Rakyat

Akaun Bank Suami / Bekas Suami Culas Bayar Nafkah Bakal Disekat – JKSM

124
SHARES

IPOH: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan ke peringkat seterusnya bagi melaksanakan tindakan sekatan akaun bank kepada suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah.

Ketua Pengarah JKSM, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbincangan bersama Bank Negara dan institusi bank di negara ini telah dibuat sebelum ini bagi merealisasikan perkara tersebut.

Menurut Mohd Na’im, ketika ini pihaknya sedang mempersiapkan pegawai Bahagian Sokongan Keluarga (BKS) dengan kemahiran yang betul supaya tidak melakukan kesilapan dalam membuat penguatkuasaan dan pelaksanaan berkaitan sekatan akaun tersebut.

“Pemerkasaan kemahiran perlu ada dalam kalangan pegawai ini agar usaha menyekat akaun suami yang culas akan dilaksanakan secara adil dan saksama.

“Kita akan pastikan pegawai di BKS yang bertanggungjawab menguatkuasa dan melaksanakan perintah nafkah ini untuk mendapatkan latihan yang secukupnya,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel pembentang Kolokium Perundangan dan Kehakiman Syariah Tahun 2021 di Dewan Bankuet Jabatan Kehakiman Syariah Perak di sini pada Selasa.

suami culas nafkah

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, langkah sekatan akaun itu dilaksanakan bagi memastikan isteri, bekas isteri serta anak tidak dizalimi oleh suami atau bapa yang culas ini.

Menurutnya, pelaksanaan tindakan itu merupakan salah satu prosiding hiwalah iaitu pemindahan hutang daripada Penghutang Penghakiman di bawah Akta atau Enakmen Tatacara Mal sedia ada.

“Dalam konteks ini, kita bukan sahaja membantu isteri mendapatkan nafkah, malah membantu suami yang culas untuk melaksanakan tanggungjawabnya supaya ia tidak berterusan melakukan kezaliman dengan tidak membayar nafkah.

“Sebelum ini, kita banyak menggunakan tatacara yang lain contohnya sita jual ataupun kita ada satu tatacara disebut saman penghutang kehakiman dan kita juga ada cara untuk tahan pendapatan termasuklah perintah komital suami yang culas kerana jelas ingkar perintah mahkamah, ada setengah dihantar ke penjara.

“Ini adalah cara-cara bagaimana perintah mahkamah itu dikuatkuasakan termasuk yang akan dilaksana iaitu sekatan akaun,” katanya.

Menurut Mohd Na’im, sejak tahun 2016 sebanyak 147 kes suami atau bekas suami culas membayar nafkah walaupun sudah mendapat perintah mahkamah.

Pada Isnin, JKSM dalam satu kenyataan memaklumkan suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah kini berdepan tindakan sekatan akaun bank selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan digazetkan pada 10 Februari lalu.

Pindaan pada perenggan lima Jadual 11 itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah iaitu pemindahan hutang daripada Penghutang Penghakiman kepada pihak ketiga iaitu institusi kewangan kepada Pemiutang Penghakiman.

Selain itu, perenggan enam jadual sama berhubung penzahiran maklumat pemilik akaun di institusi kewangan melalui perintah mahkamah, tidak kurang daripada Mahkamah Sesyen turut diperluaskan kepada perintah dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Berikutan pindaan itu, perintah hiwalah dikeluarkan mana-mana peringkat Mahkamah Syariah boleh dilaksanakan institusi kewangan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuatkuasa.

Rujuk kenyataan media penuh di bawah:

suami culas nafkah

suami culas nafkah

Sumber: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)

Artikel asal di Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×