Pernahkah anda berdepan situasi cemas apabila anak kecil tiba-tiba terlepas daripada pegangan tangan dan hilang daripada pandangan di pusat beli-belah walaupun hanya untuk beberapa saat? Ketika itu, degupan jantung pasti kencang dan fikiran mula dibayangi pelbagai andaian buruk.
Tugas menguruskan anak pada zaman moden ini sememangnya mencabar fizikal serta emosi ibu bapa. Daripada aspek keselamatan di tempat awam, situasi anak meragam di restoran, sehinggalah waktu tidur yang kerap terganggu semuanya menambah beban mental ibu bapa.
Atas sebab itulah gajet pintar moden ini dicipta. Penggunaannya bukanlah suatu pembaziran atau trend semata-mata, melainkan ‘insurans ketenangan’ bagi membantu ibu bapa menguruskan keluarga dengan lebih teratur. Berikut 5 gajet parenting moden yang berbaloi untuk anda miliki.
Baca juga: 5 Jenama Puting Susu ‘Mesra Breastfeeding’ Paling Popular Dalam Kalangan Ibu Malaysia
1. Jam Tangan Pintar Kanak-Kanak
![]()
Apabila anak mula pandai berjalan atau berdikari menaiki bas sekolah, kebimbangan ibu bapa pastinya makin meningkat. Jam tangan pintar berserta fungsi GPS membolehkan anda menjejak lokasi anak secara terus melalui telefon bimbit.
Paling penting, gajet ini dilengkapi butang kecemasan yang boleh ditekan oleh anak sekiranya mereka berada dalam situasi bahaya.
Ia merupakan penyelesaian bijak untuk kekal berhubung tanpa perlu memberikan anak telefon pintar yang berisiko mendedahkan mereka kepada ketagihan media sosial.
Sebelum membekalkan jam pintar ke sekolah, pastikan anda menyemak polisi sekolah anak terlebih dahulu kerana sesetengah sekolah melarang penggunaan gajet elektronik.
Sebagai alternatif, anda boleh menggunakan GPS Tracker lain seperti Apple AirTag, Samsung SmartTag atau mini GPS fob. Anda hanya perlu menyelitkannya di poket beg sekolah atau menggantungkannya pada cangkuk beg atau kasut anak.
2. Papan Lukis Digital LCD

Ibu bapa kerap kali berdepan situasi mencabar apabila anak mula meragam semasa berada di restoran. Memberikan telefon pintar kadangkala menimbulkan rasa serba salah akibat kesan screen time, namun jika tidak diberikan, suasana boleh menjadi tidak terkawal.
Papan melukis LCD merupakan pilihan penyelesaian yang praktikal. Harganya berpatutan, ringan serta bebas daripada sebarang sinaran skrin. Anak-anak boleh melukis, menconteng dan memadam semula hasil seni mereka dengan hanya satu sentuhan butang. Dinding rumah tidak lagi menjadi mangsa contengan,dan ibu bapa dapat menikmati hidangan dengan lebih tenang.
3. Pemanas Botol Susu Mudah Alih

Membawa bayi bersiar-siar atau pulang ke kampung sewaktu tersangkut dalam kesesakan jalan raya menjadi sukar apabila tiba waktu menyusu. Dulu, ibu bapa perlu membawa termos air panas yang berat atau mencari kafe berdekatan semata-mata untuk mendapatkan air suam.
Dengan pemanas botol susu mudah alih, anda hanya perlu memasukkan botol susu dan menetapkan suhu yang bersesuaian. Gajet ini beroperasi menggunakan bateri boleh cas semula dan mampu memastikan suhu susu kekal ideal dalam tempoh beberapa minit sahaja.
4. Kamera Pemantau Bayi Tanpa WiFi

Apabila si kecil tidur di dalam bilik, ibu bapa terpaksa berulang-alik hanya untuk memastikan keadaan anak selamat. Penggunaan kamera pemantau berasaskan WiFi pula kerap menimbulkan kerisauan berhubung isu pencerobohan privasi atau gangguan capaian internet.
Kamera pemantau tanpa wifi menggunakan teknologi sambungan terus tanpa memerlukan talian internet, sekali gus menepis risiko godaman privasi. Anda boleh memantau pergerakan anak melalui skrin monitor dengan sokongan audio dua hala untuk menenangkan anak dari jarak jauh sekiranya mereka merengek.
5. Mesin Pemotong Kuku Elektrik

Tugas memotong kuku bayi terutamanya apabila mereka aktif bergerak boleh menimbulkan rasa cemas jika terpotong isi jari anak. Mesin pemotong kuku elektrik menggunakan pad lembut yang berputar secara perlahan dan selamat.
Ia dilengkapi fungsi penahanan automatik apabila tersentuh kulit jari bayi, serta dilengkapi lampu LED kecil bagi memudahkan proses memotong kuku sewaktu anak sedang tidur nyenyak pada waktu malam.
Pelaburan terhadap gajet ini bukan bermaksud ibu bapa mengambil jalan mudah, sebaliknya merupakan strategi pengurusan tenaga yang bijak demi kesejahteraan keluarga.
Antara 5 gajet di atas, yang mana satu berada dalam senarai anda? Atau adakah anda mempunyai cadangan gajet lain yang banyak membantu urusan harian di rumah? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.
