Aduan mengenai kualiti makanan di dewan selera Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) didakwa semakin berkurangan sejak kebelakangan ini, selepas beberapa usaha dilakukan pihak MARA termasuk operasi mengejut menerusi #Terjah.
Perkembangan itu dikongsikan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook, yang meluahkan rasa syukur apabila semakin kurang mendengar aduan berkaitan makanan di MRSM.
KUALITI MAKANAN MRSM KURANG ADUAN, USAHA PECAHKAN KARTEL BERKESAN!

Gambar hiasan: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Menurut beliau, keadaan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan usaha pihaknya memecahkan ‘kartel’ yang didakwa sebelum ini menguasai tender-tender dewan selera selain pelaksanaan pemeriksaan secara mengejut.
“Syukur Alhamdulillah, mutakhir ini sudah kurang dengar aduan mengenai kualiti makanan di Dewan2 Selera MRSM.
“Selain berjaya memecahkan ‘cartel’ yang dulu kuasai tender-tender dewan selera, #Terjah secara mengejut juga ada kesannya,” ujarnya.
Turun mengejut selepas terima banyak aduan
Asyraf Wajdi berkata, ketika mula diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA kira-kira tiga tahun lalu, beliau menerima banyak maklumat mengenai kewujudan ‘kartel’ yang didakwa menguasai kontrak-kontrak dewan selera.
Pada tahun pertama beliau memegang jawatan tersebut, banyak aduan diterima daripada ibu bapa dan pelajar menerusi ruangan media sosialnya. Aduan itu antaranya berkaitan kualiti makanan serta kes keracunan yang didakwa sering berlaku.
Susulan aduan berkenaan, beliau bertekad untuk memecahkan ‘kartel’ tersebut dan mula turun secara mengejut ke MRSM menerusi operasi #Terjah.
“Tiga tahun lepas bila saya mula-mula diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA, ramai yang beri maklumat mengenai kewujudan kartel-kartel yang menguasai kontrak-kontrak dewan selera.
“Allah nak tunjuk tahun pertama, banyak aduan daripada ibubapa bahkan pelajar sendiri di ruangan media sosial saya yang mengadu mengenai kualiti makanan dan kes-kes keracunan yang sering terjadi,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan yang dilakukan mendapati aduan yang diterima mempunyai asas.
“Ternyata aduan-aduan ini ada asasnya. Saya menyaksikan sendiri pelbagai insiden tahap kebersihan dewan selera, timbangan ikan, size ayam yang tidak mengikut spesifikasi bahkan pelajar sendiri berani dan selesa mengadu apa jua yang terkait dengan kualiti makanan,” katanya.
Baca juga: Detik Bersejarah Pahang, UNIQSAAS Kini Rasmi Sebagai Universiti Al-Quran Pertama Negara!

Gambar hiasan: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Kontrak ditamatkan jika tidak ikut kualiti
Selain melakukan pemeriksaan mengejut, Asyraf Wajdi berkata beliau turut mengarahkan dan memantau pihak pengurusan untuk melakukan transformasi besar-besaran terhadap proses pemilihan tender makanan.
Tindakan tegas juga diambil sehingga kontrak-kontrak yang didapati tidak mengikut kualiti perkhidmatan serta perjanjian ditetapkan ditamatkan.
Namun, menurutnya, terdapat juga pihak yang mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan MARA susulan tindakan tersebut.
“Ada juga yang menyaman saya dan MARA, namun saya tegaskan jangan sedikitpun khuatir bahkan kena lawan asalkan segala tindakan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang betul demi kemaslahatan anak-anak pelajar di bawah amanah MARA,” jelasnya.
Beliau menegaskan kebajikan pelajar di semua Institusi Pendidikan MARA (IPMA), termasuk MRSM, akan terus menjadi keutamaan.
“Kebajikan anak-anak pelajar di semua IPMA termasuk MRSM adalah menjadi keutamaan kerana mereka adalah aset penting negara masa depan dan merupakan amanah bangsa untuk dicanai dengan baik demi kemaslahatan masa depan,” jelasnya lagi.
Perkongsian tersebut memberi gambaran mengenai usaha yang dilakukan MARA dalam menangani isu berkaitan dewan selera, khususnya aspek kebersihan dan kualiti hidangan yang menjadi keperluan penting pelajar sepanjang berada di institusi pendidikan berasrama.
Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
FT Image: Dr Asyraf Wajdi Dusuki
