Euforia Bola 2026
Famili

“Aku Dah Terkena Ni”- Anggota APM Maut Dipatuk Tedung Selar, Sempat Cuci Jari & Simpan Ular Sebelum Rebah

tedung selar

Minat mendalam terhadap reptilia yang sudah lama menjadi sebahagian daripada hidupnya bertukar tragedi, apabila seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) maut selepas dipatuk tedung selar ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular di Temerloh.

Baca juga: “Nasib Tak Tenggelam Dengan Bot Tengah Laut”- Cabaran Guru Bertugas Di Pulau Bum Bum, KPM Diminta Beri Perhatian!

ANGGOTA APM DIPATUK TEDUNG SELAR MAUT SELEPAS LEBIH 14 JAM BERTARUNG NYAWA

tedung selar

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi Sabtu, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular.

Sempat cuci jari sebelum rebah

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.50 pagi ketika APM Daerah Temerloh menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular kepada peserta.

Ketika mengendalikan reptilia berkenaan, Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, dipatuk pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan.

Selepas kejadian, Allahyarham sempat keluar dari dewan dan mencuci tangannya sebelum tiba-tiba pitam.

Menurut kakaknya, Siti Aisyah Kamardin, 43, adiknya turut sempat menyimpan ular tersebut ke dalam kotak selepas menyedari dirinya dipatuk.

“Aku dah terkena ni.” Itulah antara kata-kata terakhir Allahyarham kepada anggota pasukannya sebelum keadaan menjadi semakin buruk.

Muhamad Muazam kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dan ditempatkan di Zon Merah untuk menerima rawatan serta pemantauan doktor.

Selepas lebih 14 jam bertarung nyawa, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi.

Jenazah kemudian diuruskan sebelum disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, Temerloh.

Sudah tiga kali dipatuk ular

tedung selar

Allahyarham Muhamad Muazam Shah.

Lebih menyayat hati, kejadian tersebut bukan kali pertama Muhamad Muazam berdepan patukan ular. Siti Aisyah berkata, adiknya sudah tiga kali dipatuk ular sepanjang hidupnya, dengan dua kejadian terdahulu melibatkan reptilia berbeza.

Menurutnya, salah satu kejadian kira-kira tiga tahun lalu menyebabkan Allahyarham koma seketika sebelum mengalami serangan jantung. Walaupun terselamat, kesan daripada kejadian itu menyebabkan dia tidak lagi mampu melakukan kerja berat seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, Siti Aisyah turut menceritakan bahawa Allahyarham sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap reptilia. Selain tedung selar, dia turut membela beberapa jenis ular lain termasuk python dan sawa di rumah.

Reptilia berkenaan juga sering dibawa ketika melakukan demonstrasi bersama APM, termasuk program yang melibatkan orang awam.

Menurut kakaknya lagi, sepanjang seminggu sebelum kejadian, Allahyarham banyak menghabiskan masa mengendalikan ular di rumah seperti memandikan dan bermain dengannya.

Siti Aisyah bagaimanapun tidak menyangka minat yang begitu dekat dengan kehidupan adiknya akhirnya membawa kepada tragedi.

Baca juga: “Dia Tunggu Dulu, Tak Manis Potong Queue”– Wanita Ini Selamba Tunggu Black Thorn Gugur, Siap Ditemani Pocong!

Patukan tedung selar 

Kejadian ini pada masa sama menjadi peringatan bahawa gigitan ular berbisa tidak boleh dipandang ringan walaupun kesan pada bahagian yang dipatuk kelihatan kecil.

Menurut Public Health Malaysia, tedung selar atau king cobra (Ophiophagus hannah) mempunyai bisa yang boleh menyebabkan kesan serius terhadap sistem saraf.

Dalam kes keracunan bisa yang teruk, mangsa boleh mengalami:

  • kelemahan otot;
  • kelopak mata jatuh;
  • kesukaran bercakap;
  • kesukaran menelan; dan
  • kelumpuhan otot pernafasan.

Ini bermakna saiz luka pada jari atau bahagian tubuh yang dipatuk bukan ukuran kepada tahap bahaya yang mungkin berlaku.

patukan tedung selar

Apa perlu dibuat jika dipatuk ular berbisa?

Jika berlaku kejadian sedemikian, tindakan awal yang betul amat penting sementara menunggu rawatan perubatan. Antara langkah yang disarankan ialah:

  1. Kurangkan pergerakan mangsa supaya penyebaran bisa dapat diminimumkan.
  2. Immobilisasikan anggota yang dipatuk dan elakkan mangsa banyak bergerak.
  3. Bawa mangsa ke fasiliti kesihatan secepat mungkin untuk mendapatkan penilaian dan rawatan yang sesuai.
  4. Pantau pernafasan mangsa, terutama jika mula menunjukkan tanda kelemahan atau kesukaran bernafas.

Pada masa sama, beberapa tindakan perlu dielakkan kerana ia tidak membantu mengeluarkan bisa dan berpotensi melengahkan rawatan.

Jangan:

  • ikat tourniquet terlalu ketat;
  • potong atau hiris bahagian yang dipatuk;
  • cuba menghisap bisa daripada luka; atau
  • membuang masa dengan rawatan tradisional.

Mencuci luka juga bukan cara untuk mengeluarkan bisa yang sudah disuntik ke dalam tisu. Apa yang lebih penting ialah memastikan mangsa kurang bergerak dan mendapatkan rawatan di hospital secepat mungkin.

Semoga pemergian Allahyarham menjadi peringatan kepada semua pihak agar aspek keselamatan sentiasa diutamakan ketika menjalankan tugas, khususnya apabila melibatkan haiwan berbisa.

Salam takziah buat keluarga, rakan-rakan dan seluruh warga APM atas kehilangan seorang anggota yang telah mencurahkan khidmat kepada masyarakat.

Al-Fatihah.

Sumber: Sinar Harian (1) (2) / PHM

FT Image: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×