Setiap kali membeli produk makanan dan minuman kita akan perasan terdapatnya label tarikh luput iaitu “baik sebelum” dan juga “guna sebelum”. Masih ramai antara kita tidak pasti mengenai perbezaan antara kedua tarikh luput ini. Label tarikh luput digunapakai untuk produk-produk yang mudah rosak seperti makanan dan minuman, ubatan, kosmetik, bahan letupan, tayar, bateri dan sebagainya. Berikut perkongsian ahli kimia ini di laman Facebook beliau mengenai perbezaan tarikh luput.
PERBEZAAN TARIKH LUPUT
Sebenarnya ada perbezaan pada kedua jenis label tarikh luput ini dan ada sebabnya makanan ini dilabel sebegitu. Jom teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut. Di sini, kita akan fokus kepada makanan dan minuman sahaja.
GUNA SEBELUM (USE BY)
Tarikh yang tertera sebagai “Guna Sebelum” ialah akhir sesuatu produk itu selamat untuk dimakan. Kebiasannya ianya digunakan pada produk makanan yang cepat rosak. Dan tidak perlu simpan lama seperti daging, susu, kek, roti, telur dan sebagainya. Bagi produk makanan yang dilabel sebegini haruslah dibuang serta merta selepas tarikh yang dinyatakan.
BAIK SEBELUM (BEST BEFORE)
Tarikh untuk label “baik sebelum” menunjukkan sifat atau kualiti produk tertentu sehingga tarikh yang dinyatakan. Selepas pada tarikh yang dinyatakan pada bungkusan itu, produk itu sudah tidak boleh dijual. Kerana berkurangnya kualiti seperti kehilangan kesegaran, tekstur, aroma, rasa dan nutrisi asalnya.
Tetapi ini tidak bermaksud makanan itu tidak lagi selamat untuk dimakan. Kita sebagai pengguna boleh menilai sesuatu produk makanan itu rosak atau tidak dengan melihat pada perubahan rupa (berkulat, berlendir, keladak, pembentukan lapisan cecair). Warna (berubah dari yang asal), bau (tengit disebabkan oksidasi). Dan rasa (tengit, masam) dari yang asal disebabkan oleh berlakunya tindak balas kimia pada produk berkenaan. Sekiranya terdapat perubahan ini, maka kita seharusnya membuang terus produk ini.
TIPS MEMANJANGKAN JANGKA HAYAT PRODUK
Simpan di dalam peti ice (freezer atau chiller). Suhu yang rendah melambatkan proses tindakbalas kimia bahan dalaman produk. Juga memperlahankan pertumbuhan kulat dan aktiviti bakteria perosak.
Sumber: Fatimah Salim