Sebanyak 53,245 pasangan bercerai dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan Selangor mencatat jumlah kes perceraian tertinggi, diikuti beberapa negeri lain.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Selangor merekodkan 10,774 kes perceraian, diikuti Johor (6,078), Kedah (4,582), Perak (3,908) dan Kelantan (3,820).
Baca juga: Ashraf Muslim Kongsi Tips Kekal Harmoni, “Jangan Tayang Harta & Bahagia Di Media Sosial”
53,245 PASANGAN BERCERAI DI SELURUH NEGARA DALAM TEMPOH 9 BULAN

Negeri-negeri lain termasuk Sabah (3,810), Pahang (3,767), Terengganu (3,647), Wilayah Persekutuan (3,397), Negeri Sembilan (2,679), Sarawak (2,233), Pulau Pinang (2,026), Melaka (1,793) dan Perlis (731).
Ketua Pengarah JKSM, Datuk Mohd Amran Mat Zain, menjelaskan bahawa angka berkenaan merujuk kepada kes perceraian yang telah disahkan oleh Mahkamah Syariah dan tidak termasuk kes yang masih berada di peringkat permohonan.
Daripada jumlah keseluruhan, 31,845 kes melibatkan perceraian melalui lafaz cerai di hadapan hakim, manakala 15,972 kes melibatkan pengesahan lafaz cerai yang dilafazkan bukan di hadapan hakim. Jenis perceraian lain termasuk taklik (1,257 kes), tuntutan fasakh (4,090 kes) dan tebus talak (81 kes).
JKSM mengenal pasti lima punca utama perceraian di negara ini, termasuk culas dalam menunaikan tanggungjawab dan pembabitan dalam jenayah seperti penyalahgunaan dadah atau perlakuan jenayah lain.
Antara faktor lain termasuk kegagalan suami atau isteri menunaikan tanggungjawab, termasuk gagal memberi nafkah, bersikap kasar atau mendera, menghilangkan diri, tiada persefahaman, masalah kewangan atau curang.

Bagaimanapun, Datuk Mohd Amran menekankan bahawa mahkamah sentiasa berusaha untuk mengelakkan perpisahan pasangan melalui proses mediasi atau perdamaian (sulh).
Setiap permohonan perceraian akan disaring mengikut peruntukan undang-undang Islam, termasuk di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.
Mahkamah akan menilai asas permohonan dan melihat sama ada ia memenuhi syarat hukum syarak. Dalam banyak kes, mediasi dijalankan dahulu. Jika berjaya, pasangan boleh berdamai. Jika tidak, barulah mahkamah mengesahkan perceraian melalui lafaz yang sah.
Statistik ini menunjukkan kepelbagaian cabaran yang dihadapi pasangan di seluruh negara dan menekankan kepentingan mediasi serta sokongan keluarga dan masyarakat dalam mengekalkan institusi perkahwinan.
Baca juga: Jangan Ucap 5 Ayat Ini Pada Suami, Nampak Biasa Tapi Boleh Lukakan Hati & Gugat Hubungan
Sumber: BH Online
