Didik

[TERKINI] 6 Fakta Penting Tentang UEC – Dr Maszlee Malik

45
SHARES
apakah itu uec

Sekarang sedang hangat tentang isu kerajaan yang dikatakan dalam proses mengiktiraf UEC.

Bagi yang belum tahu, UEC adalah akronim bagi Unifed Examination Certificate atau Sijil Peperiksaan Bersama. Ringkasnya, ia merupakan peperiksaan bersepadu yang digunakan oleh sekolah menengah persendirian Cina di seluruh Malaysia.

Sijil UEC mempunyai 3 tahap iaitu Mene­ngah Rendah (UEC-JML), Vokasional (UEC-V) dan Menengah Tinggi (UEC-SML) yang kesemuanya menggunakan bahasa Mandarin. Rata-rata ia menimbulkan perdebatan di kalangan rakyat Malaysia kerana dianggap akan menjejaskan Bahasa Melayu serta menghapuskan identiti negara Malaysia.

Walaupun belum diiktiraf oleh kerajaan Malaysia, sijil ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Taiwan adalah negara menerima pelajar lepasan UEC paling tinggi di dunia diikuti oleh Singapura. Destinasi kegemaran lain termasuklah Australia, United Kingdom dan China.

Berikut adalah ulasan terkini Dr Maszlee tentang status dan isu UEC di Malaysia:

 

Ramai yang meminta saya mengulas mengenai isu UEC sejak beberapa hari yang lepas.

Berikut adalah beberapa perkara yang telah saya jelaskan sebelum ini di pelbagai medium.

Namun demikian saya akan mengambil peluang untuk menjelaskan sekali lagi beberapa fakta penting mengenai UEC di sini.

1. Adakah UEC Sudah Diiktiraf?

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sehingga kini tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk mengiktiraf UEC. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Ogos 2018 telah memutuskan untuk KPM menubuhkan pasukan petugas khas bagi meneliti isu berkaitan UEC.

Sehubungan itu, pada 28 September 2018, KPM telah menubuhkan Pasukan Petugas Dasar UEC yang dianggotai oleh tiga panel dari luar KPM dan anggota-anggota ini terdiri daripada mereka yang pernah terlibat dengan sistem UEC dan mereka yang berada di luar sistem.

Hasil kajian yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Dasar UEC ini akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan keputusan akhir. 

apakah itu uec

Foto Kredit: The Star

2. Siapakah yang mengganggotai Jawatankuasa Kajian UEC?

Anggota Pasukan Petugas Dasar UEC telah dilantik pada 29 Oktober 2018 dan mereka terdiri daripada individu seperti berikut:

(a) Encik Eddin Khoo Bu Eng (Penulis, Wartawan dan Pengasas PUSAKA) –Pengerusi;

(b) Encik Mohamad Raimi Ab Rahim (Peguam dan Presiden ABIM) – Ahli; dan

(c) Datuk Tan Yew Sing (Timbalan Presiden Dong Zong dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China) – Ahli

apakah itu uec

3. Jika tidak diiktiraf, mengapa UEC diterima sebagai syarat untuk menduduki Sijil Amalan Guaman (CLP)?

CLP bukan terletak di bawah bidang kuasa KPM.

Dalam masa sama, KPM meminta untuk semua pihak menghormati kajian yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Dasar UEC dan tidak membuat sebarang kenyataan atau keputusan yang boleh mengelirukan orang awam.

4. Bagaimana pula dengan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan bagi lulusan UEC yang ditawarkan baru-baru ini?

Program ini bukanlah program baharu, tetapi telah berjalan sejak tahun 2011 lagi. Program ini juga dibuka untuk lulusan Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU).

5. Apakah fungsi yang dimainkan oleh Pasukan Petugas Dasar UEC?

(a) Mengkaji dan mencadangkan hala tuju dasar berhubung UEC untuk dikemukakan kepada KPM;

(b) Menyediakan dan mengemukakan pelaporan kajian yang mengandungi syor-syor kepada KPM dalam tempoh 3 hingga 6 bulan daripada tarikh lantikan;

(c) Menyediakan dan membentangkan pelaporan status kajian kepada Ketua Setiausaha KPM dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada setiap bulan; dan

(d) Melaksanakan proses libat urus dengan semua pemegang taruh dan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat berhubung dasar UEC.

6. Bilakah Jawatankuasa Kajian UEC akan mengeluarkan laporan akhir?

Penyediaan laporan mengenai isu UEC tidak harus dibuat dalam keadaan tergesa-gesa tanpa mendapat pandangan yang menyeluruh dan pemikiran yang mendalam dalam penyediaan syor-syor bagi menangani isu ini.

Sehingga kini Pasukan Petugas Dasar UEC telah menjalankan 14 sesi temu bual yang melibatkan 34 slot bersama-sama tokoh individu dan pertubuhan yang dijemput secara khusus serta lima mesyuarat.

Laporan akhir berkaitan isu UEC ini dijangka disiapkan pada Julai 2019.

Hasil kajian yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Dasar UEC ini akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan keputusan akhir.

 

*Sumber: FB Fanpage Rasmi Dr Maszlee Malik

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×