Advertorial

5 Faktor Penting Untuk Memilih Sekolah Yang Sesuai

50
SHARES

Memilih sekolah untuk anak bukanlah satu tugas yang mudah, dan ia tidak seharusnya dipandang ringan. Ditambah lagi dengan pembukaan sekolah-sekolah baharu di sekeliling kita, ibubapa sering buntu memilih sekolah mana yang paling sesuai untuk anak-anak mereka. Terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan oleh ibubapa apabila memilih sekolah yang sesuai untuk anak-anak mereka.
Di antara beberapa faktor penting adalah seperti berikut:

  1. Jarak Sekolah
Teacher Loading Elementary Students on School Bus

Teacher Loading Elementary Students on School Bus

Sesetengah ibu bapa suka sekolah yang lebih hampir dengan pejabat mereka supaya mereka boleh menghantar anak-anak di dalam perjalanan ke tempat kerja. Ada pula sesetengah ibubapa,  terutamanya yang bekerja dari rumah atau  surirumah, lebih suka sekolah yang dekat dengan rumah kerana ia lebih mudah bagi mereka untuk menghantar dan mengambil anak-anak; tanpa mengganggu rutin harian mereka. Biar apapun pilihan ibubapa dari segi jarak sekolah, adalah disarankan untuk memastikan terdapat pengangkutan alternatif sekiranya pengangkutan utama, iaitu ibubapa; tidak dapat menghantar atau mengambil anak-anak di sekolah di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

 

  1. Nisbah Guru-Pelajar
Teacher and pupils in classroom

Teacher and pupils in classroom

Sesetengah ibu bapa mencari saiz kelas yang lebih kecil untuk memastikan anak-anak mereka mendapat perhatian yang secukupnya daripada guru. Keadaan ini mungkin boleh didapati di sekolah-sekolah swasta kerana kebanyakan sekolah awam mempunyai di antara 30 sehingga 40 pelajar setiap kelas. Di dalam keadaan ini, adalah penting bagi ibubapa untuk sentiasa memantau dan membantu anak-anak mereka di rumah, sekiranya mereka melihat anak-anak ketinggalan di dalam kerja rumah mereka. Menjaga hubungan yang baik dan akrab dengan guru-guru juga penting, supaya anda boleh membantu anak anda di rumah jika diperlukan.

 

  1. Sekolah Awam atau Sekolah Swasta?

1673754

Salah satu pertimbangan utama di dalam memilih di antara sekolah awam dan sekolah swasta adalah kemampuan. Jika ibubapa mampu dan mereka mendapati sekolah ini mampu menyediakan keperluan anak-anak mereka, maka sekolah swasta adalah jawapannya. Sesetengah ibubapa pula memilih sekolah swasta kerana sukatan pelajaran yang mereka tawarkan, sebagai contoh; tumpuan diberikan kepada nilai-nilai agama atau penekanan yang lebih diberikan kepada bahasa-bahasa tertentu seperti Bahasa Inggeris, Arab atau Mandarin. Sesetengah sekolah swasta juga boleh menampung keperluan khas kanak-kanak, yang mungkin tidak terdapat di sekolah-sekolah awam.

Bagaimana pula jika ibubapa tidak berkemampuan untuk ke sekolah swasta? Sekolah awam  menawarkan pembelajaran yang asas kepada para pelajar. Ini tidak bererti tiada peluang untuk para pelajar menyertai kelas-kelas atau aktiviti-aktiviti tambahan yang menarik dan bermanfaat. Di sinilah peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat penting. Pilih sekolah yang mempunyai PIBG yang aktif dan prihatin akan keperluan para pelajar.

  1. Kemudahan dan Infrastruktur

1907048

Salah satu kelebihan sekolah awam adalah kebiasaannya sekolah tersebut mempunyai halaman yang luas dan padang untuk anak-anak menjalankan aktiviti sukan. Aktiviti-aktiviti ini penting untuk kesihatan mental dan fizikal mereka. Sebagai perbandingan, sesetengah sekolah swasta mempunyai ruang yang agak terhad untuk aktiviti rekreasi.  Ini salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan dengan bertanya bagaimana para pelajar di sekolah tersebut menjalankan aktiviti sukan mereka. Selain daripada itu, lihat juga kemudahan seperti perpustakaan atau pusat sumber, ciri-ciri keselamatan  dan kebersihan di dalam dan persekitaran sekolah.

 

  1. Hubungan Guru Dengan Pelajar

1689593

Guru adalah orang utama di dalam mendidik anak-anak di sekolah. Mereka berperanan sebagai “ibubapa kedua” untuk anak-anak. Guru-guru perlu menunjukkan sifat kasih sayang namun tegas, bagi membentuk anak-anak menjadi insan yang berjaya pada masa hadapan. Guru-guru dan ibubapa harus saling hormat-menghormati dan berkongsi perihal anak-anak secara positif. Sebaiknya, cuba untuk berjumpa dan berkenalan dengan guru sekolah tersebut. Dapatkan juga maklumbalas ibubapa lain yang pernah menghantar anak-anak ke situ.

Walaupun tiada satu jawapan yang “betul” di dalam memilih sekolah untuk anak anda, ibubapa perlu memilih sekolah yang sesuai dengan nilai-nilai dan aspirasi mereka untuk memenuhi keperluan anak-anak mereka. Pembelajaran tidak seharusnya terhad hanya di sekolah. Pembelajaran adalah perjalanan sepanjang hayat yang memerlukan gandingan guru dan ibubapa yang mantap.

Ditulis Oleh :Lily Maznah Muas

13912906_1196428203709910_2169646284445520512_n

Ayuh! Luangkan masa berkualiti bersama anak-anak di Pesta Kanak-Kanak Islam Malaysia (Malaysia Islamic Children’s Fair) pada 2 – 4 Dis 2016 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.  Pelbagai aktiviti menarik untuk ibubapa dan anak-anak!  Jumpa di sana!  Layari www.micf.my

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×