Aktivis dan personaliti media sosial, Farah Lee, mengingatkan orang ramai tentang kepentingan adab di restoran. Dalam satu perkongsian, dia menegur kebiasaan sesetengah pelanggan yang guna pensel disediakan pihak restoran untuk tujuan lain selain menulis pesanan makanan.
Pensel tersebut sering dijadikan alat untuk anak-anak menconteng, bermain atau digunakan oleh pelanggan untuk urusan peribadi tanpa meminta kebenaran.
Baca juga: Kena ‘Kacau’ Di Campsite Ketika Period, Jam 12 Malam Ada Bau Hanyir Darah & Tangan Sakit!
JANGAN BAGI ANAK GUNA PENSEL, CONTENG BENDA LAIN – FARAH LEE

Freepik (Sekadar gambar hiasan)
Menurut Farah, walaupun perbuatan itu kelihatan kecil dan remeh, ia tetap melibatkan soal hak. Pensel yang disediakan adalah milik restoran dan hanya bertujuan untuk memudahkan pelanggan membuat pesanan.
Menggunakannya untuk tujuan lain tanpa kebenaran dianggap mengambil sesuatu yang bukan milik sendiri. Dia menegaskan bahawa tidak wajar seseorang menganggap hal itu sebagai perkara kecil sekadar kerana nilai barang tersebut murah atau kerana ia mudah diganti.
“Jangan biasakan guna pensel dekat restoran untuk tulis menu atau bagi anak conteng‑conteng, kecuali sudah mendapat izin. Sebab itu bukan hak kita, walaupun sekecil-kecil dakwat. Apatah lagi benda besar,” pesannya.
Farah mendedahkan ada individu yang membalas tegurannya dengan mengatakan bahawa isu pensel tidak sepatutnya dijadikan perkara besar. Namun, katanya, sikap memandang remeh ini sebenarnya yang mendorong kepada budaya mengambil mudah hak orang lain.
Dia menekankan bahawa konsep menghormati hak sesama manusia tidak diukur pada besar atau kecilnya barang, tetapi pada nilai integriti dan tanggungjawab yang dipegang.

“Farah pernah kongsi pasal hal ni tapi ada orang reply “Alaa pencil pun nak bising, apa la sangat” – jangan main apa la sangat sahaja. Benda yang bukan hak kita, haram guna. Jangan biasakan, jangan ajar anak biasakan,” tambahnya.
Jadi diharapkan ibu bapa di luar sana menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak dengan tidak membenarkan mereka menggunakan pensel restoran tanpa izin.
Tindakan kecil seperti meminta kebenaran sebelum menggunakan kemudahan yang disediakan dapat mendidik anak tentang konsep adab, amanah dan menghormati hak orang lain sejak dari kecil.
Membiarkan anak menggunakan barangan awam tanpa kebenaran hanya akan membiasakan mereka dengan sikap mengambil mudah sesuatu yang tidak menjadi milik mereka.
Baca juga: Petugas Kesihatan ‘Kecam’ Ibu Bapa Pilih Ejaan Nama Anak Susah, “Kenapa Latifah Jadi Latheefah?”
Sumber: Threads
