Sangat menyedihkan, dalam sebuah laporan terkini oleh Berita Harian, seorang bayi lelaki yang berusia dua bulan 20 hari telah disembur dengan racun serangga oleh bapa kandungnya supaya berhenti menangis!
Malah, hasil siasatan juga mendapati bayi tersebut ditampar pada muka dan dilambung dalam kejadian Jumaat lalu di Taman Pauh Indah, Arau, Perlis.
Laporan Doktor Menunjukkan Bukti & Kesan Kecederaan
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata pihaknya menerima laporan daripada doktor yang merawat mangsa di Bahagian Ibu dan Anak Klinik Kesihatan Arau pada jam 11.30 pagi Jumaat lalu.
“Hasil laporan perubatan mendapati bayi lelaki itu berada dalam keadaan kurang aktif selain bibirnya menjadi kebiruan.
“Mangsa turut mengalami kecederaan pada belakang kepala dan leher selain terdapat kesan kemerahan ditemui pada kepalanya.
“Hasil soal siasat, ibu mangsa mengaku suaminya menyembur racun serangga pada muka dan mencederakan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Suspek Telah Ditahan & Direman
Nanda berkata, susulan itu suspek, seorang pesawah yang berusia 39 tahun itu ditahan dan direman Jumaat lalu.
Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah membenarkan tempoh penahanan reman dilanjutkan sehingga Khamis nanti bermula hari ini.
“Mangsa kini dirujuk kepada Pakar Kanak-Kanak Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk pemeriksaan lebih lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Menerima Kecaman Ramai
Seperti yang dijangka, berita ini mendapat kecaman netizen yang begitu marah dengan tindakan bapa mangsa.
Ruangan komen dihujani dengan pelbagai kata-kata negatif terhadap si pelaku.
Ia juga menimbulkan rasa kasihan dan sedih terhadap bayi yang tak tahu apa-apa dan diperlakukan sedemikian rupa.
Walaubagaimanapun, ada juga yang mengaitkannya dengan masalah mental dan tekanan emosi yang semakin melarat.
Apapun hasil siasatannya, kita berharap agar kebenaran akan ditegakkan.
Kita sama-sama doakan agar bayi tersebut dapat kembali pulih dan semoga keluarga mangsa tabah menghadapi musibah ini.
*Sumber: Berita Harian