Seorang wanita warga emas berusia 78 tahun maut selepas serangan buaya ketika sedang mencari siput bersama anaknya di sebuah anak sungai berhampiran Sungai Suai, Batu Niah, Miri, Sarawak, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Sambai Anak Anggah, dipercayai berada di dalam sebuah perahu ketika seekor buaya muncul sebelum menyambarnya.
WARGA EMAS MAUT SELEPAS SERANGAN BUAYA KETIKA CARI SIPUT
Buaya heret mangsa 10 meter dari perahu
Lebih memilukan, anak mangsa yang berada di dalam sungai pada jarak kira-kira satu meter dari perahu menyaksikan sendiri detik ibunya disambar reptilia berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, buaya tersebut kemudian mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu.
Reptilia berkenaan bagaimanapun melepaskan mangsa selepas dikepung penduduk kampung yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Mangsa kemudian ditemukan penduduk kampung dalam keadaan terapung sebelum dibawa ke jeti.

Gambar Kosmo!: Mayat mangsa diangkat pihak bomba ke atas jeti berhampiran Sungai Suai, Batu Niah, Miri, semalam.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi pada pukul 11.58 pagi bagi menjalankan pemantauan serta memastikan keadaan di kawasan berkenaan selamat dan terkawal.
Operasi itu turut membabitkan lima anggota bomba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), selain dibantu lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat tersebut ditamatkan pada pukul 1.45 tengah hari.
Sumber: Berita RTM
FT Image: Kosmo!

