Sihat

Bahaya Hayun & Tarik Tangan Anak, 5 Perkara Tentang ‘Nursemaid Elbow’ Ibu Ayah Kena Peka

6.8K
SHARES

Anak-anak memang suka bila ibu ayah bermain dan bergurau dengan mereka. Kadang-kadang seronok sangat sampai lupa ada perbuatan yang boleh membahayakan anak.

‘Nursemaid elbow’ adalah sejenis kecederaan siku yang boleh berlaku pada anak kecil, terutamanya yang berusia 5 tahun ke bawah.

Jom ketahui lebih lanjut tentangnya dalam artikel ini.

Bahaya hayun tangan anak

1. Apakah Nursemaid Elbow?

‘Nursemaid elbow’ atau bahasa sainsnya radial head subluxation adalah sejenis kecederaan otot ligamen atau tulang pada siku yang boleh berlaku apabila tangan anak tertarik dengan kuat.

Ia digelar nursemaid elbow kerana dipercayai ada suatu masa dahulu nursemaid (nanny) dikatakan sering menyebabkan kecederaan ini ketika menjaga kanak-kanak.

Dalam bahasa ringkasnya, ia juga digelar ‘lengan tertarik’ atau ‘pulled elbow’.

2. Bagaimana Ia Boleh Berlaku?

Tulang dan ligamen kanak-kanak masih lembut dan dalam proses perkembangan. Oleh itu, kecederaan ini boleh berlaku apabila berlakunya tarikan yang kuat pada siku.

Menurut sumber, kanak-kanak berusia 1-4 tahun adalah yang paling kerap mendapat kecederaan ini.

Pada usia 5 tahun, selalunya ligamen pada siku kanak-kanak akan menjadi lebih kuat dan mereka kurang berisiko mendapat nursemaid elbow ini.

 

3. Simptom

Dari segi luaran, ia mungkin sukar dilihat kerana kecederaan ini biasanya tidak menyebabkan bengkak atau kelainan (disfigurement) pada sendi.

Simptom yang paling biasa berlaku apabila kanak-kanak mengalami lengan tertarik ini adalah rasa sakit.

Mereka juga sukar menggerakkan lengan dan tangan kerana akan menyebabkan rasa lebih sakit.

4. Cara Mengelakkannya

Antara perbuatan yang perlu dielakkan oleh ibu ayah adalah:

  • Menghayun tangan anak ketika bermain
  • Mengangkat anak dari tempat duduk / baring dengan menarik lengan / tangannya
  • Menarik tangan anak dengan kuat ketika berjalan dengannya

Seeloknya, angkat / dukung anak dengan selamat dengan memegang bahagian badan atau bawah ketiaknya.

*Anak yang terjatuh jarang mendapat kecederaan ini, sebaliknya lebih cenderung mendapat kecederaan berupa retakan atau patah.

Foto Kredit: hertsmereleisure.co.uk

5. Diagnosis & Rawatan

Sekiranya anak anda mengadu sakit pada lengan atau siku atau menggerakkannya dalam keadaan yang luarbiasa, bawalah anak berjumpa doktor.

Pemeriksaan x-ray biasanya tidak diperlukan, tapi boleh dilakukan untuk mengesan masalah yang lebih serius seperti retak atau patah.

Doktor yang mahir akan merawatmya melalui proses reduction, di mana tulang dan ligamen akan digerakkan dengan lembut kembali ke tempatnya.

Proses ini biasanya akan mengambil beberapa saat saja, walaupun mereka mungkin akan berasa sedikit kesakitan ketika itu.

Namun mereka akan berasa lega setelah itu. Dalam tempoh 5-10 minit, anak dah boleh gerakkan tangan macam biasa.

Tapi ada juga kes-kes tertentu yang memerlukan lebih masa dan rawatan untuk sembuh.

Anak Memang Seronok, Tapi Kita Jangan Leka

Memang seronok anak tu bila kita hayun-hayun. Rasa macam terbang kan?

Tapi ibu ayah kena peka dengan kecederaan ini supaya perkara yang tak diingini boleh dielakkan.

Walaupun ia mungkin tidaklah begitu serius, tapi mesti risau kan kalau tangan anak yang sekecil tu alami kecederaan macam ni kan?

Jadi langkah terbaik adalah dengan lebih berhati-hati, terutamanya bila bermain dengan anak.

Jangan lupa kongsikan juga maklumat ini dengan ibu ayah lain supaya dapat membentuk kesedaran bersama ok!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×