Famili

7 Perkara Ibu Mesti ‘Alert’ Bila Anak Perempuan Pertama Kali Datang Haid

821
SHARES

Menurut portal MyHealth, umur akil baligh bagi lelaki dan perempuan adalah antara 9-16 tahun. Zaman kita dahulu, mungkin tak ramai ibu bapa yang bercakap apa-apa tentang kali pertama kita datang bulan. Malah, topik ini dianggap ‘taboo’ dan tak sepatutnya dibincangkan. Nanti dah besar, pandai-pandailah faham sendiri.

Namun pada zaman ini, anak remaja kita terdedah dengan terlalu banyak sumber maklumat yang mampu mengujakan dan tidak kurang pula yang memesongkan.

Sebagai ibu bapa, saat anak mencapai usia remaja adalah saat yang penting untuk anda menjadi lebih peka terhadap keperluan emosi dan mental mereka. Oleh itu, adalah terbaik jika kita menjadi sumber pertama agar anak-anak tahu membezakan antara fakta dengan ‘auta’.

7 Perkara Ibu Mesti ‘Alert’ Bila Anak Perempuan Pertama Kali Datang Haid

Walaupun ada yang berasa kekok, pastikan ibu mengambil berat dan dilengkapkan dengan perkara asas tentang perubahan biologi serta emosi yang berlaku pada tubuh anak remaja anda.

1. Atasi Ketakutan / Rasa Malu

Pertama sekali, kaitkan perubahan tubuh mereka sebagai sesuatu yang normal bagi peringkat usia tersebut.

Bersedia mendengar dan membimbing anak dalam hal-hal kesihatan reproduktif dan seksualiti. Ramai ibu bapa sendiri yang masih tidak tahu dan malu untuk membincangkan isu ini.

Untuk mengelakkan topik yang dapat membuat anak berasa malu atau janggal, mulakan perbincangan sebagai sebuah proses biologi yang ringkas. Contohnya, “Dalam usia kakak ni, biasanya akan berlaku perubahan pada tubuh. Kakak ada perasan tak apa-apa yang membuatkan awak rasa tak selesa?”

Foto Kredit: gorgeousgirl.com

2. Kepentingan Menjaga Kebersihan

Seterusnya, pergi pula kepada topik penjagaan kebersihan diri. Contohnya:

  • Berapa lama haid akan keluar?
  • Bagaimana hendak mengahadapinya?
  • Bagaimana hendak memakai tuala wanita?
  • Jika datang tiba-tiba di sekolah, bagaimana?
  • Apa yang perlu dihindarkan semasa datang haid?

Selain itu, bincangkan juga tentang hal berkaitan seperti pemakaian baju dalam, deodorant, pencukur, dan sebagainya. Apabila datang bulan, rutin kebersihan diri menjadi bertambah penting.

Semua ini tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang memalukan. Bahkan, ia menunjukkan sisi praktikal yang dapat difahami oleh si anak. Walaupun nampak remeh, tidak semua anak perempuan remaja mengetahui bahawa semua penjagaan ini tidak seharusnya diambil ringan demi kesihatan mereka.

tanda habis haid wanita

Foto Kredit: ovguide.com

3. Sediakan Barang Keperluan

Jika sebelum ini anda selalu keluar ‘shopping’ bersama sekeluarga, ambil sedikit masa untuk keluar berdua sahaja dan pergi mendapatkan barangan peribadi wanita. Jika selama ini anak perempuan anda hanya dibesarkan oleh ayah, cuba dapatkan seseorang untuk menemani mereka seperti ibu saudara, sepupu, atau rakan yang anda percayai.

Dengan cara ini, lebih mudah untuk anda menerangkan kepada anak perempuan anda tentang keperluan barangan tertentu yang digunakan sendiri oleh wanita seperti yang disebutkan di atas.

http://www.livestrong.com/

4. Perubahan Emosi & Persoalan Dalam Fikiran

Selain perubahan fizikal, perubahan emosi juga akan dilalui oleh anak remaja. Mereka ini kadangkala boleh berfikiran matang, tapi ada saatnya bersikap keanak-anakan. Dalam tempoh peralihan ini, pasti ada ibu bapa yang keliru sama ada patut berinteraksi dengan mereka seperti dewasa mahupun kanak-kanak.

Ini kerana, dalam usia ini mereka memerlukan seseorang untuk menjawab pelbagai persoalan dan mendengar luahan mereka, bukannya seseorang yang menghukum mereka. Apabila anak gadis berasa selesa berkongsi cerita dengan ibu bapa, kepercayaan akan terbina dan mereka akan lebih mudah mendapatkan sumber maklumat yang betul daripada ibu bapa berbanding rakan-rakan atau sumber internet yang tidak diketahuinya asalnya.

Foto Kredit: verywell.com

5. Batasan Pergaulan & Aurat

Apabila anak mula memasuki alam akil baligh, peranan ibu lebih mencabar dalam menjaga batasan pergaulan mereka serta memelihara keselamatan dan maruah diri. Dalam tempoh ini, ramai anak perempuan mula tertarik dengan rakan lelaki mereka atau ada yang semakin obses dengan artis lelaki. Semua ini adalah normal.

Ajarkan anak memakai pakaian yang sopan, menutup aurat, dan tidak terlalu terdedah. Fahamkan mereka akan kepentingannya untuk berbuat demikian.

Walaubagaimanapun, ibu bapa juga harus cuba berfikiran terbuka dan menerima bahawa usia remaja adalah usia untuk mereka mencuba sesuatu yang baru. Oleh itu, jangan terlalu ekstrem dan mendadak dalam menetapkan peraturan mahupun fesyen yang disukai oleh anak.

http://www.gogirlmagz.com/

6. Menjelaskan Cara Mandi Wajib

Sebagai agama yang syumul, Islam juga mengajarkan cara mandi wajib atau mandi hadas setelah seseorang suci daripada haid. Ajarkan kepada anak remaja anda dengan cara yang jelas melalui buku agama bergambar untuk menjadi rujukan semula pada masa akan datang.

Di samping itu, lengkapkan pengetahuan anak tentang perkara-perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan ketika haid. Kami pernah menyiarkan sebuah artikel yang boleh menjadi panduan anda iaitu 10 Amalan Ketika Haid & Nifas Agar Hati Tak Rasa ‘Kosong’.

Cara Mandi Wajib Yang Betul, Untuk Lelaki & Perempuan Dari JAKIM

Foto Kredit: patdolanplumbing.com

7. Peka Dengan Teknologi

Ibu bapa zaman kini juga tak boleh ketinggalan dan perlu peka dengan perkembangan teknologi terkini yang menguasai dunia. Tak salah untuk anda belajar serba-sedikit menggunakan aplikasi seperti facebook, twitter dan sebagainya agar dapat memantau aktiviti anak remaja anda di laman sosial.

Banyak kes yang mengejutkan apabila personaliti anak remaja berubah 360 darjah walaupun di hadapan ibu bapa mereka kelihatan innocent dan mendengar cakap. Kadangkala anak remaja suka berahsia dan lebih selesa berkongsi dengan rakan atau di laman sosial.

Foto Kredit: shutterstock.com

Zaman Remaja Zaman Yang Mencabar

Imbas semula ketika anda kali pertama datang haid. Apa bentuk sokongan yang anda perlukan? Bagi kebanyakan gadis remaja, kedatangan haid kali pertama bukanlah suatu pengalaman yang begitu menggembirakan. Oleh itu, ilmu dan persediaan yang mencukupi oleh ibu bapa boleh membantu mengurangkan reaksi negatif seperti rasa takut dan terkejut terhadap pengalaman ini.

Dalam pada itu, pendekatan sebagai sahabat atau rakan kepada anak adalah paling sesuai pada peringkat anak remaja. Jadilah pendengar yang baik kepada anak gadis dengan mendengar luahan hatinya. Paling penting, kena banyak sabar dan cuba elakkan berleter, memarahi dan menyoal siasat dengan keterlaluan.

Mudah-mudahan pendedahan ini dapat mendekatkan hubungan dengan anak remaja anda dan membantu mereka lebih bersedia menghadapi fasa yang penuh mencabar.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×