Bukan semua kehendak anak mampu ditunaikan oleh ibu bapa, terutama apabila melibatkan permainan yang sedang menjadi trend. Namun, kisah squishy DIY seorang kanak-kanak ini membuktikan ada kalanya perkataan “tak boleh” menjadi titik mula kepada sesuatu yang lebih kreatif.
RAMAI KAGUM ANAK INI KREATIF BUAT SENDIRI SQUISHY DIY

Menerusi Threads, seorang ibu dikenali sebagai Kak Chah berkongsi kisah anaknya yang tidak merajuk atau meminta-minta selepas dia tidak mampu membelikan squishy viral yang diinginkan.
Sebaliknya, si kecil itu mengambil inisiatif untuk menghasilkan sendiri pelbagai squishy mengikut kreativiti dan imaginasi yang ada.
Menurut Kak Chah, harga squishy yang diinginkan anaknya terlalu mahal untuk dibeli ketika itu. Situasi tersebut membuatkan si ibu meluahkan perasaan sebagai seorang ibu yang tidak mampu memenuhi permintaan anak.
“Titik terendah seorang ibu. Anak minta belikan squishy tapi mahal sangat,” luahnya.
Namun, apa yang berlaku selepas itu ternyata membuatkan hatinya tersentuh. Anaknya tidak merajuk, marah atau merengek kerana tidak mendapat mainan tersebut.
Sebaliknya, dia banyak menghabiskan masa di dalam bilik dan menghasilkan squishy sendiri tanpa pengetahuan ibunya.
“Anak tak merajuk. Dia tak marah, tak merengek. Selalu duduk dalam bilik diam-diam. Rupa-rupanya buat sendiri squishy dia,” tambahnya lagi di ruangan kapsyen.
Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan pelbagai squishy hasil tangan kanak-kanak berkenaan dalam bentuk, saiz dan warna berbeza. Ada yang menyerupai blok mentega, bungkusan snek strawberi dan beberapa bentuk lain yang dihasilkan menggunakan kreativiti sendiri.
Lebih menarik, Kak Chah menjelaskan anaknya menggunakan bubble wrap sebagai bahan untuk menghasilkan mainan tersebut.
Baca juga: Perangkap Biasa Dah Tak Lut Untuk Halau Tikus…Cuba 5 Daun Ini, Baunya Memang ‘Dibenci’!

Warga maya puji anak pandai cari solusi
Perkongsian itu kemudian menarik perhatian ramai yang bukan sahaja kagum dengan kreativiti kanak-kanak tersebut, malah turut memberikan kata-kata semangat kepada ibunya.
Ada yang berpendapat tindakan anak berkenaan mencari jalan sendiri selepas menerima jawapan “tidak” merupakan satu perkembangan yang baik kerana dia belajar mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah.
Seorang lagi pengguna pula berkongsi bahawa anaknya turut menghasilkan squishy sendiri bersama permata hatinya yang lain.
Ada juga yang melihat kreativiti tersebut sebagai sesuatu yang wajar dihargai oleh ibu bapa, “Apa sahaja yang merangsang otak anak untuk bersifat kreatif & inovatif adalah titik tertinggi.”
Selain itu, beberapa warga maya turut menyatakan bahawa menghasilkan mainan sendiri boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan untuk kanak-kanak, di samping memberi mereka peluang menggunakan imaginasi dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Dari ‘titik rendah’ jadi titik tinggi
Menariknya, Kak Chah sendiri mengakui perasaannya berubah selepas melihat hasil kreativiti anak.
Apa yang pada awalnya dirasakan sebagai kekurangan kerana tidak mampu membeli squishy akhirnya membuatkan dia melihat sisi positif daripada situasi tersebut.
“Titik rendah ekonomi. Titik tinggi kreativiti,” katanya ketika membalas komen seorang warga maya.
Squishy sendiri sebenarnya bukanlah fenomena baharu. Permainan lembut dengan pelbagai bentuk dan karakter itu pernah menjadi trend dalam kalangan kanak-kanak sekitar 2016 hingga 2018 sebelum kembali mendapat perhatian selepas beberapa tahun.
Namun, kisah anak Kak Chah ini menunjukkan permainan tersebut tidak semestinya perlu dibeli untuk memberikan keseronokan. Dengan bahan yang ada di rumah dan sedikit imaginasi, anak kecil itu berjaya mencipta sesuatu yang membuatkan bukan sahaja dirinya boleh bermain, malah ibunya turut tersenyum.
Daripada kecewa kerana tidak mampu membeli mainan yang diinginkan, pengalaman itu akhirnya menjadi satu pengajaran yang lebih besar. Kadangkala apabila anak tidak mendapatkan apa yang mereka mahu, di situlah kreativiti dan kebolehan mereka mencari jalan keluar mula berkembang.
Sumber: Threads @kakchah_jb
FT Image: Threads @kakchah_jb
