Apabila kandungan telah mencapai 5 ke 6 bulan, perkara penting untuk dilakukan adalah dengan membeli barangan bayi. Barangan penjagaan bayi adalah antara barangan yang paling seronok dibeli kerana terdapat pelbagai pilihan di pasaran. Tetapi, jangan bazirkan duit dengan membeli barangan yang tidak diperlukan, sebaliknya senaraikan barangan yang perlu sahaja supaya tidak tersalah pilih nanti.
Amat penting juga untuk anda menyiapkan barangan yang perlu dibawa ke hospital supaya tidak mengalami ‘panic attack’ nanti. Maklumlah, kita tidak pasti dan tidak tahu saat-saat kelahiran itu akan berlaku pada waktu bila. Oleh itu, lebih baik untuk anda atau suami untuk menyediakan kelengkapan sebelum ke hospital. Tak pasti nak bawa apa? Jangan risau, kami senaraikan barangan apa yang anda perlu ‘standby’!
Barang yang bayi perlukan:
1. Lampin pakai buang
Lampin pakai buang mempunyai variasi yang banyak di pasaran. Tetapi, pastikan anda memilih lampin yang sesuai untuk bayi baru lahir. Hal ini kerana, kulit bayi yang baru lahir agak sensitif, oleh itu pemilihan lampin pakai buang yang lembut amat penting.
2. Petroleum Jelly
Petroleum jelly atau lebih dikenali sebagai Vaseline, ternyata memang dapat membantu mengurangkan masalah kulit kering tidak kira siapa yang menggunakannya. Pastikan anda juga meletakkan gel petroleum ini dalam beg barangan ke hospital juga ya. Ini penting untuk digunakan selepas anak dilahirkan. Sapukan sedikit gel ini di punggung bayi ketika anda menukar lampinnya. Rutin ini dapat membantu mengurangkan masalah ruam di bahagian punggung bayi kerana kulit mereka masih sensitif.
3. Baby wipes
Bila sudah berada di hospital, banyak benda yang anda boleh pelajari dari jururawat di sana. Perhatikan cara mereka membersihkan bahagian sensitif tubuh bayi dan selepas itu, anda boleh cuba melakukannya sendiri. Oleh itu, pastikan anda membawa ‘baby wipes’ ke hospital untuk kegunaan anak. Hal ini kerana, selepas bersalin, agak sukar untuk anda bergerak terlalu kerap ke tandas untuk membasahkan tuala bukan? Jadi, ‘baby wipes’ adalah salah satu cara mudah untuk pastikan anak sentiasa dalam keadaan bersih.
4. Pakaian bayi
Mungkin ada antara anda yang berfikir bahawa pakaian bayi tidak perlu dibawa kerana beranggapan pihak hospital akan sediakan. Penting untuk membawa pakai bayi kerana anda tidak akan tahu tempoh untuk anda berada di hospital adalah berapa lama. Sediakan dalam lima pasang baju bayi bersesuaian dengan suhu dan keadaan bilik.
5. Kain bedung
Selimut atau kain bedung adalah barang yang perlu diletakkan dalam senarai ‘standby’ anda. Bayi lebih gemar untuk merasakan diri mereka sentisa dipeluk, jadi penggunaan kain bedung adalah langkah yang tepat sekali. Pihak hospital akan menyediakan kain bedung, tetapi tidak salah untuk anda juga bersiap sedia dengan kain bedung sendiri bukan?
6. Sarung tangan, stokin
Sarung tangan atau ‘mitten’ dan stokin sangat diperlukan oleh bayi jika suhu bilik di hospital adalah sejuk. Sarung tangan juga perlu dipakai oleh bayi kerana bimbang mereka akan menggaru muka dan meninggalkan kesan kerana kuku yang panjang.
7. Sabun mandi dan losyen
And juga boleh ‘standby’ sabun mandi dan losyen mengikut keinginan anda sendiri. Tetapi, jangan tersalah pilih. Pastikan anda memilih sabun mandi dan losyen yang bersesuaian untuk kulit bayi yang sensitif.
8. Ketip kuku bayi
Bayi yang baru sahaja dilahirkan mungkin akan berkuku agak panjang. Jadi, anda perlu sediakan ketip kuku di dalam beg ‘standby’ tersebut. Anda juga boleh meminta pertolongan jururawat di hospital untuk mengetip kuku bayi buat pertama kali, jika anda agak kekok untuk melakukannya.
* Buat ibu yang melahirkan, anda juga jangan terlepas pandang barangan yang anda perlukan. Oleh itu kami turut senaraikan barangan yang para ibu perlukan:
1. Pakaian
Para ibu juga memerlukan pakaian yang selesa untuk dipakai semasa sebelum bersalin dan selepas bersalin. Mesti anda akan rasa bosan untuk memakai baju hospital saja bukan? Oleh itu, pemilihan baju yang selesa dan mudah untuk bergerak adalah sangat penting. Selain itu, baju yang mudah untuk dibuka pada bahagian hadapan juga perlu dibawa kerana anda akan menyusukan bayi nanti.
2. Tuala wanita
Sama ada anda bersalin secara normal atau melalui ‘cesarean’, anda akan mengalami sedikit pendarahan juga antara minggu keempat hingga minggu keenam. Tetapi, anda boleh ‘stanby’ jika mengalami sebarang ketidakselesaan ketika masih berada di hospital.
3. Barangan penjagaan diri
Ramai yang beranggapan bahawa selepas melahirkan anak, si ibu tidak perlu menjaga penampilan diri. Jangan begitu, anda masih perlu menjaga penampilan diri supaya sentiasa kelihatan segar dan bermaya. Oleh itu, masukkan barangan penjagaan diri seperti bedak, ‘lip balm’ untuk mengelakkan bibir kering dan wangian untuk dipakai selepas bersalin. Penampilan diri juga penting jika anda mahu merakamkan detik-detik indah bersama bayi yang baru lahir di hospital.
Tidak semestinya semua barangan ini perlu dibawa. Namun, untuk memastikan situasi berjalan secara lancar dan anda tidak menggelabah di saat akhir, anda boleh jadikan tips ini sebagai panduan untuk kelahiran yang seterusnya!