Mempunyai konflik dengan guru bukanlah sesuatu yang diingini, namun jika berlaku, ia perlu ditangani dengan penuh matang seperti dilakukan oleh perkongsian bapa di bawah ini.
Komunikasi yang matang antara guru dan ibu bapa mampu menyelesaikan salah faham dengan berhemah selain membina kepercayaan demi perkembangan anak-anak.
Baca juga: Permohonan Kemasukan Tabika & Taska KEMAS Tahun 2026/2027 Dibuka Hingga 31 Ogos 2025
KONFLIK DENGAN GURU, SIAPA YANG PERLU DIDIDIK?

Antara ibu bapa dan guru, siapa yang perlu dididik? Antara emosi ibu bapa, cabaran guru dan masa depan anak-anak, siapa sebenarnya yang sedang diuji?
Saya rasa ringan tangan sikit nak menulis tentang isu guru yang menengking murid di khalayak. Atas apa pun persepsi, ingatlah kita sedang ‘memanggang’ satu tempat atau secara akademiknya, satu institusi yang seharusnya dipandang mulia dan menjadi tempat menginsankan manusia.
Secara peribadi, saya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Ibu bapa moden dan guru moden perlu lebih tenang dan matang.
Ini saya cakap berdasarkan pengalaman mengendalikan anak saya, Rose (di sekolah kawan-kawan panggil Ajwa) yang kini berada di tahun 1. Ada seorang cikgu berbangsa Cina (yang dah nak bersara) suka menujal kepala budak. Ajwa kena berkali juga.
Ikutkan hati, esok pagi juga saya nak panjat sekolah. Tapi kadang-kadang kita kena duduk dan bertenang kejap. Setiap petang bila saya ambil Ajwa, saya dapat tengok betapa letih dan mencabarnya cikgu mengurus anak-anak murid, macam semut keluar sarang.
Sesi petang melibatkan Darjah 1–3. Bila semua keluar sekali, lebih 1,200 orang murid. Bayangkan dengan sabar, cikgu-cikgu ni urus semua setiap hari.
Ibu ayah kena berhemah dalam tindakan
Saya ambil pendekatan lebih berhikmah. Saya tetap rasa cara cikgu itu salah, tapi biarlah kita bertegas dalam prinsip dan berhemah dalam tindakan.
Saya hantar teks mesej kepada cikgu tersebut dan Alhamdulillah, cikgu respon dengan baik (ada saya lampirkan dalam gambar).
Anak saya tak tahu pun saya mesej cikgu. Saya tidak mahu dia hilang hormat pada gurunya dan saya juga tidak mahu dia rasa dirinya betul sepenuhnya.
Keesokannya, saya suruh dia jumpa cikgu dan ucapkan maaf. Ini cuma salah satu dari banyak isu yang kita kadang-kadang malas nak ambil tahu. Tapi jika kita tak ambil tahu langsung, kita tidak akan faham proses penting dalam mendewasakan mereka.
Anak-anak belajar bukan hanya dari buku, tetapi dari cara kita sebagai ibu bapa menangani ujian.
Ajarlah mereka bahawa kematangan itu bukan melawan dengan suara, tetapi menyelesaikan dengan hikmah.
Tidak semua perkara perlu dijadikan tontonan umum. Ada isu yang lebih mulia diselesaikan secara tertutup, dengan akal yang waras dan hati yang lapang.
Soroklah emosi kita di hadapan anak, walaupun mereka tahu kitalah hero sebenar mereka.
Baca juga: Anak Kena Tampar Dengan Cikgu Tapi Si Ayah ‘Balas’ Cara Matang, Tak Ada Guna Kekerasan!
Sumber: Facebook Khairul Afsan Abu Bakar
