Deko & Hias

7 Tips Tanam Buah Nanas MD2 Cepat Berbuah Dengan Lebat, Pasti Menjadi!

56
SHARES

Nanas merupakan salah satu jenis buah yang paling banyak dihasilkan, di mana nanas berada di pilihan ketiga dalam penghasilan dunia selepas mangga dan pisang. Nanas menjadi pilihan utama ditanam untuk memenuhi keperluan nutrisi dan penting untuk penghasilan buah segar.

Nanas selalunya digunakan untuk segar, jus, pengeringan, digunakan dalam hidangan untuk dimasak dan sebagai pencuci mulut. Buah nanas ini mempunyai sumber yang baik daripada vitamin C dan vitamin A. Terdapat banyak jenis nanas, namun semakin banyak buah segar yang biasa dijual di Malaysia termasuk MD2.

Baca juga: Petua Sejukkan Badan & Kurangkan Demam Dengan Minum Air Barli Halia

Minggu lepas sempat lah merasa buah nanas MD2 yang saya tanam dalam tong cat. Saya tanam tak banyak pun. Tanam 5 pokok sahaja. Daripada 5 pokok yang ditanam, 4 pokok dah berbuah. Yang bestnya ia berbuah secara semulajadi. Tanpa saya buat aruhan.

Pokok Nanas MD2 ini saya tanam bulan Ogos 2019. Tanam dalam tong cat yang ditebuk dibawahnya. Dalam tong cat itu saya isi tanah campuran sebagai media tanaman.

Daripada 4 pokok yang dah berbuah, 2 biji dah selamat kami makan minggu lepas. 2 biji lagi insyaAllah boleh makan 1 bulan lagi. Bila saya kira dari bulan tanam hingga boleh makan, ianya hanya dalam masa 9–10 bulan sahaja.

Sangat teruja bila tanam nanas MD2 dan boleh makan dalam tempoh 9–10 bulan lepas tanam. Bukan setakat cepat berbuah, kualiti buah juga premium. Macam dua biji yang saya petik minggu lepas, 1 biji berat 1.6 kg dan 1 biji lagi 1.4 kg.

Ke 4-4 biji buah yang ada semuanya berbentuk silinder. Saiznya lebih kurang standard sahaja, antara 1.3 – 1.7 kg sebiji. Ini dah memenuhi standard eksport. Rasanya sangat manis dan crunchy. Saya agak, bacaan brix paling kurang pun 18 peratus.

Anak saya, Hannah yang umur 1 tahun 5 bulan suka sangat makan nanas ini. Habis 2 tangan meleleh hingga ke siku dengan air nanas.

Daripada pengalaman tersebut, saya boleh simpulkan bahawa ada 7 tips untuk buat nanas MD2 cepat berbuah.

1. Pemilihan tempat

Ini ladang sifu saya, pokok dapat 100% cahaya dan tanah yang terbaik.

Semua nanas MD2 yang saya tanam dalam tong cat itu, saya letak ditepi pagar depan rumah. Kawasan itu memang dapat cahaya yang penuh dari pagi hingga petang. Nanas MD2 ini memang dia nak duduk di tempat yang dapat cahaya matahari yang penuh.

Bila dapat cahaya matahari yang panjang, pokok dapat proses makanan dengan sempurna. Bila makanan dapat diproses dengan sempurna, pokok pun jadi sihat, cepat besar dan cun melecun. Jadi, nak pokok nanas membesar cepat bagaikan sang juara, pilihlah kawasan yang dapat cahaya matahari 100%.

2. Media tanaman

Dalam kes saya, saya gunakan tanah campuran sebagai media tanaman. Nisbah yang saya gunakan adalah 1 bahagian tanah, 2 bahagian pasir dan 1 bahagian organik. Susah untuk saya cakap nisbah tanah campuran yang terbaik untuk nanas MD2 sebab ianya bergantung pada tanah.

Sebenarnya, tekstur tanah yang akan menentukan nisbah tanah campuran kita nanti. Yang penting tanah campuran kita tu peroi dan poros. Nanas MD2 ini sangat manja dan sensitive dengan media yang terlalu lembap dan basah.

Bila media tanaman terlalu lembap, risiko pokok untuk kena penyakit reput pangkal adalah sangat sangat tinggi. Hampir 80% sahabat yang tanya saya kenapa nanas MD2 yang mereka tanam dalam pasu atau polybag tiba-tiba jadi hitam dan reput adalah disebabkan oleh media yang lembap.

Buat sahabat yang nak tanam secara komersil, pilihlah tanah yang sesuai. Tanah mineral sangat sesuai. Tanah gambut pun sesuai.

3. Saliran

Saliran ini sangat penting supaya air tidak bertakung di petak tanaman. Bila air bertakung, risiko pokok untuk kena penyakit reput pangkal sangat sangat tinggi. Bila tanam dalam tong cat, saya buat lubang dibawah tong cat. Saiz lubang lebing kurang 2 inci. Ada lebih kurang 6–10 lubang saya buat.

Bagi ladang-ladang komersil, sangat digalakkan kita tanam secara batas. Dihujung batas pula kita buat parit kecil supaya air tak bertakung di petak tanaman.

Risiko sangat tinggi jika tanam nanas MD2 tanpa batas dan parit terutamanya bila hujan. Hanya dalam masa seminggu, habis 1 ladang pokok kita boleh mati bila terendam air.

4. Saiz anak benih

Semua anak benih yang saya tanam dalam tong cat adalah gred A. Anak benih nanas MD2 ini kita boleh kelaskan kepada 3 gred :

Gred A @ Besar = Tinggi 60 cm. Berat lebih 280 gram.

Gred B @ Sederhana = Tinggi 45 cm. Berat lebih 180 gram.

Gred C @ Kecil = Tinggi 30 cm. Berat lebih 110 gram.

Lagi besar dan sihat anak benih yang kita tanam, lagi cepat kita boleh hormon. Pengalaman saya, kadar tumbesaran pokok ini sangat berbeza jika kualiti benih berbeza.

Misalnya, pada tarikh yang sama kita tanam anak benih gred A dan Gred B. Dengan sop dan pengurusan yang sama, kita boleh lihat tahap tumbesaran 2-2 gred anak ini akan berbeza.

Pengalaman saya, tarikh hormone boleh berbeza 1 -3 bulan bagi setiap saiz benih. Selain saiz benih, pastikan juga benih kita itu bebas dari sebarang penyakit dan kulat. Anak benih yang kita guna itu juga wajib disahkan MD2 tulen dan sebolehnya diambil dari ladang yang tidak bercampur dengan nanas lain.

5. Pembajaan

Kaedah pembajaan yang saya gunakan adalah secara siram ditengah- tengah pucuk dengan air baja. Kadar siraman adalah lebih kurang 50-100 ml setiap pokok. Kekerapan pula adalah 2 minggu sekali. Pada peringkat awal tanaman, saya guna baja NPK Larut Air 18.18.18 + micro dengan kepekatan antara 1.5 hingga 2.0.

Bila pokok dah besar dan nada daun lebih kurang 25 helai, saya tukar kepada baja NPK Larut Air 12.12.36 + micro. Kepekatan yang saya gunakan antara 2.3 hingga 2.5.

Kaedah ini saya dan buat untuk 6000 pokok nanas MD2 kami pada tahun 2018. Yang ini saya spray ditengah tengah pucuk dengan kuantiti lebih kurang 50 -100 ml. Alhamdulillah ianya berhasil dengan baik. Ada sahabat tanya, tak mati ke pokok bila bertakung air baja. Ini soalan yang sangat bagus.

Pokok kita ada risiko mati. Ianya bukan disebabkan oleh baja tapi disebabkan oleh air yang lebih dan media tanaman yang basah. Sebab itu, media tanaman kita kena pilih yang betul dan pastikan ladang kita mempunyai system saliran yang baik.

Ada juga yang tanya, baja sebatian atau butir yang selalu guna itu tak bagus lah. Bukan baja itu tak bagus. Baja itu bagus. Pokok ambil baja atau nutrient dalam bentuk ion. Untuk bertukar kepada ion, baja perlukan air.

Jadi, jika kita guna baja sebatian dan ianya kurang berkesan. Jangan salahkan baja ya sahabat. Mungkin silap kita membaja itu. Kita membaja masa kemarau. Pokok tak dapat ambil pun nutrien dari baja itu.

6. Siraman

Tanam nanas MD2 sangat mudah. Ia tidak memerlukan sistem pengairan. Nanas MD2 memang tak perlukan sistem pengairan tetapi tidak bermaksud ia tidak perlukan air. Dengan keadaan agroiklim Malaysia, memadai pokok nanas dapat air melalui hujan dan embun sahaja. Nanas ini kira anak beranak kaktus lah.

Tak perlukan air yang banyak. Bila cuaca panas, pokok nanas biasanya akan sedikit terbantut tumbesarannya. Jika cuaca terlalu ekstrem, pokok boleh mati.

Bila musim panas dan tiada hujan dalam masa 30 hari, elok lah kita buat siraman secara manual. Boleh guna power sprayer, siram ditengah-tengah pucuk lebih kurang 100 ml setiap pokok. Buat 2 minggu sekali.

Jika sahabat membaja secara siraman dua minggu sekali, siraman manual dah tak perlu buat. Ini salah satu sebab saya membaja secara siraman, dua dalam satu. Jimat masa, jimat baja dan jimat duit.

7. Aruhan

Nanas MD2 akan berbunga secara semulajadi bergantung kepada kesuburan pokok. Paling cepat 6 bulan lepas tanam. Ada juga yang usia 2 tahun masih belum muncul-muncul lagi bunganya. Bila tanam nanas MD2 secara komersil, kita wajib buat aruhan. Orang kampung panggil aruhan ni dengan nama “letak hormone”.

Tujuan aruhan ini supaya kita rangsang pokok untuk berbuah dengan cepat secara serentak dan seragam. Ada macam macam bahan kimia yang kita boleh guna untuk buat aruhan. Ada yang guna ethrel, ada yang guna Asetilena (Kalsium Karbaid), ada yang guna pil ANAA dan ada juga yang guna cecair NAA (Plafonix).

Saya biasa guna ethrel sahaja untuk nanas MD2 kami. Yang lain tak pernah guna. Biasanya, nanas MD2 boleh dipetik selepas 135–150 hari disembur dengan ethrel. Tanam nanas MD2 tak lah susah mana jika kena gayanya.

Dengan perancangan dan pengurusan yang betul, kita boleh buat pokok berbuah cepat dengan hasil yang premium. Dan yang paling bestnya tanam nanas MD2 ini, kita boleh plan bila nak suruh ia berbuah. Nak buah 2 kg sebiji pun kita boleh buat, nak buah 3 kg sebiji pun kita boleh buat. Best kan!

JANGAN TAMAK KIRA-KIRA!

Untuk permulaan, tanam dulu maksimun 3000 pokok. Belajar dulu selok belok pokok nanas ini. Kenal dulu masam pahit bidang ini. Rasa dulu sepak terajang nya macam mana.

InsyaAllah dengan 3000 pokok itu kita akan dapat belajar banyak perkara. Dan yang pengalaman yang paling mahal kita akan dapat adalah bab pemasaran. Dalam pertanian, pasaran adalah “king”. Jika tiada pasaran dan tak boleh jual, baik tak payah tanam.

Ingat! Sebelum tanam, pastikan kita dah tahu cara mana kita nak jual dan dimana pasarannya.

Sumber: Facebook Azuan Abdullah-AA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×