Euforia Bola 2026
Asuh

Terbongkar Dalam Op Pedo Bersepadu 3.0, Remaja 13 Tahun Cipta & Jual Kandungan Animasi S*ksual

op pedo

Sukar dibayangkan, namun seorang remaja perempuan berusia 13 tahun antara lapan budak yang ditahan dalam Op Pedo Bersepadu 3.0 selepas dikesan terlibat dengan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), termasuk menghasilkan animasi sendiri.

Di mana, operasi tersebut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di seluruh negara dari 14 hingga 16 September lalu.

Baca juga: “Gempa Bumi Ke?”- Sofa Goyang…Gegaran Beberapa Saat Di Batu Pahat, Selangor, KL & Melaka Buat Ramai Cuak!

OP PEDO BERSEPADU 3.0

op pedo

Gambar hiasan: Gemini AI

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, selain memuat turun bahan berkenaan, sebahagian kanak-kanak terbabit turut menghasilkan kandungan animasi sendiri sebelum menjualnya secara dalam talian.

Malah, bahan tersebut didakwa dijual kepada komuniti dalam talian yang mempunyai kecenderungan sama pada harga sekitar RM50 hingga RM60.

“Lapan kanak-kanak itu berusia antara 13 hingga 18 tahun. Selain memuat turun ada juga yang menghasilkan animasi sendiri dan menjualnya.

“Pembelinya dalam kalangan komuniti mereka yang mempunyai kecenderungan terhadap bahan seperti ini,” katanya pada sidang media semalam.

Ada komuniti sendiri di alam maya

Menurut Kumar, komuniti yang menjadi sasaran penjualan bahan berkenaan terbentuk menerusi platform dalam talian.

Ahli kumpulan itu pula tidak semestinya pernah mengenali antara satu sama lain secara peribadi, sebaliknya boleh ditemukan selepas mengakses bahan yang sama atau mempunyai kecenderungan serupa.

“Mereka yang sudah mengakses bahan berkenaan akan menemukan kumpulan dengan minat dan kecenderungan sama, sekali gus membentuk kelompok kecil dalam talian.

“Mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Ini dalam talian, termasuk menerusi Telegram. Apa yang membimbangkan bukan sangat jumlah harganya, tetapi trend dan hala tujunya. Ini yang perlu kita beri perhatian serius,” katanya.

Situasi itu menunjukkan bagaimana interaksi dalam talian boleh membuka ruang kepada kanak-kanak untuk menemukan komuniti yang mempunyai kecenderungan sama tanpa perlu berjumpa secara fizikal.

Belajar hasilkan kandungan guna internet dan AI

op pedo

Gambar BERNAMA: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar (depan, kanan) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 3.0 di Bukit Aman hari ini.

Persoalan bagaimana kanak-kanak terbabit mengetahui cara menghasilkan bahan berkenaan turut menjadi sebahagian daripada siasatan polis.

Kumar berkata, pengetahuan tersebut boleh diperoleh melalui pelbagai sumber dalam talian termasuk media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI). Bagaimanapun, polis masih menyiasat sama ada mereka mendapat pendedahan daripada individu atau pihak tertentu.

Dalam operasi sama, lapan kanak-kanak yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang perempuan, dengan suspek paling muda ialah kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

Polis juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jumlah bahan CSAM yang dikaitkan dengan kanak-kanak terbabit serta tujuan bahan tersebut dimiliki.

Lebih mengejutkan, ibu bapa kanak-kanak berkenaan hanya mengetahui mengenai kegiatan tersebut selepas tangkapan dibuat. Transaksi bagi penjualan bahan pula boleh dilakukan melalui pelbagai kaedah pembayaran termasuk e-dompet, PayPal dan Touch ‘n Go.

“Kanak-kanak kita dari sudut penggunaan media sosial jauh lebih mahir berbanding orang dewasa. Itu satu hakikat. Jadi, pemerhatian berterusan perlu dibuat dan perkara ini mesti bermula dari rumah,” katanya.

Siasatan diteruskan, kaunselor turut disediakan

Bagi lapan kanak-kanak yang ditahan, Kumar berkata siasatan akan dilengkapkan terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat lanjut. Dalam masa sama, PDRM turut mempunyai kaunselor bagi membantu kanak-kanak yang berdepan kes seumpama itu.

“PDRM turut mempunyai kaunselor bagi membantu kanak-kanak yang berdepan kes sedemikian, namun usaha meningkatkan kesedaran perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhenti selepas tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Secara keseluruhan, seramai 53 individu berusia antara 13 hingga 56 tahun ditahan dalam Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 3.0 yang dilaksanakan di seluruh negara pada 14 hingga 16 September lalu.

Daripada jumlah itu, 52 individu merupakan warga tempatan manakala seorang lagi warga Bangladesh. Lapan daripada keseluruhan tangkapan adalah kanak-kanak.

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×