Sejak negara dilanda banjir beberapa hari lalu, ramai pihak mula melakukan pelbagai usaha bagi membantu mangsa banjir.
Di sebalik musibah ini, rakyat Malaysia yang terkenal dengan kemurahan hati saling berpakat dan menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.
Kita dapat lihat masjid-masjid membuka ruang untuk semua bangsa berlindung dan mendapatkan makanan, dan begitu juga halnya dengan Gurdwara yang menyediakan makanan buat semua mangsa, termasuk juga orang Islam.
Menjadi topik perdebatan ramai, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah memberi penjelasan mengenai isu tersebut.
Hukum Makan Makanan Hidangan Yang Disediakan Oleh Bukan Islam
Menurut beliau, tidak ada masalah untuk makan hidangan yang disediakan oleh bukan Muslim selagi mana ia tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka.
Hal ini terpakai dalam isu agihan bantuan, atau rumah terbuka yang sudah pasti saudara kita yang berlainan agama majoritinya faham konsep halal.
Adapun bagi kedai makan, carilah yang ada logo halal JAKIM. Itu bermakna ia halal dari segi syarak dan kualiti kebersihan.
Ya. Tidak ada masalah untuk makan hidangan yang disediakan bukan Muslim yang bukan ahli kitab (People of the Book) selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka. Terima kasih kepada saudara kami yang beragama Sikh atas bantuan yang dihulurkan. God bless them. https://t.co/BP7ix7956w
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) December 21, 2021
Dr Zulkifli juga mengucapkan terima kasih kepada saudara di Gurdwara Sahib atas bantuan yang dihulurkan.
Dalam sebuah hantaran di Facebook, beliau juga melawat kawasan tersebut.
Ikuti perkongsian beliau di bawah:
Saya mengenali agama Sikh melalui konsep “seva” iaitu khidmat sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan. Dalam Islam, konsep yang sama juga boleh kita temui iaitu “ikhlas”, perbuatan samada ibadah khusus mahupun umum yang dilakukan hanya kerana Allah SWT.
Terima kasih kepada Presiden Gurdwara Sahib Petaling Jaya – GSPJ, En. Awatar Singh Terry dan seluruh Jawatankuasa GSPJ atas jemputan yang disampaikan kepada saya. Saya dibawa meninjau proses penyediaan juadah untuk mangsa banjir daripada dapur sehinggalah ke meja bungkusan. Amat bersih dan kemas.
Atas insiatif saya bermula tahun lalu ketika menjawat jawatan Menteri, konsep “soup kitchen” seperti ini turut dibuat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sejak mulanya Perintah Kawalan Pergerakan dan diberi nama Dapur It’am. Alhamdulillah, saya dikhabarkan ia masih diteruskan sehingga hari ini.
Baca juga:
- “Kami Tiada Masa Rakam Video & Gambar Ketika Bekerja”, Anggota Bomba Beri Penjelasan, Luah Rasa Sedih
- “Terharu & Sebak Tengok Satu Malaysia ‘Turun Padang’ Tak Kira Bangsa”
Penganut Sikh Mengamalkan Diet Vegetarian
Penganut Sikh mengamalkan diet vegetarian. Ini bermakna, mereka sama sekali tidak menjamah daging. Hukum Muslim memakan makanan daripada bukan Muslim yang bukan ahli kitab adalah dibolehkan selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka.
Saya diberi taklimat gerak kerja yang dimulakan sejak hari Jumaat lalu apabila mendapat khabar berkenaan musibah banjir. Mereka berkerja secara bergotong-royong dan disertai pelbagai bangsa, agama serta pelbagai latar belakang untuk menyiapkan juadah makanan kepada mangsa banjir.
Suasana Muhibah & Harmoni
Penghantaran setiap hari amat pantas dengan bantuan 20 buah trak pikap ke sekitar Selangor, Kuala Lumpur bahkan Pahang.
Sesungguhnya saya amat terharu dengan kerjasama tanpa rasa sebarang penat lelah semata-mata menzahirkan semangat membantu yang amat luar biasa.
Saya amat kagum melihat pengurusan sistem agihan bantuan yang melibatkan pelbagai agama dan bangsa. Semuanya tersusun dan lengkap dengan dokumentasi. Ini amat penting bagi menjamin integriti dan profesionalisme.
Mewakili Muslim Council of Elders – Malaysia dan Surau Al-Makrifah, saya berbesar hati menyampaikan sumbangan untuk tujuan penyediaan makanan kepada mangsa banjir.
Melihat suasana yang penuh muhibah dan harmoni, sewajarnya kita bersyukur menjadi rakyat Malaysia.
Sumber: https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri/posts/475477387272776