Euforia Bola 2026
Famili

Perak Negeri Paling Ramai Warga Emas, Kes Kematian Akibat Sunyi Dijangka Terus Meningkat!

kes kematian sunyi

Kes kematian sunyi di Perak semakin membimbangkan apabila 15 individu ditemukan meninggal dunia bersendirian di dalam rumah sepanjang 2021 hingga Julai 2026.

Situasi itu turut membuka perhatian terhadap golongan yang tinggal seorang diri, terutama warga emas seperti Jahara Hashim, 75, yang memilih untuk kekal aktif bersama komuniti di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

Baca juga: Wanita Kirim Surat Untuk Tun M Tanya 5 Soalan, Tak Sangka Dibalas & Jawapan No.5 Tarik Perhatian!

KES KEMATIAN SUNYI MENINGKAT DI PERAK

kes kematian sunyi

Kredit: Magnific

Seawal jam 8 pagi, dia akan kayuh ke PAWE untuk menyertai pelbagai aktiviti bersama rakan sebaya sebelum pulang sekitar jam 1 tengah hari.

Suaminya meninggal dunia 22 tahun lalu, manakala dua anaknya kini sudah berumah tangga. Meskipun sering diajak tinggal bersama, Jahara memilih untuk terus menetap di rumahnya.

“Memang anak-anak risau juga (berkayuh basikal setiap hari ke PAWE), kalau berlaku apa-apa pada mak cik, mereka suruh berehat saja di rumah. Tetapi, duduk di rumah pun bosan juga,” katanya.

Anak-anak Jahara bagaimanapun sentiasa menghubunginya dan datang menziarah setiap minggu. Rutin hariannya ke PAWE juga membolehkan petugas serta rakan-rakan mengetahui keadaannya.

Namun, tidak semua individu yang tinggal bersendirian mempunyai sistem sokongan sedemikian. Di Malaysia, semakin banyak laporan mengenai individu ditemukan meninggal dunia seorang diri di kediaman dan hanya disedari selepas beberapa hari.

Fenomena itu dikenali sebagai ‘kodokushi’ atau kematian sunyi di Jepun. Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Rahimah Ibrahim sebelum ini menganggarkan sekitar 3,500 kes kematian bersendirian berlaku setiap tahun di Malaysia berdasarkan data mikro.

15 individu direkodkan meninggal bersendirian di rumah

kes kematian sunyi

Di Perak sahaja, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 15 kes individu ditemukan meninggal dunia bersendirian di rumah sepanjang 2021 hingga Julai 2026.

Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, kes berkenaan bukan hanya melibatkan warga emas, malah individu berusia 30-an dan 40-an.

Beliau mengingatkan anak-anak yang tinggal berjauhan supaya sentiasa menghubungi ibu bapa dan menyimpan nombor telefon jiran terdekat bagi memastikan keadaan mereka dapat dipantau.

Jiran dan masyarakat setempat juga disaran memainkan peranan dengan mengambil tahu keadaan individu yang tinggal bersendirian, terutama mereka yang berisiko.

Dalam masa sama, PAWE menjadi antara ruang penting untuk warga emas kekal aktif dan berhubung dengan komuniti. Di Perak, terdapat kira-kira 23 PAWE yang menyediakan pelbagai aktiviti serta program pemerkasaan warga emas.

Antaranya program We-Fit yang memberi pendedahan mengenai pemakanan sihat, kecergasan dan kesihatan, termasuk risiko sarkopenia atau kehilangan jisim, kekuatan serta fungsi otot akibat peningkatan usia.

Dalam isu kematian sunyi, perhatian dan hubungan yang konsisten daripada keluarga, jiran serta komuniti mungkin menjadi perkara kecil, namun boleh membawa perubahan besar kepada mereka yang hidup bersendirian.

Baca juga: “Diserang Lima Anjing Liar, Nur Haira Jalani Tiga Pembedahan… Mungkin Alami Cacat Kekal” – Bapa

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×