Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan kubur pelatih PALAPES UTM (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, digali semula dalam tempoh 14 hari bagi tujuan bedah siasat kedua.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet selepas membenarkan permohonan ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 tahun, yang bertegas mahu mencari kepastian sebenar tentang kematian anak sulungnya itu.
Baca juga: Selepas Zara, Ibu Pelatih PALAPES UTM Yang Maut Sedia Kubur Anak Digali Semula & Bedah Siasat Kedua
MAHKAMAH TINGGI PERINTAH GALI SEMULA KUBUR PELATIH PALAPES UTM

Foto: Harian Metro
Ibu bernama Ummu Haiman ini mendakwa, penjelasan awal bahawa anaknya meninggal dunia akibat sawan tidak selari dengan kesan kecederaan yang dilihat pada jenazah. Menurutnya, terdapat lebam teruk, pendarahan dari hidung dan mata, selain luka menyerupai kesan tembakan.
“Saya mahu keadilan untuk anak saya. Saya tidak percaya kematiannya hanya disebabkan sawan. Ada banyak persoalan yang belum terjawab,” tegasnya.
Allahyarham Syamsul Haris, 22 tahun, meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.
Siasatan awal oleh jawatankuasa khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati tiada unsur penderaan sepanjang latihan yang berlangsung dari 27 Julai hingga 2 Ogos. Semua saksi, termasuk pegawai dan jurulatih, mengesahkan latihan dijalankan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, turut memaklumkan bahawa laporan siasatan tidak menemui sebarang bukti penderaan terhadap pelatih. Namun, pada 1 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pelatih berkenaan.
![]()
Dengan keputusan mahkamah ini, proses bedah siasat kedua dijangka membuka jalan baharu dalam merungkai misteri yang menyelubungi pemergian Syamsul Haris.
Baca juga: Hukum Kubur Digali Semula Untuk Bedah Siasat: Perlukah Ulang Mandi, Kafan & Solat Jenazah?
Sumber: BERNAMA
