Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang cedera parah selepas diserang lima anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat pada September lalu masih menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Mangsa, Nur Haira Wafiqah, kini sudah menjalani tiga pembedahan bagi merawat kecederaan serius yang dialaminya dan dijangka perlu melalui beberapa lagi prosedur sebelum dibenarkan pulang.
DISERANG LIMA ANJING LIAR NUR HAIRA JALANI 3 PEMBEDAHAN

Bapanya, Mohammad Hamizi Hamdan, 37, berkata anaknya kini ditempatkan di Wad Khas Pembedahan Kanak-Kanak HSA dan dipantau oleh tujuh doktor pakar.
Menurutnya, tiga pembedahan yang telah dilakukan sebelum ini bertujuan menutup luka pada beberapa bahagian badan serta kepala akibat serangan berkenaan.
“Luka pada bahagian kaki, tangan dan badan anak saya sudah mula kering, namun kecederaan pada kepala masih memerlukan rawatan rapi.
“Minggu ini adalah minggu keempat Nur Haira dirawat di HSA dan beliau dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada bahagian kepala,” jelasnya.
Mohammad Hamizi berkata, selepas pembedahan keempat yang dijadualkan minggu ini, Nur Haira masih perlu menjalani beberapa siri rawatan berkaitan tisu yang rosak.
Prosedur berkenaan termasuk membuang, membaiki dan memindahkan tisu pada bahagian tubuh yang mengalami kecederaan akibat serangan anjing.
Keadaan itu menyebabkan Nur Haira dijangka perlu terus berada di hospital untuk beberapa bulan lagi bagi menjalani rawatan dan pembedahan secara berkala.
Dalam pada itu, Mohammad Hamizi berkata isterinya, Nur Wahyuni Harun, 36, kini bergilir dengan keluarga untuk menguruskan anak mereka di hospital, manakala dia berulang-alik dari Batu Pahat ke Johor Bahru antara dua hingga tiga kali seminggu.
Nur Haira tunjuk perubahan positif

Bagaimanapun, perkembangan Nur Haira kini menunjukkan perubahan positif apabila dia sudah stabil, mampu berkomunikasi dan makan seperti biasa.
Namun, doktor memaklumkan kecederaan yang dialami berkemungkinan meninggalkan kesan kekal, termasuk menjejaskan pertumbuhan rambut pada beberapa bahagian kepalanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi pada 5 September lalu, Nur Haira mengalami kecederaan parah di hampir seluruh badan selepas diserang sekumpulan anjing liar di hadapan rumahnya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani sebelum ini mengesahkan mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke HSA bagi mendapatkan rawatan serta pembedahan pakar.
Baca juga: Cemburu Teman Wanita Jumpa Lelaki Lain, Remaja 19 Tahun Disyaki Cekik Kekasih Hingga M*ut
Sumber: Berita Harian
