Rakyat

“Allahuakhbar Api!”- Rumah Terbakar Gara-Gara Switch Box, Ibu Ini Kongsi Tips Supaya Tak Panik

585
SHARES

Menjamin keselamatan keluarga dari segi keselamatan di dalam dan luar rumah adalah penting. Hal ini juga merangkumi menjaga anak-anak apabila berlaku situasi yang mengejutkan. Sudah pasti, bukan sahaja anak-anak yang akan panik malah ibu bapa juga akan berasa tidak keruan apabila berlaku situasi mengejutkan.

Seperti apa yang dikongsikan oleh si ibu ini apabila beliau berhadapan dengan kes kebakaran di dalam rumah sendiri! Turut bersama dengan 4 orang anak pada waktu ini memerlukan si ibu ini kekal tenang dalam mengawal situasi terutamanya pergerakan anak-anak.

TERDENGAR ANAK SULUNG MENJERIT-JERIT, KEBAKARAN!

Ketika kejadian lebih kurang jam 11am saya sedang mandikan anak kecil di tingkat atas. Terdengar suara anak sulung dan anak ke-2 menjerit berkali-kali dari tingkat bawah. “Ibu..ibu, tolong ibu, ibu turun sekarang ibu”. Saya jenguk dari tangga, Allahuakhbar api..! Api keluar dari main switch box yang terletak di sebelah pintu utama rumah. Anak-anak, saling menjerit ketakutan.

Saya tinggalkan anak ke-3 dan ke-4 di tingkat atas, berlari turun ke bawah ambil kunci rumah, buka pintu dan grill. Tolak anak ke-2 keluar rumah sambil itu saya menjerit sekuat hati minta anak ke-3 keluar dari bilik air di tingkat atas. Anak kecil usia 2 tahun juga masih di atas. Saya berlari naik ke atas selamatkan si kecil dan minta anak sulung dukung dan keluar dari rumah.

Saya kumpulkan mereka 4 beradik di luar pagar rumah. Api sedang membesar. Saya istighfar dan tawakal berlari semula naik ke tingkat atas ambil handphone. Sambil berlari turun tangga, terus hubungi Mak. “Mak, rumah Ayong terbakar, tolong datang ambil anak-anak Ayong”.

TAWAKAL, CARI PEMADAM API

Kemudian jari laju dail 999. “Cik, rumah saya terbakar di Saujana Impian Kajang. Mereka terus sambungkan panggilan ke Balai Bomba berhampiran. Saya hubungi pula suami yang sedang bekerja. “Abang, balik..rumah kita terbakar”.

Beberapa minit kemudian adik saya sampai dan ambil anak-anak bawa ke rumah Mak (rumah saya berhampiran dengan rumah Mak). Dalam keadaan kelam kabut, saya terfikir, “aku ada alat pemadam api”. Capai pemadam api, tarik kuncinya. Saya tawakal sepenuhnya, berlari semula masuk ke rumah untuk padamkan api yang kian marak. Non-stop tekan pemadam api.

Alhamdulillah api padam. Jatuh terduduk saya lepas tu. Lembik kaki. Menggeletar satu badan. Diam tak terkata atas lantai. Kemudian mak, abah dan suami sampai. 45 minit berlalu, Bomba masih belum tiba. Bayangkan jika tiada pemadam api, bagaimana keadaan api dan rumah. Allahuakhbar.

APA YANG KITA PERLU BUAT JIKA BERLAKU KEBAKARAN DALAM RUMAH

Pengalaman ini benar-benar mengajar. Tips ini saya kongsikan kepada semua sahabat. Jika berlaku kebakaran ketika kita berada di dalam rumah.

1. JANGAN PANIK

Ya, bukan mudah nak bertenang dalam situasi cemas tapi mahu atau tidak, kita sedang pikul tanggungjawab besar sebagai seorang Ibu. Nyawa anak-anak menjadi keutamaan. Jika kita panik, seriously kita tidak boleh berfikir secara rasional.

2. BERKUMPUL SATU TEMPAT

Pastikan semua orang di dalam rumah berkumpul di luar rumah atau ditempat selamat. Ini untuk memudahkan proses menyelamat.

3. SELAMATKAN DIRI SENDIRI

Cuba sepantas boleh selamatkan diri kerana hanya kita sahaja tahu laluan mana di dalam rumah yang paling selamat untuk kita selamatkan diri.

4. HUBUNGI 999/KELUARGA

Telefon keluarga dan pihak penyelamat, talian 999 sangat membantu. Apa yang boleh saya katakan, mereka sangat efficient. Hubungi TNB juga.

5. ALAT PEMADAM API

Wajib ada pemadam api disetiap rumah. Ia berguna. Ya, sekarang kita fikir tiada keperluan tapi jika berlaku kebakaran ia membantu selamatkan nyawa, harta benda dan kawasan kejiranan. Jika berlaku kepada jiran, kita dapat membantu. Pahala free.

6. CHECK PENDAWAIAN ELEKTRIK

Panggil orang berpengalaman untuk periksa pendawaian elektrik. Saya difahamkan oleh pihak Bomba, soket longgar di Main Switch Box dan ia mengakibatkan percikan api berlaku.

Semoga tips ini dapat memberi persediaan mental fizikal kepada kita jika berdepan dengan situasi cemas. Terima kasih Ya Allah, Kau turunkan ujian diwaktu siang semasa aku sudah terjaga dari tidur malamku. Jika ujian ini berlaku dikala aku sekeluarga sedang nyenyak tidur, mungkin kami sekeluarga terkandas di tingkat atas dan sudah tiada di dunia ini. Terima kasih Ya Allah kerana masih memberi peluang untuk kami tumpang di bumi-Mu ini lagi.

Sumber: Ellysyafina Dali

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×