Euforia Bola 2026
Inspirasi

Teladan Yang Membanggakan! Tuan Nurhan Terima Penghargaan Lepas ‘Escort’ Ambulans Ke HTAA Dalam Trafik Sesak

Tuan Nurhan

Nama Tuan Nurhan Syafiy sebelum ini pernah tular di media sosial selepas tindakannya membantu melancarkan perjalanan sebuah ambulans ketika kesesakan jalan raya di Kuantan meraih perhatian ramai.

Kini, keprihatinan ditunjukkan mahasiswa muda itu mendapat pengiktirafan apabila pihak UCYP University tampil memberikan penghargaan khas atas tindakannya yang disifatkan menyentuh hati ramai.

Baca juga: “Alhamdulillah…” Ibu Simpan RM10 Sebulan Sejak Kecil, 10 Beradik Akhirnya Dapat Tunai Haji Bersama

IKHLAS BANTU AMBULANS, TUAN NURHAN SYAFIY TAK SANGKA TERIMA PENGHARGAAN

Tuan Nurhan Syafiy

Facebook UCYP University

Menerusi satu hantaran di Facebook, UCYP University memaklumkan bahawa mahasiswa mereka, Tuan Nurhan Syafiy Tuan Nor Azham Shah menerima sijil penghargaan kerana membantu melancarkan laluan ambulans yang membawa pesakit ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan baru-baru ini.

Sijil penghargaan tersebut disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Diplomasi Komuniti), Prof. Madya Dr. Ahmad Fared Mohd Din.

“Tahniah atas teladan yang membanggakan ini. Semoga semangat keprihatinan beliau menjadi inspirasi kepada semua,” menurut hantaran universiti tersebut.

Baca juga: Pernah Tular Ajar Tulisan Jawi Walaupun Bukan Islam, Cikgu Lorenica Kini Bangunkan Aplikasi Belajar Jawi Untuk Masyarakat

Tular ‘escort’ ambulans hingga ke HTAA

Tuan Nurhan

Gambar: Threads @mummyof2kiddo

Sebelum ini, seorang pengguna di Threads memuat naik hantaran mencari individu yang membantu mengiringi ambulans dari Jaya Gading sehingga ke HTAA ketika keadaan trafik sesak.

Dalam perkongsian itu, pengguna tersebut meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada seorang penunggang motosikal dipercayai pelajar muda yang sanggup membantu tanpa mengharapkan balasan.

“Empathy tinggi, siap escort ambulans kami dari Jaya Gading Kuantan sampai lah ke HTAA. Asbab pertolongan awak, patient sampai juga ke red zone HTAA dengan selamat despite the traffic chaos,” tulisnya.

Pengguna itu turut menitipkan doa agar urusan pemuda tersebut dipermudahkan selain berharap pengajiannya berjalan lancar.

Baca juga: Dron Haroqs RM15K Diinfakkan Demi Gaza, Rakaman Detik Cemas Jadi Bukti Dunia Sebelum Kapal Dipintas!

Tuan Nurhan

Gambar Harian Metro

“Saya sekadar bantu setakat termampu”

Menurut laporan Harian Metro, Tuan Nurhan Syafiy, 23, mengakui tidak pernah menyangka tindakannya akan menerima perhatian besar apatah lagi penghargaan rasmi daripada universiti.

“Saya tidak pernah terbayang untuk menerima sebarang penghargaan, bantuan yang diberikan lebih kepada keikhlasan untuk melancarkan perjalanan ambulans bagi menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Menurut mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Visual itu, kejadian berlaku sekitar jam 5.15 petang di Jalan Gambang-Kuantan ketika dia dalam perjalanan pulang ke asrama selepas menghadiri latihan pengendalian dron di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang.

Lebih menarik, ini bukan kali pertama dia membantu ambulans melalui laluan sesak.

“Ini kali kedua saya membantu melancarkan perjalanan ambulans, kali pertama dua tahun lalu di lampu isyarat di Sungai Isap.

“Saya guna motosikal saya untuk menutup laluan. Saya sekadar membantu setakat yang termampu tapi ramai mendoakan dan beri kata positif, jadi ia membuatkan saya berasa sangat bersyukur,” katanya lagi.

Tambahnya, semangat untuk membantu orang lain mungkin diwarisi daripada bapanya yang merupakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.

Tuan Nurhan Syafiy juga mengakui penghargaan diterima itu menjadi pembakar semangat untuk terus membantu masyarakat pada masa akan datang.

Tindakan spontan mahasiswa berkenaan sebelum ini menerima pelbagai reaksi positif warga maya yang menyifatkan ia sebagai contoh keprihatinan sivik yang semakin jarang dilihat.

Tidak kurang juga yang berharap lebih ramai pengguna jalan raya mempunyai kesedaran sama apabila berdepan situasi kecemasan melibatkan ambulans di atas jalan raya.

Sumber: Facebook UCYP University / Harian Metro / Threads @mummyof2kiddo

FT Image: UCYP University / Threads @mummyof2kiddo

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×