Setiap ibu pastinya mengharapkan perjalanan ke hospital menjelang kelahiran anak berjalan lancar. Namun, seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila air ketubannya pecah ketika terperangkap dalam kesesakan di Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), menyebabkan dia dan suami terpaksa menggunakan lorong kecemasan.
Baca juga: Cemas! Belum Sempat Masuk Hospital, Wanita Bersalin Atas Motosikal.. Tali Pusat Masih Bersambung!
WANITA MOHON MAAF GUNA LORONG KECEMASAN, GARA-GARA AIR KETUBAN PECAH

Tangkap layar video @svrvchvn.
Menerusi hantaran di Threads, pengguna @svrvchvn memohon maaf kepada pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, selepas kenderaan dinaiki bersama suaminya dilihat menggunakan lorong berkenaan.
Menurut wanita itu, keadaan lalu lintas ketika kejadian terlalu sesak sehingga kenderaan tidak bergerak dari kawasan plaza tol menuju ke Hospital Pakar KPJ.
Air ketuban pecah ketika jalan sesak
Lebih mencemaskan, wanita tersebut memaklumkan air ketubannya sudah pecah dan dia mula mengalami kesakitan yang kuat ketika masih berada di dalam kereta.
Keadaan itu membuatkan mereka mengambil keputusan untuk menggunakan lorong kecemasan bagi mendapatkan laluan lebih cepat ke hospital.
Suaminya turut memasang lampu isyarat kecemasan atau double signal sebagai tanda kepada pengguna jalan raya bahawa mereka sedang berdepan situasi kecemasan.
Bagaimanapun, wanita berkenaan mendakwa terdapat beberapa penunggang motosikal yang marah terhadap tindakan mereka, selain ada pengguna kenderaan yang enggan memberikan laluan.
“Saya tahu semua marah. SUMPAH, SORRY KEPADA SEMUA PENGGUNA LEBUH RAYA DASH tadi. Terutamanya kepada penunggang motosikal.
“Air ketuban dah pecah, sumpah sakit gila, tak selesa duduk dalam kereta sampai terpaksa lalu lorong kecemasan.
“Sebab jalan sesak tak bergerak dari tol sampai nak ke KPJ. Jangan marah suami saya please, kami dah bagi lampu kecemasan (double signal),” katanya.
Wanita mohon orang ramai fahami situasi kecemasan

Gambar hiasan: Gemini AI
Dalam hantaran susulan, wanita itu memberitahu dia sempat cuba mendapatkan perhatian penunggang motosikal supaya memberikan laluan.
Menurutnya, ada pengguna jalan raya yang tidak mengendahkan permintaannya, dipercayai mungkin kerana masing-masing mahu segera sampai ke destinasi.
“Terima kasih korang. Saya minta maaf sebab tadi ada beberapa penunggang motosikal marah juga pada kami, dan ada kereta tak nak bagi laluan.
“Saya ada tahan motosikal tapi macam ramai tak nak layan, mungkin masing-masing nak cepat huhuhu. Sekarang saya tengah melayan contraction.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya,” katanya.
Hantaran tersebut kemudian mendapat perhatian ramai dan meraih lebih 31,000 tanda suka.
Baca juga: Isteri Maut Selepas Bersalin, Suami Didakwa Hanya Tengok YouTube Sebagai Panduan!
Ramai warga maya dilihat memahami keadaan yang dihadapi pasangan berkenaan, malah ada yang berpendapat situasi seperti itu sememangnya memerlukan pengguna jalan raya lain memberikan laluan.
Ada juga yang berkongsi beberapa cadangan seperti menggunakan tanda atau kain tertentu pada tingkap kenderaan supaya pengguna lain lebih mudah mengenal pasti keadaan kecemasan, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat andaian ketika melihat kenderaan menggunakan lorong kecemasan.
Dalam situasi melibatkan kecemasan perubatan, sikap bertimbang rasa dan memberikan laluan boleh menjadi perkara penting, terutama apabila seseorang sedang dalam perjalanan mendapatkan rawatan atau menghadapi proses kelahiran.
Semoga urusan wanita berkenaan dan suaminya dipermudahkan serta proses kelahiran bayi mereka berjalan dengan lancar.
Sumber: Threads @svrvchvn
