Ramai masih beranggapan untuk daftar haji, mereka perlu menyediakan wang tunai sekurang-kurangnya RM1,300 sebagai permulaan. Hakikatnya, ada cara lebih mudah yang mungkin belum diketahui ramai, khususnya bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Baca juga: Kek Hujan Panas ‘Legend’ Resipi Arwah Ibu Kembali Jadi Perhatian, Simple Tapi Penuh Kenangan
CARA DAFTAR HAJI MELALUI KWSP

Melalui kemudahan yang ditawarkan hasil kerjasama antara KWSP dan Tabung Haji (TH), anda kini boleh menggunakan simpanan dalam Akaun 1 KWSP sebagai syarat kewangan untuk mendaftar haji tanpa perlu keluarkan wang tersebut secara fizikal.
Apa yang penting, anda hanya perlu pastikan baki dalam Akaun 1 mencukupi untuk melayakkan pendaftaran dibuat.
Ini bermakna, proses mendaftar haji kini menjadi lebih fleksibel dan tidak lagi membebankan dari segi tunai, terutamanya bagi mereka yang ingin mula menyimpan giliran lebih awal.
Sebelum memulakan proses, pastikan anda memenuhi beberapa syarat asas:
- Warganegara Malaysia beragama Islam
- Mempunyai akaun Tabung Haji yang aktif
- Belum pernah membuat pendaftaran haji
- Simpanan Akaun 1 KWSP sekurang-kurangnya RM1,300
Cara buka akaun tabung haji:
1. Jika anda belum mempunyai akaun TH, buka terlebih dahulu sama ada di cawangan TH, bank rakan seperti Maybank, CIMB, RHB atau Bank Islam, atau melalui platform dalam talian yang disediakan.
2. Log masuk ke i-Akaun KWSP dan pastikan baki dalam Akaun 1 mencukupi sekurang-kurangnya RM1,300.
3. Anda boleh pilih untuk hadir ke cawangan Tabung Haji atau bank panel TH. Maklumkan kepada pegawai bahawa anda ingin mendaftar haji menggunakan simpanan KWSP dan lengkapkan borang yang diperlukan.
4. Pihak Tabung Haji akan membuat semakan dengan KWSP. Jika semua syarat dipenuhi, pendaftaran anda akan diproses tanpa perlu membuat sebarang bayaran deposit.
5. Selepas pendaftaran berjaya, anda akan menerima nombor giliran haji. Status boleh disemak melalui aplikasi THiJARI, laman web rasmi atau di kaunter TH.

Perkara penting anda perlu tahu
Tiada sebarang pemotongan wang daripada KWSP dibuat kerana ia hanya digunakan sebagai bukti simpanan. Deposit RM1,300 hanya diperlukan jika tidak menggunakan kemudahan KWSP selain giliran haji bergantung kepada tarikh pendaftaran.
Kemudahan ini membuka ruang lebih luas kepada umat Islam di Malaysia untuk merancang perjalanan haji tanpa tekanan kewangan pada peringkat awal.
Jika anda sudah mempunyai simpanan mencukupi dalam KWSP, ini mungkin masa terbaik untuk mula bertindak. Jangan tunggu sehingga terlambat, kerana tempoh menunggu giliran haji boleh mengambil masa yang panjang.
Sumber: KWSP
