Euforia Bola 2026
Nur

Panduan Ringkas Solat Sunat Gerhana Bulan 2 Rakaat, Boleh Mula 7.23PM Hingga 9.17 Malam Ini

SOLAT SUNAT GERHANA BULAN

Menerusi infografik yang dikongsikan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, solat sunat gerhana bulan dilakukan secara berjemaah sebanyak dua rakaat dan mempunyai keunikan tersendiri berbanding solat sunat yang lain.

Solat ini dilaksanakan sebanyak dua rakaat, namun setiap rakaat mempunyai dua kali berdiri dan dua kali rukuk sebelum sujud.

Baca juga: Pemergian Dicemburui Di Bulan Ramadan, Fazita Khalid Satu-Satunya Jenazah Disolatkan Di Masjid Nabawi & Dikebumikan Di Baqi

PANDUAN RINGKAS SOLAT SUNAT GERHANA BULAN 2 RAKAAT

SOLAT SUNAT GERHANA BULAN

Kredit: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan. Secara keseluruhannya, solat ini mengandungi:

  • 2 rakaat
  • 4 kali rukuk
  • 4 kali bacaan Surah Al-Fatihah

Keunikan inilah yang membezakan solat gerhana bulan daripada solat sunat biasa.

Lafaz niat yang boleh dibaca ialah: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Niat ini dibaca ketika mengangkat takbiratul ihram sebagaimana solat-solat lain.

Rakaat Pertama

Bagi rakaat pertama, jemaah akan:

1. Berdiri dan membaca Surah Al-Fatihah serta surah pilihan.
2. Rukuk.
3. Bangun semula untuk kali kedua dan membaca Surah al-Fatihah serta surah pilihan.
4. Rukuk kali kedua.
5. Kemudian barulah dilakukan sujud seperti biasa dengan dua kali sujud.

Rakaat Kedua

Rakaat kedua dilakukan dengan tatacara yang sama seperti rakaat pertama, iaitu dua kali berdiri (bacaan Al-Fatihah dan surah) serta dua kali rukuk sebelum sujud.

Bacaan Secara Nyaring

Dalam solat sunat gerhana bulan, bacaan Surah al-Fatihah dan surah pilihan disunatkan dibaca secara nyaring (kuat), khususnya jika dilakukan secara berjemaah.

SOLAT SUNAT GERHANA BULAN

Freepik

Dua Khutbah Selepas Solat

Selepas selesai solat, disunatkan untuk membaca dua khutbah sebagaimana khutbah Jumaat. Khutbah tersebut hendaklah memenuhi rukun dan syarat khutbah seperti yang ditetapkan dalam syariat.

Menghayati kebesaran Allah

Gerhana bulan merupakan antara tanda kekuasaan Allah SWT. Justeru, umat Islam digalakkan memperbanyakkan doa, istighfar dan zikir selain melaksanakan solat sunat gerhana sebagai tanda keinsafan dan pengabdian kepada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidak gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. Maka apabila kamu melihat gerhana itu, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, dirikanlah solat dan bersedekahlah.” (Riwayat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)

Semoga panduan ringkas ini dapat membantu umat Islam memahami dan melaksanakan solat sunat gerhana bulan dengan lebih tertib dan sempurna apabila berlakunya fenomena tersebut.

Baca juga: Foto Siti Nuhaliza Solat Tanpa Telekung & Hanya Berjubah Undang Tanda Tanya Ramai, Agamawan Beri Komen

Sumber: Jabmuftins

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×