Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sempat menitipkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang selama ini merawat dan menjaga beliau serta suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad, sehari sebelum meninggal dunia. Kisah menyentuh hati itu dikongsikan ketua jururawat yang bertanggungjawab menjaga pasangan berkenaan, K Divya Barathy, 30, yang telah berkhidmat bersama pasukan perubatan tersebut selama lima tahun.
Baca juga: Ubat Susulan Kini Boleh Dihantar Ke Rumah Secara Percuma, Ini Cara Mohon Melalui MyUBAT
KETUA JURURAWAT KONGSI PESANAN TERAKHIR TUN HASMAH

Menurut Divya, Allahyarhamah menyampaikan ucapan berkenaan ketika mereka bersama sehari sebelum pemergiannya.
“Sehari sebelum pemergiannya, Tun Hasmah ada menyampaikan bahawa sudah tiba masanya untuk beliau pergi. Beliau juga berterima kasih kerana kami menjaganya dan suami. Saya menjawab, ‘Janganlah cakap begitu Tun’.
“Saya tidak menyangka bahawa keesokan paginya, beliau akan pergi. Kata-kata itu masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya sehingga kini. Kehilangan ini sangat berat untuk saya terima,” katanya.
Selain Divya, tiga jururawat lain turut menjadi sebahagian daripada pasukan yang menjaga pasangan itu iaitu Tiffany Chen Kah Lim, 28, M Suganya, 29, dan Nur Shahnila Amyra Mohd Saad, 31.
Pasukan berkenaan turut mendapat bantuan daripada fisioterapis Choo Zhang Hui, 31, yang lebih dikenali sebagai Kevin Choo.
Divya turut berkongsi pengalaman berada di sisi Tun Dr Mahathir ketika proses pengebumian Allahyarhamah. Pada ketika itu, pasukan perubatan memberikan perhatian terhadap keperluan dan keselesaan beliau.
“Kami membantu menjaga kebersihan tangan, mengurut perlahan kakinya untuk keselesaan dan sentiasa berada berhampiran.
“Saya sendiri rasa sukar untuk sekadar berkata, ‘Tak apa, Tun’ atau ‘Tun kena kuat’, kerana saya melihat betapa eratnya kasih sayang mereka.
“Saya tidak mahu mengecilkan kesedihan beliau dengan kata-kata yang terlalu mudah. Pada waktu itu, kami hanya mahu beliau tahu bahawa kami ada di sisinya,” jelasnya.
Zahirkan penghargaan kepada orang ramai

Dalam pada itu, Divya turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan dan kata-kata baik orang ramai yang diberikan kepada pasukan perubatan, selain kepada Tun Dr Mahathir serta keluarga mereka.
“Penjagaan pasangan itu adalah usaha seluruh pasukan kami. Saya bersyukur dapat menjalankan tanggungjawab ini bersama mereka dengan penuh kasih sayang. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan saya dan pasukan peluang untuk berkhidmat kepada mereka.
“Selain penghormatan untuk menjaga legenda negara kita, saya akan sentiasa menghargai kehangatan dan kasih sayang yang kami kongsikan bersama mereka,” jelasnya.
Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah, 100, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada jam 9.20 pagi, Isnin lalu.
Pemergian tokoh berkenaan disahkan oleh anak lelakinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir. Jenazah Allahyarhamah kemudiannya selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya selepas solat jenazah yang diadakan di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Serdang.
Baca juga: Tewaskan 71 SBP Lain! Sekolah Sultan Alam Shah Dinobatkan ‘SBP Terbaik Keseluruhan 2025’
Sumber: Harian Metro
