Rakyat

Badan Pucat, Mata Lebam, Hidung Berdarah. Bayi 7 Bulan Meninggal Dunia Dalam Jagaan Pengasuh

8K
SHARES

Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala ketika dalam jagaan pengasuhnya di sebuah rumah di Kampung Setia Jaya, Setapak, Kuala Lumpur.

Bayi Tidak Sedarkan Diri, Pucat, Bawah Mata Kanan Lebam & Hidung Berdarah

Kejadian disedari ibu mangsa jam 12.15 tengah hari pada 8 Januari 2019 ketika dia bergegas ke rumah pengasuh selepas menerima panggilan. Ketika sampai di rumah pengasuh, bayi tersebut Muhammad Aisy Fawwaz, iaitu anak bongsu daripada 3 beradik ini berada dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri. Tubuhnya juga berada dalam keadaan pucat manakala bawah mata kanan  lebam serta hidungnya berdarah.

Si ibu itu kemudian menghubungi suaminya sebelum mengejarkan bayi mereka ke sebuah klinik swasta di Taman Melati, namun doktor kemudian mengarahkan bayi dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun bayi berkenaan disahkan meninggal dunia selepas beberapa minit menerima rawatan di HKL.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, bapa mangsa berusia 33 tahun mendakwa anaknya berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke rumah pengasuhnya pagi semalam.

Foto Asal: Shafiqah Abd Razak

Punca Kematian Akibat Pendarahan Dalaman Di Bahagian Kepala

Menurut Harian Metro, bedah siasat oleh bahagian forensik HKL mendapati punca kematian bayi berkenaan adalah kecederaan dan pendarahan dalaman di bahagian kepala, mungkin akibat terjatuh atau terhentak dengan objek tumpul.

Memetik daripada status Shafiqah Abd Razak, iaitu ibu saudara mangsa, semuanya berlaku dengan begitu pantas dan berharap agar perkara ini dapat disiasat dan diadili dengan setimpal. Mangsa yang juga anak buahnya, Muhammad Aisy Fawwaz kini telah selamat dikebumikan. Beliau juga telah memuatnaik beberapa gambar dan keterangan berhubung kes ini di laman sosialnya.

Kes Masih Disiasat

Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dan siasatan berhubung punca sebenar kejadian ini sedang dilakukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar kedua ibu bapa serta keluarga mangsa diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.

 

*SUMBER: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×