Kisah pembantu rumah yang lebih tiga tahun tidak bertemu anaknya mengundang sebak apabila majikan mengambil inisiatif membawa kanak-kanak berkenaan dari Indonesia ke Malaysia sebagai kejutan buat ibunya.
Pertemuan yang dirancang secara rahsia itu berakhir dengan momen penuh emosi apabila ibu dan anak akhirnya dapat berpelukan semula.
Baca juga: Semakan Keputusan Prasekolah KPM 2027 Dibuka Mulai 5 Ogos! Ini Cara Semak & Buat Rayuan
MAJIKAN BAWA ANAK PEMBANTU RUMAH DARI INDONESIA KE MALAYSIA

Menerusi perkongsian di Threads oleh Elysyannys, majikan berkenaan menceritakan usaha membawa anak perempuan pembantu rumahnya, Itri, dari Indonesia ke Malaysia tanpa pengetahuan wanita tersebut mengenai tarikh sebenar pertemuan mereka.
Dalam video berkenaan, Elys terlebih dahulu memberitahu Itri bahawa mereka mempunyai rancangan untuk membawa anaknya ke Malaysia.
Berita tersebut ternyata menggembirakan Itri yang dilihat tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja apabila mengetahui anaknya bakal datang menemuinya.
Bagaimanapun, Itri tidak dimaklumkan mengenai masa dan tarikh sebenar kepulangan anaknya itu, menjadikan pertemuan tersebut satu kejutan yang tidak disangka-sangka.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudiannya memaparkan detik Elys menghampiri sebuah bilik sambil meminta Itri datang melihat sesuatu.
Tanpa mengetahui apa yang bakal berlaku, Itri berjalan menuju ke bilik berkenaan. Sebaik sahaja pintu dibuka, anak perempuannya muncul dari sebalik pintu sebelum Itri spontan menjerit kegembiraan.
Pertemuan itu kemudian bertukar menjadi momen penuh emosi apabila ibu dan anak berpelukan erat selepas sekian lama tidak bertemu.
Tinggalkan anak ketika berusia tiga tahun
Menurut Elys, Itri terpaksa meninggalkan anaknya ketika kanak-kanak itu baru berusia tiga tahun untuk datang ke Malaysia bekerja.
Lebih menyentuh hati, Itri dikatakan meninggalkan anaknya ketika sedang tidur kerana tidak sanggup melihat anak kecil itu menangis ketika mereka berpisah.
“Simpan sini untuk kenangan. Tiga tahun lebih pembantu rumah saya Itri tak jumpa anaknya. Terima kasih Itri jaga anak-anak saya dengan baik. Hari ini saya ada rezeki lebih, saya bawa anak Itri datang Malaysia. Terima kasih ya, Allah.
“Itri bagitahu dulu masa tinggalkan rumah di Indonesia anak dia masa tu umur tiga tahun. Dia pergi masa anak dia tengah tidur. Tak nak anak dia menangis, sekarang jumpa-jumpa anak dia dah umur enam tahun,” jelasnya.
Selepas pertemuan tersebut, Elys turut mengambil langkah memastikan Itri dapat meluangkan masa berkualiti bersama anaknya.
Menerusi ruangan komen, beliau memaklumkan Itri diberikan cuti selama seminggu sepanjang kunjungan anak dan keluarganya ke Malaysia.
Malah, majikan itu turut menyediakan penginapan di sebuah hotel supaya Itri bersama keluarganya dapat menikmati masa bersama tanpa perlu memikirkan urusan kerja.

Warganet tersentuh lihat ibu & anak
Video berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-rata tersentuh melihat reaksi Itri ketika akhirnya dapat memeluk anaknya selepas lebih tiga tahun berjauhan.
Ramai turut memuji keprihatinan Elys yang berusaha menjadikan pertemuan tersebut satu kejutan bermakna buat pembantu rumahnya.
Dalam masa sama, pengguna media sosial turut memahami pengorbanan Itri yang terpaksa meninggalkan anak kecil demi bekerja dan mencari rezeki di Malaysia.
Perkongsian tersebut menjadi contoh bagaimana perhatian kecil daripada seorang majikan mampu memberikan kenangan yang begitu bermakna buat seorang ibu yang lama terpisah daripada anaknya.
Sumber: Threads Elysyaannys
