya agar kurang komplikasi berkaitan dengan kelahiran pramatang.

Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Ini ikhtiar kita.

Sumber: Muhammad Izzat

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×