Perbualan mengenai haid masih dianggap sensitif oleh sesetengah masyarakat, namun kempen Just Flow With It anjuran SAYS cuba mengubah persepsi tersebut menerusi sesi minum petang khas yang berlangsung semalam, 9 Jun di Kuala Lumpur.
Menghimpunkan profesional kesihatan, wakil media dan tetamu jemputan, sesi tersebut diadakan bagi membuka ruang dialog lebih terbuka mengenai haid serta isu kesihatan wanita yang sering dianggap tabu.
MINUM PETANG ‘JUST FLOW WITH IT’ ANJURAN SAYS, PECAHKAN TABU KESIHATAN WANITA

Bertempat di Feast on FIFTY1, Imperial Lexis Kuala Lumpur, acara itu turut mengetengahkan kepentingan literasi kesihatan reproduktif selain menggalakkan masyarakat supaya lebih selesa berbincang tentang isu wanita secara terbuka.
Topik haid sering diselubungi bisikan dan misteri
Salah satu sorotan utama acara adalah sesi perkongsian oleh Dr Chan Jin-Mae, doktor dan Pengurus Negeri bagi Persatuan Kesihatan Reproduktif Keluarga Selangor Darul Ehsan dan Wilayah Persekutuan (SWP FReHA).
Berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang kesihatan reproduktif dan pendidikan komuniti, Dr Chan menyentuh tentang stigma yang masih wujud dalam masyarakat berkaitan haid.
“Sejak sekian lama, topik haid sering kali diselubungi dengan bisikan dan misteri,” kata beliau.
Menurut Dr Chan, terdapat pelbagai pantang larang berkaitan haid yang masih diamalkan walaupun tidak mempunyai asas perubatan.
“Terdapat banyak pantang larang di sekeliling isu haid yang langsung tidak mempunyai asas perubatan,” tambah Dr Chan, sambil berkongsi beberapa contoh seperti mengelak makan daging, hanya makan nasi putih, mengehadkan interaksi sosial, serta makan menggunakan pinggan mangkuk yang berasingan.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan bahasa yang kurang tepat juga boleh menyumbang kepada stigma tersebut.
“Vagina sering dirujuk menggunakan bahasa kiasan atau eufemisme seperti ‘bunga’ atau ‘kemaluan’ (yang secara harfiahnya membawa maksud rasa malu). Adalah sangat penting untuk kita menggunakan bahasa yang tepat bagi menormalkan istilah anatomi yang betul demi menggalakkan perbualan terbuka berkaitan haid dan seksualiti,” jelas beliau.

Kemiskinan haid juga isu sebenar di Malaysia
Selain stigma, Dr Chan turut menyentuh tentang isu kemiskinan haid (period poverty) yang masih berlaku dalam masyarakat.
Menurut beliau, keadaan itu berlaku apabila seseorang wanita atau gadis tidak mempunyai akses kepada produk haid atau ilmu yang mencukupi untuk menguruskan haid secara bermaruah.
“Kemiskinan haid berlaku apabila seseorang gadis atau wanita tidak mempunyai akses untuk melalui fasa haid dengan bermaruah (dignified menstruation) (iaitu mempunyai akses kepada produk haid serta ilmu untuk menggunakannya), dan akibatnya, mereka terpaksa menanggung kesan buruk daripada situasi tersebut,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman haid yang bermaruah merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia.
Selepas sesi perkongsian, tetamu turut mengambil bahagian dalam sesi soal jawab yang membincangkan pelbagai isu termasuk kesihatan haid, kesejahteraan reproduktif, pendidikan kesihatan dan usaha mengurangkan stigma dalam masyarakat.
Baca juga: Aplikasi Waktu Solat Malaysia Perkenal Pelan Tanpa Iklan, Lebih Lancar Untuk Pengguna Tanpa Gangguan
Just Flow With It mahu normalkan perbualan tentang kesihatan wanita
Untuk info, Just Flow With It merupakan inisiatif berterusan oleh SAYS yang bertujuan membiasakan perbualan mengenai kesihatan wanita menerusi kandungan mudah difahami, penglibatan komuniti dan pengalaman dunia sebenar.
Platform ini menyediakan pelbagai kandungan seperti artikel, video, kandungan interaktif serta kisah peribadi berkaitan haid dan kesihatan wanita.
Malah, ia turut mempunyai ruangan penghantaran tanpa nama bagi membolehkan orang ramai berkongsi pengalaman sendiri berkaitan haid tanpa rasa malu atau takut dihakimi.
Selain kandungan digital, kempen ini juga akan diteruskan menerusi pelbagai aktiviti komuniti termasuk kelas kecergasan dan kesejahteraan awam secara percuma pada masa akan datang.
Dr Chan merupakan doktor residen dan pengurus negeri bagi SWP FReHA, sebuah NGO yang pakar dalam menyediakan perkhidmatan, akses, serta pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif kepada semua lapisan masyarakat. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai klinik ini, layari: https://www.instagram.com/frehakl/
Untuk maklumat lanjut mengenai SAYS Just Flow With It, layari: https://says.com/justflowwithit
Baca juga: Peguam Bela Klien Hantu? Strim ‘Phantom Lawyer’ Di Tonton Sekarang, Tayangan Serentak Dengan Korea!
