“Seluruh badan gatal. Sebelum ini tak ada alahan apa pun..”
Itu antara luahan seorang ibu, Siti Nurulhasikin Hanafi, yang meminta pandangan orang ramai selepas mengalami badan gatal selepas bersalin.
Menurut perkongsiannya, keadaan tersebut bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan, malah masih berlarutan walaupun dia sudah mendapatkan rawatan di klinik.
Baca juga: Selepas 3 Tahun Menanti, Elizabeth Tan Mulakan Perjalanan IVF Untuk Timang Cahaya Mata
BADAN GATAL SELEPAS BERSALIN, RAMAI IBU BOLEH RELATE

Siti Nurulhasikin berkata, dia sudah mengambil ubat, menggunakan ubat sapuan dan turut menerima dua kali suntikan, namun masalah kegatalan yang dialami masih belum reda.
Menariknya, ruangan komen perkongsian tersebut turut dipenuhi ibu-ibu lain yang mendakwa pernah mengalami keadaan sama selepas melahirkan anak.
Seorang pengguna, Fatin Fatimah, berkongsi pandangan berdasarkan ilmu perbidanan tradisional dan menyifatkan keadaan tersebut sebagai ‘meroyan kulit’.
Dia mendakwa keadaan itu berkait dengan tubuh ibu selepas bersalin dan mencadangkan rawatan tradisional seperti mendapatkan khidmat bidan serta mandi herba.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut merupakan pandangan individu dan tidak boleh dianggap sebagai diagnosis atau penjelasan perubatan.
Seorang lagi pengguna turut menceritakan pengalamannya mengalami kegatalan selepas melahirkan kedua-dua anak. Menurutnya, pada awalnya dia menyangka keadaan tersebut mungkin disebabkan kesan ubat mengecutkan rahim.
Dia turut mendapatkan rawatan di klinik dan menerima dua suntikan, namun masalah itu masih berlarutan.
Malah, pengguna berkenaan mendakwa wajahnya turut mengalami bengkak sebelum dia menyedari kemungkinan dirinya mempunyai alahan terhadap beberapa produk seperti param, pilis, minyak dan produk herba.
Selepas mengubah rutin penjagaan diri, masalah kegatalan itu akhirnya beransur pulih.
Seorang lagi ibu pula berkongsi bahawa doktor memaklumkan perubahan hormon selepas kehamilan mungkin menjadi antara punca kegatalan yang dialaminya.
Menurutnya, kegatalan tersebut mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum hilang sepenuhnya.
Kenapa badan boleh gatal selepas bersalin?

Dari sudut perubatan, kegatalan selepas bersalin boleh mempunyai pelbagai punca dan tidak semestinya disebabkan oleh satu faktor sahaja.
Perubahan hormon yang berlaku ketika kehamilan dan selepas melahirkan anak boleh mempengaruhi keadaan kulit. Semasa kehamilan, perubahan hormon dan kulit yang meregang juga diketahui boleh menyebabkan kegatalan. Dalam sesetengah keadaan, simptom berkaitan kehamilan boleh beransur pulih selepas kelahiran.
Selain itu, ibu juga mungkin mengalami keadaan kulit tertentu seperti ekzema, ruam atau reaksi terhadap sesuatu bahan.
Perubahan rutin selepas bersalin juga boleh menyebabkan ibu terdedah kepada pelbagai produk baharu, termasuk sabun, losen, minyak, produk penjagaan diri atau bahan tertentu yang mungkin mencetuskan reaksi kulit.
Namun, jika kegatalan berlaku pada seluruh badan dan berlarutan, puncanya tidak wajar dianggap sekadar “angin” atau perubahan hormon tanpa pemeriksaan.
Kegatalan yang berlaku di seluruh badan, teruk dan boleh mengganggu kehidupan seharian atau tidak pulih selepas rawatan wajar diperiksa oleh doktor.
Pemeriksaan mungkin diperlukan bagi mengenal pasti sama ada ia berpunca daripada masalah kulit, reaksi terhadap sesuatu bahan, ubat-ubatan atau keadaan kesihatan lain.
Baca juga: Ada 6 Anak Perempuan, Wanita Ini Nekad Culik Budak Lelaki 3 Tahun Dari Hospital!
Sumber: Kelab Info Ibu Hamil Malaysia & Medical News
